This is default featured post 1 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured post 2 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured post 3 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured post 4 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured post 5 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

Memaparkan catatan dengan label Artikel. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Artikel. Papar semua catatan

07 Mei 2010

Kembalikan roh universiti

DENGAN berakhirnya April lalu, maka genaplah setahun saya bertugas di Kementerian Pengajian Tinggi. Dalam tempoh itu, saya belajar banyak perkara, termasuk tentang universiti kita, iaitu tentang apa yang pernah dilakukan sebelum ini, apa yang sedang dilakukan kini dan apa yang perlu dilakukan selepas ini.

Impian semua adalah untuk menjadikan universiti kita ulung. Universiti yang ulung - Ivy League, 10 teratas, universiti apex, universiti penyelidikan dan sebagainya - dilihat oleh masyarakat sebagai kemuncak peluang yang dikejar setiap belia yang bercita-cita tinggi.

Tetapi, apakah ciri-ciri sebenar sebuah universiti yang ulung? Adakah universiti menjadi ulung kerana berada di tangga teratas dalam penarafan? Adakah penarafan itu berdasarkan fundamental atau sekadar persepsi?

Adakah universiti menjadi ulung kerana memenangi banyak pingat emas pertandingan antarabangsa, yang sesetengahnya menganugerahkan hadiah dengan cara yang bertujuan untuk menggalakkan lebih banyak penyertaan pada tahun berikutnya dan yurannya bertambah setiap tahun?

Adakah universiti menjadi ulung kerana terkehadapan dalam penyelidikan bagi disiplin tertentu? Adakah universiti menjadi ulung kerana kecemerlangan pengajarannya?

Soalan-soalan ini dilontarkan kerana sebahagian daripada kita seperti telah terlupa akan roh universiti. Terlupa ingatan Syed Naquib al-Attas bahawa "intipati sebenar universiti bukan bangunannya atau penampilan fizikalnya. Sesungguhnya, dalam sejarah mana-mana universiti, para pensyarah dan pelajar yang menuntut daripadanya adalah kandungan utama kewujudan universiti itu". Maknanya, keulungan universiti adalah bergantung pada budaya ilmu yang dihayati oleh keluarga universiti itu.

Kita bimbang jika tersasar daripada matlamat memburu kecemerlangan yang holistik, tetapi sebaliknya terperangkap dalam apa yang disifatkan oleh Harry Lewis (2006) dalam bukunya, Excellence Without Soul, sebagai 'kecemerlangan lompong'.

Kita tidak mahu mengalami masalah yang ditimbulkan oleh Frank Furedi (2006) dalam bukunya, Where Have All the Intellectuals Gone? iaitu keadaan intelektual Amerika Syarikat (AS) kini yang kekurangan pemikir besar seperti Betrand Russel, Raymond Williams dan Hannah Arendt, tetapi sebaliknya diganti oleh peramal dangkal, pengkaji apologis dan pemutar isu.

Sebahagian daripada kita kelihatan asyik dalam apa yang dianggap sebagai fungsi-fungsi kontemporari universiti, iaitu: menjalankan program-program akademik yang diiktiraf oleh agensi profesional dan akreditasi; melaksanakan kurikulum untuk memenuhi keperluan pasaran pekerjaan; memfokus kepada penyelidikan yang dibiayai pelbagai pihak; dan menjadikan aktiviti komersial salah satu indikator prestasi.

Semua ini adalah fungsi yang sah dan baik. Tetapi, pada masa yang sama, kita tidak boleh lupa akan fundamental universiti, seperti kebebasan akademik dan autonomi. Di sini, universiti perlu bijak menyeimbangkan hubungannya dengan dua sektor penting, iaitu kerajaan dan perniagaan.

Dalam hubungan dengan kerajaan, kita diingatkan oleh buku Henry Giroux (2007), The University in Chains, di mana dalam menghadapi hubungan tentera-industri-akademia di AS, sesetengah universiti mengiyakan apa sahaja yang diarah kerajaan. Kerajaan sedang memberikan lebih autonomi kepada universiti kita. Universiti perlu menggunakan kebebasan ini dengan optimum.

Kerajaan menggalakkan universiti awam meningkatkan kerjasama dengan industri. Di samping itu, kita memerlukan dan mempunyai sejumlah universiti swasta. Dalam hal ini, kita diingatkan oleh buku Derek Bok (2003), Universities in the Market Place, di mana beliau membicarakan kritik-kritik terhadap beberapa kesan negatif pengkomersialan pengajian tinggi atau sebahagian daripada aktivitinya.

Mengapakah perlu dikembalikan roh universiti?

Ia perlu kerana apabila dilihat perbincangan oleh sebahagian daripada kita yang bertanggungjawab terhadap universiti, terdapat banyak perbincangan tentang masalah dunia, pasaran pekerjaan, kerja kuat dan kejayaan. Tetapi, jarang terdengar perbincangan tentang kekuatan peribadi, integriti, memburu dan menghayati budaya ilmu, kerjasama, idealisme, dan paling penting - bagaimana untuk hidup dalam dunia yang lebih baik, dan bagaimana meninggalkan dunia ini sebagai tempat yang lebih baik daripada masa kita tinggal dalamnya.

Kelihatannya, semakin ulung sesebuah universiti, maka semakin hebat fokusnya terhadap kejayaan kompetitif dalam pasaran pensyarah, pelajar dan dana penyelidikan, tetapi semakin kendur fokusnya untuk berbicara dengan serius tentang pelajar dan pembangunannya menjadi insan kamil. Banyak bercakap tentang banyak perkara, tetapi amat sedikit tentang usaha membangunkan pelajar menjadi insan yang lebih baik.

Kalaupun ada yang bercakap tentang pelajar dan usaha menjadikannya insan lebih baik, tetapi lazimnya, ia dilakukan dengan cara-cara yang terpisah daripada keperluan, imaginasi dan aspirasi sebenar pelajar. Kita bercakap tentang orientasi pelajar, tetapi kita jarang bercakap tentang penghakupayaan pelajar.

Kebanyakan daripada kita tidak pun memahami bahawa pelajar mempunyai tiga permintaan asas, iaitu mereka mahu suaranya didengar, mahu bakat dan peranannya diiktiraf, dan mahu isu-isunya ditangani dengan cara yang sesuai dengannya.

Kerana itu, kita perlu menghayati ciri-ciri fundamental yang menjadikan universiti itu ulung. Kita perlu bermula dengan definisi ilmu yang tepat. Menurut Syed Naquib al- Attas, ilmu ialah ketibaan makna daripada maklumat yang benar. Ilmu daripada maklumat palsu bukan ilmu. Ilmu daripada maklumat benar tetapi tidak bermakna juga bukan ilmu. Soalnya, sejauh manakah kita mendidik pelajar dengan ilmu yang benar-benar ilmu?

Selanjutnya, kita perlu menghayati budaya ilmu. Menurut Wan Mohd Nor Wan Daud, ia terdiri daripada tiga prinsip, iaitu meletakkan ilmu dan ilmuwan di tempat paling tinggi; sentiasa menuntut, membangun, mengongsi dan menilai ilmu; dan setiap keputusan dibuat berasaskan ilmu. Soalnya, sejauh manakah kita benar-benar menghayati budaya ilmu?

Apakah makna roh universiti? Bagaimanakah mengembalikannya?

Tiada sesiapa punya semua jawapannya. Malah, bagi kita yang memperjuangkan autonomi universiti, kebebasan akademik dan penghakupayaan pelajar, dan dalam politik pula menganjurkan politik baru yang menekankan pendekatan demokrasi partisipatif, maka jawapannya tentulah memerlukan untuk kita merundingkannya dan membinanya secara berjemaah.

Sementara menunggu jawapan itu, ada eloknya jika kita merenung tulisan Henry Rosovsky (1990), The University: An Owner's Manual tentang beberapa ciri universiti ulung:

  • Fakulti yang sentiasa mencerna idea dan ilmu baru; penulis buku mengajar.
  • Pelajar dari seluruh pelosok dunia dipilih melalui piawaian yang tinggi - kumpulan yang beraneka, menarik dan unggul.
  • Membenci pemikiran kolot dan penyelesaian dari atas; mencintai kecemerlangan.
  • Mempunyai tradisi yang bermakna.

Datuk Saifuddin Abdullah ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi

Sumber: Utusan Malaysia, 5 Mei 2010

05 Mei 2010

Hakikat Cinta

Oleh: Mohd. Raimi b. Yusof

"Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan ( sekalian makhluk). Dia menciptakan manusia dari segumpal darah beku. Bacalah , dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah. Yang Mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan apa yang tidak diketahuinya"
Surah Al’Alaq 96 : 1-5


Pencerapan Cinta
Manusia dibahagikan dengan 3 kecerdasan iaitu kecerdasan IQ, EQ dan SQ. Ketiga-tiga kecerdasan ini merupakan satu perkara yang begitu dititikberatkan di dalam menjalani kehidupan insani yang sempurna.

IQ merupakan satu hasil penemuan pakar psikologi German William Stern pada tahun 1912. Persoalan yang boleh ditimbulkan melalui kecerdasan ini ialah Apa yang kita fikir ?. Kebiasannya bacaan fizikal menjurus kepada perkara bersifat meteralistik yang membolehkan seseorang bangga mengejar kepada kesempurnaan kebendaan. Perkaitan yang tercantum antara cinta dan IQ adalah merupakan satu percantuman yang menghasilkan perhubungan bersifat fizikal iaitu perhubungan kebendaan, kecantikan dan kesihatan dimana unsur-unsur ini tiada roh pengekalan dan bersifat tidak abadi . Penghakisan cinta dari aspek ini membawa kepada satu pemahaman luaran individu yang membawa kepada satu penggadaian aspek kemanusiaan dalam diri manusia sendiri dan membawa kepada penjenamaan unsur-unsur haiwani dalam diri manusia.

Dari aspek Emosi pemahaman mudah boleh difahami adalah dengan menjawab persoalan apa yang kita rasa? Pelbagai perasaan boleh ditimbulkan seperti gembira, bahagia, sedih, kecewa, marah dan sebagainya. Cinta dan Emosi merupakan satu pakatan yang padu yang merupakan satu hubungan yang menjurus kepada kebahagian , keseronokan dan kegembiraan . Akan tetapi penghakisan cinta dari aspek ini menjenamakan kebahagian, keseronokan dan kegembiran dari aspek ruang lingkup diri dan pasangan mereka tanpa memikirkan ruang lingkup pemahaman agama dan norma-norma masyarakat. Perasaan pada ketika ini membawa kepada satu pandangan dunia yang indah yang bersifat retorik dimana kebahagiaan yang difokuskan hanyalah bersifat tidak abadi. Dimana ianya akan berkurangan setelah mengetahui kehidupan sebenar seorang insan yang dicintai dimana kehidupan ini dilindungi oleh buih-buih pemahaman indah yang tidak diketahui kebatilannya.

Teruskan baca dengan nama Tuhanmu
Kecerdasan SQ merupakan penemuan ilmia baru, yang ditemui ole Dana Zohar (Harvard University) dan Ian Marshall ( Oxford University ). Penemuan God Spot di dalam otak manusia dikatakan sebagai hardware spiritual. Penemuan ini menguatkan keadaan kepada kehidupan yang lebih bermakna dan memiliki kebahagian yang abadi. Cinta dari aspek ini merupakan hakikat cinta sebenar yang menemui persoalan siapa kita, dari mana kita berasal dan ke mana kita akan pergi. Segala persoalan ini menghubungkan kepada jambatan pencipta kita sebenarnya. Jambatan ini diumpamakan sebagai jambatan yang kukuh dan tidak akan runtuh sama sekali walaupun digertak ia akan tetap kukuh dan akan terus kukuh bergantung kepada keyakinan kita kepada hubungan tersebut. Hubungan pada ketika ini merupakan satu hubungan keseronokan tanpa kesepian, kebahagian tanpa kegusaran, kegembiraan tanpa batasan. Hal ini kerana penjualan jiwa kepada pembeli sesuai telah ditemui. Pembeli ini tidak pernah mengeluh dan sentiasa menunggu penjual datang kepadanya tidak kira waktu dan masa dan akan sentiasa membeli dengan penuh perasaan kasih sayang kepada penjual. Pembeli ini tidak mengharapkan kebendaan cuma mengharapkan ketaatan. Hal ini ditekankan oleh pembeli sebenar di dalam Al Quran:
"Dan (Aku perintahkan): Hendaklah kamu menyembahKu: inilah jalan yang lurus. Dan sesungguhnya syaitan itu telah menyesatkan ramai di antara kamu maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf?"
Surah Yaasiin 36: 61-62

Cintai manusia, manusia kan mati,
Cintai Allah Kekal Selama-Lamanya.

Percayalah cinta hakiki wujud dan perlu mengambil masa untuk mencarinya hanya kesabaran pemecah kesesatan dan taqwa penemu jalan.

16 Januari 2010

Kontroversi Pemakaian Kalimat Allah: Suatu Pernyataan Keprihatinan

Oleh: Dato' Dr. Siddiq Fadzil

Selama berabad-abad negara Malaysia (dan sebelumnya Tanah Melayu) yang terbentuk daripada gabungan Negeri-Negeri Melayu (Malay States) ini dirujuk sebagai model negara berbilang kaum dan agama yang rukun, harmonis dan penuh tolerasi. Kejayaan mencipta kerukunan hidup antara agama adalah suatu prestasi ketamadunan dan kemanusiaan yang tidak ternilai. Faktor kunci kejayaan ini tidak lain adalah sikap ramah bangsa Melayu-Muslim yang menjadi golongan majoriti dan sekaligus “tuan rumah”. Keramahan luar biasa yang memang menjadi watak bangsa inilah yang memungkinkan penganut pelbagai agama (Kristian, Hindu, Buddha dan lain-lain) di negara ini menikmati kebebasan dan keselesaan mengamalkan agama masing-masing tanpa gangguan.


Selama ini kerukunan hidup sedemikian itu dapat dipertahankan kerana adanya sikap menghargai keramahan (Melayu-Muslim) tersebut, di samping adanya rasa hormat terhadap kedudukan istimewa agama Islam sebagai agama Persekutuan, juga kerana adanya kesedaran terhadap realiti kesejarahan dan kebudayaan negara ini. Memang dalam sejarahnya Negeri-Negeri Melayu adalah bahagian daripada warga rumpun besar Dar al-Islam. Kesedaran tentang hakikat-hakikat inilah yang melatari keharmonian hubungan antara kaum dan agama selama ini. Justeru, kesedaran tersebutlah yang membentuk sikap saling memahami dan menghormati batas dan sempadan daerah keagamaan masing-masing. Kaum bukan Muslim umumnya cukup memahami daerah sensitiviti masyarakat Melayu-Muslim, dan demikian pula sebaliknya. Kerana itu hal-hal yang berkaitan dengan kedudukan Melayu dan Islam biasanya tidak diusik atau diganggu.

Ketegangan di sekitar isu pemakaian kalimat Allah ketika ini adalah akibat kegagalan menghayati tradisi menjaga sensitiviti umat Melayu-Islam. Mereka yang berkeras mahu menggunakan kalimat Allah dalam konteks agama Katolik bukan tidak tahu tentang keberatan umat Islam terhadap tuntutan mereka. Sikap tersebut tidak lain adalah gejala hilangnya kepedulian terhadap perasaan dan pendirian orang lain. Seharusnya mereka berusaha untuk cuba memahami keberatan umat Melayu-Muslim terhadap pemakaian nama Allah dalam konteks agama selain Islam.

Bagi umat Islam, Allah adalah di atas segala-gala. Demikianlah hakikatnya, Allah selamanya merupakan ultimate concern bagi kaum Muslimin. Syahadat pertama keislaman mereka adalah kesaksian tentang hakikat ketiadaan tuhan selain Allah (Yang Maha Esa). Hanya Dia yang bernama Allah, nama yang dipilih sendiri oleh Allah khusus untuk diri-Nya, tidak siapa pun boleh memakainya selain Allah sendiri. Ia adalah al-Ism al-A`zam, Nama Agung bagi Dhat yang wajib al-wujud. Ia adalah nama yang merujuk Dhat yang meliputi seluruh sifat ketuhanan. Sebagai nama khusus-Nya, ia berbeza daripada nama-nama-Nya yang lain seperti al-Qadir, al-`Alim, al-Rahim yang boleh dipakai oleh yang lain-lain. Kerana kekhususannya itu jugalah nama-nama-Nya yang lain itu dinisbahkan kepada nama Allah lalu disebut asma’u ‘Llah (nama-nama Allah). Al-Sabur, al-Shakur, al-Qadir misalnya disebut sebagai nama-nama Allah, tetapi tidak boleh disebut sebaliknya, Allah adalah nama al-Shakur atau al-Sabur. Demikianlah hakikat kalimat Allah sebagai nama khas (`alam) yang tidak dipakai untuk selain-Nya.

Allah bukan nama am yang siapa sahaja boleh memakainya, dan bukan juga kata umum tanpa makna dan definisi tertentu sehingga siapa sahaja boleh memaknainya. Andainya kalimat Allah dimaknai lain daripada makna dan definisi hakikinya, jelas akan menimbulkan kekacauan semantik yang serius. Bagi umat Melayu-Muslim sejak mula kalimat Allah sudah sedia terpadu dengan definisi yang mantap dan muktamad, definisi yang diungkapkan oleh Allah sendiri dalam surah al-Ikhlas, “Katakanlah: Dia-lah Allah, Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan. Dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia.”. Penurunan surah tersebut dilatari peristiwa kedatangan sekumpulan orang Yahudi meminta Nabi s.`a.w. memberikan pemerian tentang Tuhannya. Kerana itu surah ini bermula dengan kata Qul (Katakan) yang kemudian diikuti dengan ayat-ayat yang mengandungi rumusan definisi tentang Allah. Ternyata Allah adalah nama yang menyebatikan makna tauhidik, nama yang menolak syirik, dan sekaligus nama yang menafikan faham trinity (Tidak beranak dan tidak diperanakkan). Kerana itu surah ini disebut juga dengan nama Suratu ‘t-Tawhid. Memang ia adalah surah yang merumuskan faham tauhid yang semurni dan semutlaknya. Ayat-ayat dalam surah ini juga dengan jelas mengungkapkan makna bahawa Allah adalah “...a Personality”, bukan sekadar suatu konsep falsafi yang abstrak.

Surah al-Ikhlas adalah antara sekian banyak surah dan ayat al-Qur’an yang membawa mesej conceptual correction terhadap pemakaian nama Allah di kalangan masyarakat pra-Islam termasuk sebahagian suku-suku Arab jahiliah dan kaum Nasrani. Mereka memakai nama Allah dalam konteks faham syirik, termasuk faham al-tathlith atau trinity. Ayat-ayat korektif tersebut rata-rata membawakan makna dan nada ketidakrelaan Allah terhadap pemakaian nama-Nya dalam konteks yang menyimpang daripada prinsip kemurnian dan kemutlakan tauhid. Demikianlah kalimat dan nama Allah yang difahami oleh umat Melayu-Muslim umumnya, lalu bagaimana mungkin mereka yang saban hari membaca dan menghayati surah al-Tawhid akan dengan senang merelakan Nama Suci dan Agung ini dipakai dalam konteks faham syirik.
Sikap berkeras mahu menggunakan juga kalimat Allah (sekalipun dengan mengguris perasaan sebahagian besar umat Melayu-Muslim) menimbulkan tanda tanya, ada apa sebenarnya? Selama ini, sejak ratusan tahun, tanpa memakai nama Allah, para penganut Katolitik telah dapat mengamalkan agama mereka dengan leluasa. Ajaran Katolik dapat difahami oleh para penganutnya, malah telah dikembangkan tanpa masalah. Lalu kenapa sekarang isu ini dibangkitkan dan diperjuangkan dengan cara yang begitu provokatif. Mereka bukan tidak tahu betapa sensitif dan eksplosifnya isu ini. Mereka juga bukan tidak tahu bahawa isu ini menyentuh jantung ajaran agama Islam.

Rasanya wajar sekali kita merenung kata-kata Gopal Raj Kumar yang kami petik di bawah ini:
What Catholics appear to be seeking here is an extension to that form of racism that whatever non Malays and non Muslims wish to do in the name of religion has to be tolerated in the name of a half written constitution. Whilst at the same time arguing against everything that the Malays as a majority in a democracy do as wrong and racist.


Catholics must learn to reciprocate in kind to a people in whose country they have been treated with much reverence, dignity and respect over centuries. Malaysia although fundamentally a Muslim state has, advocated for and advanced Catholic (and other religious causes and purposes) without the let or hindrance of religious intolerance like that imposed on them by the Thais, Burmese, Philippines, Australians, Chinese and more recently the Swiss.


Much of the reason we are able to debate such issues and to read and write about it today it is often argued is the result of a good Catholic education. Wrong! It is equally the result of Malay Muslim generosity in allowing the propagation of the faith, its schools and other institutions to thrive and its tolerance of their values.


It is a pity that in return all that the Catholic church has to offer is an insult to the Malays and Malay Muslims in persuing such a worthless policy of provocation.


In a demonstration of its faith in its own credo of Good Christian Charity and goodwill, the Catholic Church ought to withdraw the ridiculous and provocative demand now legitimised by a flawed decision. It should demonstrate that it ought not to be allowed the sinister use of one Arabic word Allah which is clearly a thorn in the side of its Malay majority hosts.


The church may do so without any embarrassment to itself. On the contrary with one fell act of goodness and respect it would build a bridge of understanding likely to last forever as a monument to its credo, rather than for the blemishes in its record of insults, abuse, its betrayal to the colonials and the undermining of the cultural and religious sensitivities and heritage of Malaysia’s majority
Sumber: takemon

Isu ini seharusnya diselesaikan secepat dan sebijaksana mungkin. Semakin lama dipolemikkan, akan semakin panjang rentetan persoalannya. Sikap berkeras mahukan sesuatu yang jelas-jelas tidak dapat diberikan akan menimbulkan dugaan adanya agenda terselubung di balik tuntutan tersebut. Ia akan ditafsirkan sebagai strategi “lulus jarum, lulus kelindan”, selepas kalimat Allah akan banyak lagi istilah-istilah Islam yang dikatolikkan seperti kalimat syahadat, solat, zakat, haji dan lain-lain lagi. Isu ini akan memarakkan spekulasi bahawa ia adalah bahagian daripada agenda besar mendistorsikan Islam dengan memakai istilah-istilah Islam yang dirubah erti dan isinya. Masyarakat Islam akhirnya akan mengalami kekeliruan yang serius dan tidak lagi mengenal Islam yang murni. Lebih jauh lagi isu ini akan membangkitkan semula kenangan pedih masa lalu, zaman awal kedatangan penjajah Barat yang membawa agenda pengkristianan rakyat pribumi Melayu. Arkitek penjajahan Inggeris di rantau ini, S. Raffles tidak datang hanya untuk mengaut kekayaan, tetapi juga datang dengan misi dan cita-cita pengembangan Bible Society. Kegiatan menyebarkan agama Kristian di kalangan pribumi Melayu itu dilakukan atas nama “...cultivating the waste and barren soil of the native mind”. Usaha mengkristiankan orang Melayu telah dilakukan dengan bersungguh-sungguh, termasuk dengan menterjemahkan Bible ke dalam bahasa Melayu. Untuk itu mereka telah mendapatkan khidmat Abdullah Munsyi. Bagaimanapun orang Melayu berpegang kuat dengan Islam. Abdullah Munsyi yang terlibat dalam penterjemahan Bible mendapat gelar ejekan “Abdullah Paderi”.

Catatan tersebut seharusnya sudah menjadi “perkara masa lalu” yang sudah tidak relevan lagi dalam konteks semangat masa kini, era membina kesatuan dalam kepelbagaian. Provokasi-provokasi keagamaan sehausnya dihindari, dan tuntutan yang menjadi keberatan umat Melayu Islam ini harus dihentikan. Apa pun yang berlaku pada pemakaian kalimat Allah di luar Malaysia tidak semestinya relevan dengan masyarakat kita. Isu ini harus dilihat secara kontekstual. Realiti sejarah dan budaya Malaysia memang tidak memungkinkan pemakaian kalimat Allah di luar konteks keislaman. Fiqh kita mengambilkira `uruf ahl al-balad (budaya warga setempat). Antara yang harus menjadi pertimbangan utama dalam isu ini ialah mafsadah atau kesan buruknya yang perlu dihindari.

11 Januari 2010

Kaitan antara orang Melayu, bahasa Melayu dan Islam di Malaysia

Oleh: Muhammad Safwan bin Mohd. Noor Azmi
wanza348@gmail.com

Bilamana mahkamah tinggi memutuskan penggunaan kalimah Allah diberi kebenaran kepada penerbitan akhbar mingguan Herald, pelbagai persepsi dan pandangan timbul dalam kalangan masyarakat baik yang menyokong mahupun membantah. Isu pokoknya ialah sama ada boleh atau tidak perkataan Allah digunakan oleh masyarakat bukan Islam di negara ini.

Sebelum kita memahami isu ini dengan lebih lanjut, pembaca perlu mengenalpasti terlebih dahulu kandungan yang terdapat dalam Perkara 152. Artikel ini memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Kemudiannya, ia telah diwartakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 1 September 1967. Selain itu juga, dinyatakan secara jelas bahawa tulisan jawi merupakan sebahagian daripada bahasa Melayu selain tulisan rumi atau Roman.

Walau bagaimanapun, kesepakatan daripada Angkatan Sasterawan ’50 (Asas ‘50) semasa Kongres Bahasa ke-3 pada tahun 1956 telah membuat keputusan untuk menghapuskan tulisan jawi dan diganti dengan rumi demi mengangkat darjat bahasa Melayu ke tahap yang lebih tinggi. Secara idealisnya, bahasa Melayu dan bahasa Indonesia dapat bersama-masa menjadi lingua franca di wilayah nusantara.

Hal ini telah menyebabkan Tan Sri Mohamed Khir Johari, Menteri Pelajaran pada ketika itu, melakukan reformasi dalam pendidikan negara apabila menghapuskan tulisan jawi sebagai tulisan utama dan tulisan pengantar kepada Bahasa Melayu.

Implikasinya, sebilangan generasi hari ini didapati kurang mahir dalam tulisan jawi dan tidak tahu membaca Al-Quran. Selain itu, penerbitan Utusan Melayu dalam tulisan jawi menjadi semakin tidak popular dengan penerbitan sekali sahaja dalam seminggu sebagai menjaga hati generasi lama dan peminat tulisan jawi.

Jikalau kita merujuk sejarah lampau, kekuatan Melayu bergantung kepada 3 faktor utama, iaitu Islam, bahasa Melayu dan amalan adat-istiadat secara warisan. Sekalipun kita pernah dijajah sekian lama, iaitu kira-kira 446 tahun, namun ketiga-tiga faktor tersebut masih kekal utuh sehingga hari ini.

Persoalannya, bagaimanakah proses tersebut berlaku?

BAHASA MELAYU
Penyerapan diksi daripada Arab/Islam yang begitu banyak sekali dalam bahasa Melayu telah menyebabkan berlakunya proses islamisasi terhadap bahasa Melayu secara tidak langsung. Contohnya, perkataan seperti alim, abah, kerusi, sahsiah, kamus, subuh, maklumat, iklan dan lain-lain lagi yang seumpama dengannya. Hal ini telah menyebabkan penggunaan bahasa Melayu berlaku secara meluas dalam pelbagai lapangan dan seterusnya membentuk akal budi, jati diri, pandangan alam dan keperibadian orang Melayu secara keseluruhannya.

Akibat daripada proses ini, perkembangan Islam di Nusantara pada abad ke-15 berlaku dengan pesat dan mudah diterima oleh seluruh masyarakat Melayu baik dari keturunan raja-raja sehinggalah golongan masyarakat marhaen. Kemajuan yang dicapai melalui perkembangan ilmu dan teknologi menerusi bahasa Melayu menjadikan Melaka sebagai sebuah pelabuhan terkenal seantero dunia pada ketika itu.

Namun begitu, perasaan kecewa dan terkilan timbul bilamana terdapat para pemimpin negara yang cuba menafikan kehebatan bahasa Melayu dengan beranggapan bahawa bahasa Melayu cuma bersifat tempatan dan tidak maju dengan mengemukakan hujah-hujah yang tidak berasas!

Lebih mendukacitakan lagi, ada pula yang cuba berlagak pandai dengan mengubah bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia demi keharmonian dan perpaduan negara. Walhal, bahasa Portugis yang digunakan di Brazil tidak pula ditukar menjadi bahasa Brazil atau bahasa Sepanyol di Argentina ditukar ganti menjadi bahasa Argentina!

Sebenarnya, penggunaan istilah ‘bahasa Malaysia’ sebagai galang ganti kepada bahasa Melayu tidak akan membentuk keharmonian dan perpaduan di dalam negara kita yang memiliki kepelbagaian agama, bangsa, ras, etnik, adat dan budaya. Sebaliknya, kecenderungan berlakunya salah faham dan kecelaruan dalam masyarakat menjadi semakin tinggi.

Penggunaan istilah ‘bahasa Malaysia’ didapati seolah-olah kita membenarkan penyerapan semantik dan nilai-nilai yang terdapat dalam bahasa-bahasa yang lain seperti Mandarin, Tamil, Inggeris, Kadazan, Iban, orang Asli dan sebagainya. Proses ini dikhuatiri menjadi penyebab berlakunya de-islamisasi secara halus dan tersembunyi sebagaimana yang berlaku di Indonesia kini.

ISU KALIMAH ALLAH
Isu hangat berkenaan penggunaan kalimah Allah oleh akhbar mingguan Herald menimbulkan kemarahan dalam kalangan orang Islam kerana semantiknya bakal menimbulkan kecelaruan dan salah faham dalam masyarakat Malaysia.

Tidak salah sekiranya kalimah Allah digunakan untuk membandingkan antara agama Islam dengan agama dan kepercayaan yang lain. Namun begitu, jika kalimah Allah digunakan sebagai penyampaian dakwah oleh bukan Islam, ia boleh menimbulkan ketegangan dan perseteruan antara agama tanpa dapat dikawal lagi.

Dalam Islam, konsep Allah itu sangat berbeza daripada pemahaman bukan Islam sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah Al-Ikhlas. Begitu juga sekiranya pembaca merujuk Kamus Dewan edisi ke-4, makna Allah ialah Yang Esa (tunggal). Bukan triniti, God the Father, God the Son mahupun the Holy Ghost.

Malahan, perkara ini turut bertentangan dengan pendirian Vatican yang menolak penggunaan kalimah Allah untuk merujuk sebagai tuhan mereka. Jadi, apakah alasan sebenar akhbar mingguan Herald dalam hal ini?

Selain daripada itu, sikap sebilangan ahli politik Melayu-Islam (UMNO, PAS dan PKR) yang mendiamkan diri daripada mengemukakan sokongan terhadap bantahan penggunaan kalimah Allah oleh Herald amatlah dikesali. Demi menagih undi, isu agama sanggup diperjudikan sebagai modal politik dan kepentingan masing-masing tanpa memikirkan nasib untung orang Melayu-Islam di kemudian hari.

Saya berpandangan bahawa isu ini bukan hanya melibatkan isu agama semata-mata sebaliknya turut melibatkan isu bahasa Melayu dan perpaduan negara. Tanggapan salah masyarakat hari ini terhadap isu tulisan jawi yang hanya diajar (kalau ada) dalam mata pelajaran Pendidikan Islam sahaja adalah salah kerana tulisan jawi merupakan sebahagian daripada bahasa Melayu. Maka, kewajaran tulisan jawi untuk diperjuangkan semula supaya dimuatkan bersama dalam sukatan mata pelajaran bahasa Melayu mempunyai asasnya. Dasar-dasar seperti PPSMI, pemansuhan tulisan jawi dan istilah bahasa Malaysia perlu ditolak bulat-bulat kerana bertentangan dengan Perkara 152.

Oleh yang demikian, saya menyeru agar semua pihak akur dengan kontrak sosial dan perkara-perkara yang terkandung dalam Perlembagaan tanpa sebarang pertikaian. Selain itu, Rukun Negara yang menjadi tiang seri dalam membina negara bangsa perlu dihayati tanpa rasa berbelah bahagi demi merealisasikan 1 Malaysia.

Beliau merupakan Exco Pendidikan dan Penyelidikan, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia dan Exco Keilmuan dan Keintelektualan, Kelab Seni Pengucapan Awam, IPGM Kampus Bahasa Melayu Malaysia.

08 Januari 2010

Mengapa Orang Bukan Islam Tidak Berhak Menggunakan Nama Allah: Tanggapan Terhadap Golongan Yang Membenarkan

oleh: Khalif Muammar

Kedudukan Masalah
Setelah isu ini dibahas hampir dua tahun masih ramai lagi yang keliru tentang penggunaan nama Allah oleh orang bukan Islam. Antara sebabnya ialah wujudnya pandangan yang diberikan oleh beberapa cendekiawan yang digelar ulama' yang mengatakan bahawa terdapat dalil dalam al-Qur'an yang membenarkan hal tersebut. Dan tiadanya dalil yang menyokong larangan penggunaan oleh bukan Islam. Penulis telah berkesempatan untuk mengikuti isu ini dan memberi tanggapan sejak dari awal lagi dan menghasilkan 3 artikel sebelum ini yang boleh dicapai dalam khairaummah.com. Dalam makalah terakhir ini penulis cuba menjawab keraguan-keraguan yang ditimbulkan dan memberikan hujah-hujah yang muktamad agar kecelaruan tidak berterusan dan kepentingan umat Islam dapat dipertahankan. Dengan penjelasan yang terbaik yang penulis dapat paparkan ini mudah-mudahan terbuka hati bertambah yakin orang-orang yang inginkan kebenaran berdasarkan hujjah dan biarkanlah tertutup orang-orang yang tidak mahu menerima kebenaran walaupun datang dengan hujjah.


Sebelum pergi jauh perlu difahami terlebih dahulu maksud persoalan di atas. Ia bukan persoalan tentang siapakah Tuhan orang bukan Islam, kerana jelas bagi kita Tuhan bagi semua umat manusia hanya satu iaitu Allah. Ia juga bukan berkaitan dengan orang Arab bukan Islam di negara-negara Arab kerana persoalan ini muncul dalam konteks Malaysia, dan hanya relevan dengan negara-negara bukan Arab. Maka maksud persoalan di atas adalah merujuk kepada orang bukan Islam di Malaysia bukan di negara-negara Arab. Perbezaan konteks ini sangat penting kerana ia juga bermakna perbezaan bahasa yang digunakan oleh bangsa yang berlainan. Orang bukan Islam di Malaysia tentunya bukan orang Arab. Dari sini sahaja dapat disimpulkan bahawa penggunaan nama Allah bagi orang bukan Islam di Malaysia tidak relevan kerana mereka tidak pernah menggunakannya bahkan tidak mengerti pun maksudnya. Orang bukan Islam di Malaysia tidak mengenal bahasa Arab, maka perkataan Allah adalah perkataan yang asing dalam kehidupan mereka.

Perlu juga ditegaskan dengan kalimat 'menggunakan' di atas yang dimaksudkan adalah menamakan atau menggunakan nama Tuhan orang Islam bagi merujuk Tuhan mereka. Di sini dapat disimpulkan faham pluralisme agama yang terkandung dalam usaha ini. Dari pada perkataan 'menggunakan' di atas maka tidak timbul isu sekadar penyebutan nama Allah oleh bukan Islam dengan maksud merujuk kepada Allah sebenar. Tidak sepatutnya timbul pernyataan apa salahnya orang bukan Islam menyebut nama Allah kalau yang dimaksudkan itu benar. Mereka boleh sahaja menyebut, membaca, nama Allah yang menjadi persoalan di sini adalah penggunaan istilah yang sama / pemberian nama yang sama bagi Tuhan yang berlainan.

Jika persoalan telah jelas difahami dengan betul maka jawaban terhadap persoalan juga diharapkan akan lebih terfokus. Untuk memudahkan lagi orang awam boleh juga dipertanyakan dalam bentuk yang sedikit berbeza iaitu bolehkah orang bukan Islam menamakan Tuhan mereka Allah?

Terdapat kecenderungan di kalangan umat Islam, tidak terkecuali ulama'nya, untuk menyederhanakan persoalan rumit dan besar ini. Bagi sesetengah orang ini hanyalah persoalan perebutan nama. Atau ia hanyalah berkaitan dengan sebutan, luaran yang tidak perlu dihubungkaitkan dengan persoalan Akidah dan keyakinan umat Islam. Menurut Prof. Wan Mohd Nor, walaupun kelihatan masalah nama dan bahasa ini sederhana tetapi melalui bahasalah pandangan alam (worldview) terbentuk. Perubahan pada bahasa dengan merubah maknanya akan memberi kesan yang besar kepada perubahan pandangan alam dan seterusnya keyakinan dan amal ibadah orang Islam.

Tentang Orang Arab Bukan Islam Yang Menggunakan Nama Allah
Untuk menjawab persoalan ini pertama sekali perlu dijelaskan bahawa konteks masyarakat Melayu dengan masyarakat Arab berbeza. Perkataan Allah adalah perkataan Arab yang telah wujud sebelum kedatangan Islam oleh nabi Muhammad saw. Orang bukan Islam yang datang ke negeri Arab, baik Yahudi mahupun Nasrani, telah menggunakan kalimat Allah untuk merujuk kepada Tuhan mereka selama lebih 1400 tahun yang lalu kerana bahasa Arablah bahasa yang mereka gunakan. Jika orang bukan Islam dalam masyarakat Arab hari ini masih menggunakan nama Allah maka hal ini wajar dalam konteks tersebut, kerana mereka tidak mengalami Islamisasi dan sehingga ke hari ini masih mengguanakan bahasa Arab. Dalam konteks Malaysia yang bahasanya bukan bahasa Arab, dan orang bukan Islam yang bukan orang Arab, maka penggunaan nama Allah oleh mereka adalah sesuatu yang janggal. Sesuatu yang dipaksakan, yang sengaja ditimbulkan untuk tujuan-tujuan yang tidak baik. Oleh itu jika di negara-negara Arab hal ini dibenarkan, melihat kepada fakta sejarahnya, ia tidak boleh dijadikan ukuran untuk membenarkan hal yang serupa berlaku di Malaysia dan di negara-negara bukan Arab.

Sesetengah orang Islam yang keliru dalam menanggapi isu ini berhujah bahawa dalam al-Qur’an ada disebutkan bahawa orang Yahudi mendakwa ‘Uzair itu anak Allah’, dan orang Nasrani mendakwa bahawa ‘al-Masih itu anak Allah’ (lihat surah al-Tawbah: 30). Sebenarnya jika diperhatikan dengan teliti dan dengan mengambil kira perbezaan bahasa, yang mereka katakan sebenarnya tidaklah betul-betul sama seperti itu, kerana dalam bahasa mereka, iaitu bahasa Ibrani, perkataan yang mereka gunakan sebenarnya adalah Uzair itu anak Tuhan (Yahweh/ Elohim), dan al-Masih itu anak Tuhan (Yahweh/ Elohim), tidak ada perkataan Allah dalam bahasa mereka. Al-Qur’an sebenarnya menterjemahkan kata-kata mereka yang tentunya bukan dalam bahasa Arab tetapi dalam bahasa mereka sendiri, iaitu Ibrani, untuk difahami oleh orang Arab atau orang Islam. Oleh kerananya perkataan yang digunakan adalah Allah kerana Allah dari segi bahasa adalah Tuhan. Penggunaan dalil seperti ini oleh golongan ini menunjukkan sikap yang sembrono dan kurangnya kehati-hatian.

Sememangnya Allah adalah Tuhan semua nabi dan rasul. Tetapi Allah bukanlah Tuhan yang disembah oleh orang Yahudi dan Nasrani. Dengan penyelewengan yang berlaku dalam agama tersebut mereka tidak lagi beriman kepada Allah. Jadi mereka tidak boleh mendakwa diri mereka beriman kepada Allah. Maka dari itu sesuatu yang melambangkan ketidakcerdasan dan kenaifan apabila ada sesetengah orang berkomentar dalam isu ini “al-hamudillah, akhirnya orang bukan Islam percaya Allah itu Tuhan mereka”. Di sinilah pentingnya kita memahami iman, Islam dan Din dengan mendalam. Sebagaimana ditegaskan oleh al-Attas, iman dan Islam tidak hanya cukup dengan dakwaan percaya kepada Allah tetapi mestilah tunduk dan patuh dengan sebenar-benarnya (real submission and true obedience) kepada perintah dan suruhan Allah dengan mengikuti Rasulullah saw (al-Attas, Prolegomena: 54-56).

Untuk memahami dengan baik ayat-ayat al-Qur’an berkaitan nama Allah, perlu difahami terlebih dahulu bahawa dalam al-Qur’an ada dua bentuk penggunaan perkataan Allah, pertama yang umum merujuk kepada maknanya dari segi bahasa; kedua yang khusus merujuk kepada penggunaannya secara teknikal (istilahi). Hal ini tidak ekslusif pada kalimah Allah sahaja tetapi juga kalimah-kalimah lain seperti solat, bahkan kufur juga. Penggunaan yang umum biasanya merujuk kepada masyarakat bukan Islam. Sedangkan penggunaan yang khusus merujuk kepada pemahaman masyarakat Islam yang telah dibentuk akidah mereka. Penggunaan yang khusus lebih banyak daripada penggunaan yang umum, ini selaras dengan banyaknya ayat-ayat yang turun merujuk kepada tahap intensif Islamisasi. Tahap Islamisasi yang intensif sebenarnya berlaku di Makkah lagi apabila konsep-konsep mendasar dan penting dijelaskan dengan panjang lebar. Dalam konteks inilah ayat-ayat seperti dalam surah al-Ikhlas, al-Kafirun, ayat Kursi dll. diturunkan agar konsepsi yang jelas tentang Tuhan dapat difahami dan dihayati oleh kaum Muslimin.

Umat Islam yang telah mengalami proses Islamisasi, baik di Arab mahupun di alam Melayu, mempunyai konsepsi yang jelas tentang Allah. Konsepsi yang jelas ini adalah kesan proses Islamisasi selama lebih 1400 tahun di Arab dan lebih kurang 1000 tahun di alam Melayu. Islamisasi berlaku apabila nama-nama atau istilah-istilah yang telah wujud sebelum Islam diberikan makna baru. Proses Islamisasi ini telah menjadi garis pemisah antara Islam dengan kufur. Dalam konteks nama Allah ini Islamisasi telah memisahkan Allah dengan tuhan-tuhan yang lain. Walaupun ia adalah sebuah nama bagi Tuhan, tetapi ia bukan sembarangan nama kerana maknanya sarat dengan perbezaan teologi yang mendasar dengan nama-nama tuhan yang lain. Adalah sesuatu yang malang jika umat Islam membenarkan orang bukan Islam, sedangkan ia berkuasa untuk melarangnya, konsepsi tentang Allah ini menjadi dangkal kembali. Jika ini berlaku bermakna umat Islam hari ini telah membenarkan berlakunya deislamisasi. Suatu langkah mundur 1000 tahun ke belakang. Kalimah la ilaha illa Allah yang bermaksud tiada tuhan melainkan Allah, dengan pendangkalan makna di atas maka kalimat tauhid ini akan bermaksud tiada tuhan melainkan Tuhan, walaupun bukan ini yang dikehendaki dalam Islam dan oleh para ulama’nya tetapi inilah maksud yang sah pada mata umum. Dengan demikian kalimah Tawhid yang seharusnya mempunyai kesan dan implikasi yang besar dalam kehidupan seorang Muslim akan menjadi bertindih, wujud percanggahan (incoherence) dan tidak memberi makna yang signifikan.

Masyarakat Jahiliyyah yang Menyebut Allah.
Golongan literal dan tekstualistik ini juga menyandarkan hujah mereka kepada ayat al-Qur’an Surah al-Zumar: 38 yang bermaksud:
Dan Demi sesungguhnya! jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah Yang mencipta langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah".
Memang pada zahirnya ayat tersebut menyatakan bahawa orang Quraish jahiliyyah pada hakikatnya percaya bahawa Allah adalah Tuhan mereka. Namun sebagaimana disebutkan di atas yang dimaksudkan dengan kalimah Allah di atas bukan kata khusus tetapi kata umum. Faktanya, kalimah Allah telah digunakan oleh masyarakat Jahiliyyah sejak sebelum Islam, maka tidak mungkin al-Qur’an menggunakan perkataan lain bagi merujuk kepada Tuhan. Jadi ketika ia menceritakan apa yang dipercayai oleh orang bukan Islam maka al-Qur’an mengatakan bahawa mereka percaya akan wujudnya Tuhan, bahawa Tuhan lah yang menciptakan segalanya. Ini kerana secara alamiahnya konsep Tuhan telah ada dalam diri manusia sejak mereka dilahirkan di dunia. Tawhid datang melalui para Rasul untuk mengajarkan umat manusia siapa Tuhan itu sebenarnya. Dengan risalah Tawhid ini manusia dibebaskan daripada kepercayaan politeisme, dinamisme dan animisme. Kedatangan nabi Muhammad saw walaupun sebagai kesinambungan dari nabi-nabi sebelumnya tetapi juga untuk meluruskan penyimpangan akidah dalam agama Yahudi dan Nasrani. Jadi penggunaan nama Allah oleh masyarakat Jahiliyyah adalah penggunaan yang umum yang hanya bermaksud Tuhan kerana demikianlah erti Allah dari segi bahasa. Tetapi setelah kedatangan Islam penggunaan umum ini tidak relevan bagi masyarakat Islam dan masyarakat bukan Islam yang bukan Arab pada hari ini. Maka ayat di atas sebenarnya tidak sama sekali membenarkan orang bukan Islam di negara ini menggunakan nama Allah untuk Tuhan mereka. Kerana Arab jahiliyyah telah memiliki kalimah Allah ini sebelum Islam datang sedangkan orang bukan Islam di negara ini, dan di negara selain Arab, tidak mengenal kalimah ini. Kesimpulannya adalah satu pembohongan apabila ada yang mengatakan bahawa terdapat dalil yang membenarkan orang bukan Islam menggunakan nama Allah.

Bahaya Pendekatan Literal dan Tekstualistik
Terdapat kekeliruan yang besar apabila sebahagian ilmuwan dan orang awam cenderung mempertanyakan dalil atau nas bagi setiap persoalan yang timbul. Kelompok literal dan rigid ini ketika melihat ada sebahagian ayat al-Qur’an yang secara literalnya seolah-olah membenarkan penggunaan nama Allah oleh bukan Islam maka secara terburu-buru tanpa meneliti dengan mendalam maksud ayat-ayat tersebut dan perbezaan konteksnya lalu terus mengambil kesimpulan bahawa orang bukan Islam boleh menggunakan nama Allah.

Perlu dijelaskan bahawa tidak semua persoalan perlu ditanyakan apakah dalilnya, jika ada nas maka barulah sesuatu dapat diperkatakan jika tidak maka ia hanyalah pandangan yang relatif, boleh ditolak atau diterima. Hakikatnya selain nas, ada ilmu yang diwariskan oleh para ulama. Inilah yang dimaksudkan bahawa ulama itu pewaris nabi. Bahawa mereka itu mewariskan ilmu yang diperolehi oleh nabi (hadith). Kelebihan ilmu ini jugalah yang membezan si jahil dengan orang alim. Orang jahil boleh sahaja berhujah dengan ayat dan hadith tetapi dia tidak tahu pasti bagaimana ayat dan hadith itu difahami dan digunakan.

Kita tahu bahawa ayat-ayat al-Qur’an terhad dan permasalahan yang timbul sentiasa bertambah. Seorang mujtahid, ulama atau pemikir, perlu dapat memberikan jawapan bagi setiap persoalan berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an dan hadith yang terhad itu. Di sinilah letaknya kedinamikan Shari’ah, sehingga ia sesuai diterapkan sepanjang masa. Mereka harus dapat merumuskan prinsip-prinsip baik tersurat mahupun tersirat daripada al-Qur’an dan Sunnah. Berdasarkan prinsip-prinsip inilah mereka cuba menyelesaikan permasalahan-permasalahan yang timbul. Oleh itu kemampuan yang perlu ada pada seorang mujtahid bukanlah mengeluarkan ayat-ayat atau hadith dalam menanggapi sesuatu persoalan tetapi kebijaksanaan yang terbit dari kefahamannya yang mendalam terhadap al-Qur’an dan Sunnah serta karya-karya ulama terdahulu (al-Turath).

Malangnya hari ini yang berpandukan kepada kewujudan dalil bukan hanya orang awam tetapi mereka yang mendabik diri mereka ulama. Mereka mencari dalil, walhal ini adalah persoalan baru yang memerlukan pemikiran yang mendalam. Sepatutnya yang ditanyakan bukan apakah dalilnya tetapi apakah hujahnya? Ketika suatu persoalan itu tidak ada dalil yang qat’i mengenainya tidak bermakna kita tidak memiliki hak untuk memberikan kata putus dalam hal tersebut. Oleh kerana itu dalam persoalan nama Allah ini ulama fiqh bukan pakarnya. Mereka terbiasa dengan pencarian dalil dalam mengistinbatkan hukum. Ini persoalan usuluddin atau ilmu tawhid. Seseorang yang ingin membahas isu ini perlu menguasai teologi, ilmu kalam, epistemologi Islam, falsafah Islam dan metafizik Islam. Persoalannya bukan apakah hukumnya halal atau haram tetapi lebih penting dari itu apakah kesannya terhadap akidah seorang Muslim? Walaupun sepatutnya mujtahid menguasai kedua bidang ini, Shari’ah dan Usuluddin dengan baik, namun realitinya pada hari ini jarang hal itu berlaku.

Kepentingan Ilmu Kebijaksanaan
Menyedari kerumitan masalah ini dan skopnya yang melampaui hukum-hakam, maka ilmuwan Fiqh bukanlah orang yang patut menjadi rujukan dalam persoalan ini. Kecenderungan hari ini menampakkan bahawa ulama fiqh dapat menjawab segala persoalan. Ataupun semua persoalan adalah persoalan fiqh. Hakikatnya tidak semua persoalan dapat dikategorikan sebagai hukum hakam dan bukan semua persoalan dapat dipecahkan dengan kaedah fiqh. Persoalan nama Allah ini menunjukkan bahawa ada perkara-perkara yang memerlukan kepada kekuatan hujah yang memerlukan perenungan, kefahaman yang mendalam dan kebijaksanaan yang tinggi dan bukan hanya pencarian dalil dan pemahaman yang literal.

Tampak jelas bahawa terdapat kecenderungan yang meluas ketika ini sikap literal dan tekstualistik dalam memahami Islam. Golongan ini kononnya mengikuti hanya al-Qur’an dan al-Sunnah dan tidak merasa perlu untuk mengikuti pandangan para ulama. Golongan pseudo-salafi ini mengatakan jika tiada nas atau dalil maka apapun yang diutarakan hanyalah pandangan yang relatif kerana ia berdasarkan kepada akal fikiran manusia yang boleh ditolak dan boleh diterima. Sebenarnya dalam banyak hal kita perlu menggunakan kebijaksanaan kita dan bukan bersikap literal dan tekstualistik. Tidak semua perkara perlu dikemukakan soalan apakah ada dalil atau nas tentang hal itu? Jika tiada maka kita tidak berhak mengatakan ianya tidak boleh. Kalau ada dalil, yang secara zahirnya membenarkan, tanpa perlu melihat maksud dan konteksnya maka keputusan terus diambil tanpa berfikir panjang. Tidak wajar ditanyakan contohnya apakah dalilnya pluralisme agama haram, liberalisme, feminisme dsb? Sikap literal dan tekstualistik ini menyebabkan sebahagian orang bersikap ekstrim dan rigid (kaku) contohnya segolongan mengongkong isteri mereka dari keluar rumah, dengan alasan adanya nas al-Qur’an yang memerintahkan seperti itu. Ada yang berpandangan bahawa kerana ilmu itu milik Allah, sebagaimana ditegaskan dalam al-Qur’an, maka cetak rompak dan plagiarisme dibenarkan. Bahkan golongan ekstrimis yang banyak melakukan keganasan juga menggunakan ayat al-Qur’an yang menyuruh membunuh orang kafir tanpa memahami konteksnya dan dalam keadaan apa ayat itu berlaku. Semua pendekatan ini sangat bersalahan dengan suruhan al-Qur’an dan di samping itu akan memberi kesan negatif kepada kebijaksanaan orang Islam.

Islam memberi tempat yang sewajarnya kepada akal fikiran (human intelligence). Yang dimaksudkan di sini bukanlah reason dan hubungannya denga rasionalisme falsafah yang berkembang di Barat. Mengenai rasionalisme Barat yang menjadi pegangan golongan liberal dan modenis ini penulis telah jelaskan dalam buku tersendiri (Lihat Atas Nama Kebenaran: Tanggapan Kritis Terhadap Wacana Islam Liberal, 2006 dan 2009). Adapun kedudukan dan kepentingan akal dalam Islam telah dijelaskan oleh ulama’-ulama muktabar. Imam al-Ghazali antara lain mengatakan:
“Akal itu umpama penglihatan yang selamat dari cacat cela, dan al-Qur’an itu umpama matahari yang menyinari jagat raya, dengan keduanya seseorang dapat memperolehi hidayah. Seorang yang mengambil salah satunya tergolong dalam orang-orang yang bodoh, orang yang menolak akal hanya cukup dengan cahaya al-Qur’an sama kedudukannya dengan orang yang mendapatkan cahaya matahari tetapi menutup hati, maka tidaklah berbeza dia dengan orang yang buta. Maka akal dengan Shara’ adalah cahaya di atas cahaya”.
Al-Iqtisad fi al-I’tiqad: 4

Kecenderungan golongan pseudo-salafi yang anti akal ini sebenarnya tidak mempunyai akarnya dalam tradisi Islam. Bahkan Ibn Taymiyyah yang mereka angkat sebagai imam Salafiyyah tidak mempunyai sikap sedemikian. Ibn Taymiyyah sepakat dengan al-Ghazali tentang kepentingan akal ini. Ibn Taymiyyah mengatakan:
Akal itu syarat dalam mencapai ilmu pengetahuan dan kesempurnaan amal soleh, dengannya akan sempurna ilmu dan amal. Ia seperti kuatnya penglihatan bagi mata maka ketika bertemu dengan cahaya iman dan al-Qur’an maka umpama bertemunya cahaya mata dengan cahaya matahari dan api dan jika mencukupi dengan salah satunya tidak akan dapat seseorang itu memahami segala sesuatu.
 Majmu’ Fatawa: 3:338

Bahkan ulama’-ulama usul fiqh sendiri mengiktiraf penggunaan akal apabila mereka menjadikan qiyas, istislah, istihsan, masalih mursalah, dan sadd al-zari’ah sebagai sumber hukum sekunder. Di sinilah bermulanya perbezaan antara golongan pseudo-salafi dengan Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah di mana golongan pseudo-salafi ini cenderung rigid terhadap nas dan menolak penggunaan akal dan kebijaksanaan.

Kelompok yang membenarkan orang bukan Islam menggunakan nama Allah kemudian mengenakan syarat kepada orang bukan Islam supaya tidak menyalahgunakan kebenaran tersebut untuk mengkristiankan orang Islam. Ada juga yang memberikan panduan bagaimana orang bukan Islam menggunakan nama Allah. Justeru ini membuktikan adanya kecelaruan (incoherency) dalam cara berfikir mereka. Pertama sekali tidak ada alasan orang bukan Islam untuk mendengar nasihat kelompok ini, kerana mereka sendiri tidak mewakili umat Islam apalagi untuk mempengaruhi orang bukan Islam. Kedua, sesuatu yang tidak masuk akal, melihat sejarah kristianisasi yang begitu dahsyat di alam Melayu ini, mereka akan akur dengan nasihat orang yang dikatakan ‘ulama’ ini. Orang Kristian telah memperjuangkan isu ini dengan bersungguh-sungguh dan mereka amat gembira apabila keputusan mahkamah tinggi memihak kepada mereka, sebahagiannya dikeranakan wujudnya perbalahan di kalangan ilmuwan Islam sendiri. Kemenangan ini bagi mereka menunjukkan kebenaran dakwaan mereka bahawa semua agama pada hakikatnya sama, menyembah Tuhan yang sama. Maka kebenaran menggunakan nama Allah akan menjadi satu pencapaian besar bagi orang Kristian. Hakikatnya ia akan memudahkan lagi proses kristianisasi orang-orang Islam. Kristianisasi ini walaupun tidak dibenarkan dari segi undang-undang tetapi telah berjaya memurtadkan ramai golongan remaja di negara ini.

Bagi umat Islam ia adalah satu kerugian yang sangat besar. Islam tidak akan rugi, berkurang atau rendah kerana hal ini tetapi umat Islam akan semakin terhimpit. Kefahaman masyarakat terhadap akidah Islam akan semakin menipis. Kekeliruan akan semakin merajalela. Kerana dari bahasa pandangan alam akan berubah. Deislamisasi banyak berlaku melalui proses pendangkalan makna. Pendangkalan seperti Islam hanya kepada berserah diri, iman hanya menjadi percaya kepada Allah. Oleh kerananya ramai orang bukan Islam mengaku diri mereka muslim dan mukmin (dengan m kecil), kerana mereka juga berserah diri dan percaya kepada Allah, yang kini cuba didangkalkan maknanya hanya bermaksud Tuhan.

Kecelaruan dalam masalah ini timbul kerana ulama’ fiqh yang tidak berautoriti terburu-buru memberikan pandangan mereka berdasarkan pengetahuan dan kemahiran mereka yang terbatas itu. Seharusnya mereka dapat menahan diri mereka dari memperkatakan sesuatu yang mereka tidak pasti, dan mengakui keterbatasan ilmu yang mereka miliki. Pandangan yang sembrono ini dapat merugikan umat Islam dan menimbulkan lebih banyak kekeliruan. Mereka juga sepatutnya menghormati pandangan ilmuwan yang lebih berautoriti, dan berwibawa dalam bidang yang lebih relevan iaitu ilmu usuluddin, atau ilmu tawhid. Tidak seperti zaman dahulu, pengkhususan yang menjadi ciri pendidikan hari ini menyebabkan ulama fiqh tidak menguasai dengan baik ilmu usuluddin, begitu juga sebaliknya. Kerana itu penting untuk setiap ilmuwan memahami keterbatasan bidang masing-masing dan menyerahkannya kepada orang yang lebih layak untuk dirujuk. Inilah yang disebut sebagai adab, yang bukan sahaja perlu ada pada penuntut ilmu tetapi juga pada para ilmuwan kepada ilmuwan yang lebih tinggi derajatnya. Jelas bagi saya bahawa kecelaruan dalam masalah ini menunjukkan semakin parahnya fenomena kehilangan adab di kalangan umat Islam tidak terkecuali golongan cendekiawannya.

Perlu juga ditegaskan penekanan kepada adab di sini bukan untuk menghalang ijtihad di kalangan ilmuwan tetapi menegaskan peri pentingnya meletakkan sesuatu pada tempatnya. Seseorang ilmuwan yang memberikan pandangan dalam hal yang bukan kepakarannya tidak sama sekali dapat disebut sebagai ijtihad. Pandangan yang diberikan oleh ulama seperti ini sebenarnya bukan ijtihad. Pandangan seseorang ulama dikatakan ijtihad jika ia memiliki ilmu yang mencukupi dalam bidang tertentu dan berusaha dengan sebaik mungkin untuk memahami sesuatu persoalan sampai ke dalam dalamnya, barulah apabila dua syarat ini dipenuhi maka ia dikatakan ijtihad, jika tidak ia hanya boleh dianggap pandangan seperti pandangan orang awam. Hanya ijtihad sahaja yang jika salah sekalipun mendapat satu pahala, sedangkan pandangan yang mengelirukan boleh mendatangkan dosa khususnya apabila pandangan itu diberikan tanpa hati-hati, tanggungjawab moral dan ketaqwaan.

Penutup
Telah banyak pandangan ulama besar dikemukakan. Al-Attas sejak tahun 80an, Wan Mohd Nor yang banyak dikutip oleh penulis, dan baru-baru ini Siddiq Fadzil dan Haron Din telah menjelaskan isu ini. Sepatutnya kewibawaan tokoh-tokoh ini sudah cukup untuk menjadi ukuran dalam memahami persoalan ini dan bukan populariti sesetengah orang yang dikatakan ulama’ itu. Isu ini isu Akidah dan kedaulatan Islam. Ia lebih besar daripada isu politik. Perbezaan ideologi politik tidak harus membutakan hati nurani kita untuk mengenali kebenaran.

Isu penggunaan nama Allah oleh bukan Islam bagi saya melambangkan betapa seriusnya fenomena kehilangan adab di kalangan umat Islam, tidak terkecuali golongan intelektualnya. Adab di sini bukan hanya suatu sikap yang perlu ada bagi penuntut ilmu kepada gurunya, atau dari orang bawahan kepada orang atasan, tetapi yang paling mendasar adalah memahami dengan baik dan meletakkan sesuatu termasuk diri sendiri dan orang lain pada tempat yang yang wajar dan tepat. Agar yang tidak tahu menyedari ketidaktahuannya lalu mahu tahu dengan merujuk orang yang betul-betul tahu. Kita lihat bagaimana isu ini diperbincangkan tanpa merujuk kepada ilmuwan-ilmuwan yang berautoriti/ berwibawa dalam bidangnya. Ilmuwan-ilmuwan kecil yang cuba ber'ijtihad' tanpa menyedari keterbatasan ilmu yang dimilikinya. Terdapat ilmuwan yang mencampur adukkan politik dengan urusan agama sehingga kecenderungan politiknya mempengaruhi pandangannya dalam hal ini. Memang tidak mudah menahan diri dari mendapatkan political mileage apabila kemenangan pilihanraya banyak ditentukan oleh undi bukan orang Islam. Kerana itu ulama’-ulama’ muktabar tidak mahu terlibat dalam politik dan kepartian. Ramai juga yang cuba memperkatakan sesuatu dengan merujuk kepada sumber-sumber yang tidak jelas (seperti google, wikipedia dll), dan pengalaman bangsa asing, lalu mendakwa diri mereka tahu sesuatu dan menunjukkan diri mereka faham agama dan menghukum ulama’ yang berhati-hati sebagai kolot, tidak toleran dsb. Ada juga segolongan ilmuwan yang menangkuk di air keruh, ilmuwan palsu yang diangkat kerana rapat dengan penguasa, yang tidak dapat mempertahankan kebenaran ketika ia diserang dari pelbagai penjuru tetapi mendapat pujian dan pengiktirafan atas sesuatu yang bukan hasil perjuangannya. Jika kita umat Islam sendiri tidak jujur kepada Allah dan diri sendiri, mengapa mengharapkan pertolongan Allah dan ingin musuh-musuh Islam bersikap adil kepada umat Islam.

Setelah umat Islam bingung, keliru dan hilang pedoman maka dengan mudah faham-faham asing seperti sekularisme, liberalisme, pragmatisme, sinkretisme, pluralisme agama, neo-sofisme, saintisme, dll memasuki relung fikiran dan jiwa umat Islam. Faham-faham ini apabila telah merasuk diri sebahagian umat Islam akan menyebabkan mereka hilang keyakinan terhadap kebenaran Islam, skeptis terhadap Islam, merendahkan dan curiga terhadap para ulama’, bahkan tidak jarang juga yang memilih untuk menjadi ateis, agnotis atau murtad. Di sinilah tragedi bermula dan semuanya berpunca daripada kegagalan kita bersikap adil dan beradab terhadap Allah, agama-Nya dan diri kita sendiri.

Beliau merupakan Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia.


Rujukan

Al-Attas, Syed Muhammad Naquib. Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, 1972. Dan syarahan beliau sepanjang penulis berguru di ISTAC.

________. Islam and Secularism, diterbitkan oleh ABIM pertama kali pada 1978. Kuala Lumpur: ISTAC, 1993.

________. Prolegomena to the Metaphysics of Islam: an Exposition of the Fundamental Elements of the Worldview of Islam. Kuala Lumpur: ISTAC, 1995.

Al-Ghazali, Abu Hamid. al-IqtiÎÉd fi al-I‘tiqÉd. Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah, 1983.

Ibn Taymiyyah, Ahmad Abd al-Halim. Majmu’ Fatawa Ibn Taymiyyah. Kaherah: Dar al-Fikr, 1983.

Khalif Muammar. Atas Nama Kebenaran: Tanggapan Kritis Terhadap Wacana Islam Liberal, cetakan ke-2. Bangi: Institut Alam dan Tamadun Melayu, 2009.

________. “Isu Herald: Ketika Agama Diheret Untuk Kepentingan Politik” dalam http://khairaummah.com/index.php?option=com_content&task=view&id=236&Itemid=105 (20 Januari 2008)

________. “Isu Nama Allah: Isu Akidah Bukan Perebutan Nama” dalam http://khairaummah.com/index.php?option=com_content&task=view&id=246&Itemid=170 (14 Mei 2008)

________. ”Why Non Muslim Cannot Use the Word Allah” dalam http://khairaummah.com/index.php?option=com_content&task=view&id=275&Itemid=1(2 Mac 2009)

Rahmah Ghazali, “Haron Speaks for Himself” dalam http://www.malaysiakini.com/news/121161

Siddiq Fadzil. ”Kontroversi Pemakaian Kalimat Allah: Suatu Pernyataan Keprihatinan” dalam http://www.wadah.org.my/kenyataan-media/54-info-wadah.html

Wan Mohd Nor Wan Daud. Masyarakat Islam Hadhari: Suatu Tinjauan Epistemologi dan Kependidikan ke Arah Penyatuan Pemikiran Bangsa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006. Juga perbincangan peribadi dengan beliau yang dilakukan hampir setiap hari.

05 Januari 2010

Menelaah Sejarah, Mentafsir Kisah


oleh: Dato' Dr. Siddiq Fadzil

Sejarah: Perspektif Agama
Makalah ini tidak bermaksud untuk memasuki medan falsafah sejarah dengan segala alirannya. Yang akan dibahaskan di sini bukan sejarah dalam erti sekadar catatan peristiwa, tetapi tafsiran, makna dan iktibar sesuatu peristiwa. Pendekatan ini serasi dengan gaya al-Qur’an yang apabila membicarakan sesuatu peristiwa, ia tidak memberikan pemerincian tentang tanggal dan saat terjadinya. Yang dipaparkan adalah tafsirannya, termasuk pengajaran dan petunjuk buat khalayaknya. Pendekatan al-Qur’an umumnya bersifat holistik dalam erti sorotannya tidak terpusat hanya pada gerak adegan lahiriah di pentas sejarah, tetapi menerobos hingga ke pendalaman jiwa dan minda pelaku-pelakunya. Dengan demikian pemeriannya adalah utuh dan menyeluruh, tidak terbatas dan tidak cuma bersifat serpihan.

Sejarah juga bukan peristiwa-peristiwa kebetulan, yang tidak dapat difahami hujung pangkal sebab dan akibatnya. Sesuatu peristiwa sejarah tidak terjadi secarasewenang-wenang, tetapi berlaku menurut aturan tetap ketuhanan, aturan Ilahi yang terjelma dalam hukum sebab akibat. Itulah yang dinamakan sunnatu ‘Llah, undang-undang Tuhan yang tidak berubah. Apabila segala faktor telah terkumpul, maka berlakulah kehendak Allah. Memang perilaku manusia sendiri merupakan faktor utama terjadinya peristiwa sejarah, bagaimanapun penentunya bukanlah faktor-faktor itu sendiri. Penentu yang mutlak adalah kehendak Allah. Kerana itulah apabila al-Qur’an memaparkan sesuatu peristiwa sejarah yang ditonjolkan adalah kehadiran Allah, kudrat dan iradat-Nya.

02 Januari 2010

Kemelut Pemikiran Agama

Oleh: Dr. Syed Ali Tawfik Al-Attas

SEWAKTU sampai di pejabat sehari selepas Krismas, saya perhatikan ada satu halaman daripada akhbar The Sun bertarikh 24 Disember 2007 telah diletakkan di atas meja saya. Ternyata kemudian yang ia adalah satu makalah berjudul "Pemimpin gereja menjelaskan penggunaan perkataan Allah". Saya mula membaca rencana tersebut, dan semakin jauh saya menekuninya semakin memuncak tekanan darah saya. Sesudah meneliti laporan tersebut dan memahami isi kandungannya, dari sedikit gusar saya jadi betul-betul berang.

Joseph Masilamany mengemukakan pendapat bahawa "penggunaan perkataan Allah" untuk merujuk kepada Tuhan di kalangan penganut agama Kristian telah diamalkan dengan meluas untuk beberapa generasi di banyak negara dan bukan bertujuan menyinggung perasaan atau mengelirukan masyarakat Islam", ini tentunya menurut para pemimpin Kristian. Wartawan tersebut menemu ramah penyunting akhbar mingguan Katolik tempatan, Paderi Lawrence Andrews, dan agaknya turut berbicara dengan Setiausaha Agung Majlis Gereja-Gereja Malaysia, Rev. Herman Shastri. Paderi Lawrence dilaporkan mendakwa, "istilah 'Allah' yang digunakan oleh orang Kristian atau dalam tulisan mereka tidak bermaksud menggusarkan masyarakat Islam atau mencetuskan kekeliruan. Kami mengikut Bible. Bible dalam bahasa Melayu menggunakan 'Allah' sebagai terjemahan istilah God dan 'Tuhan' sebagai terjemahan untuk istilah Lord."

Beliau seterusnya mendakwa bahawa "mulai awal abad ke-19, para penganut Katolik di Malaya telah pun memiliki buku-buku doa dalam bahasa Melayu dan perkataan 'Allah' telah digunakan sebagai terjemahan kepada istilah God." Beliau turut menyatakan bahawa "para penganut Katolik Malta juga menggunakan perkataan 'Allah' untuk merujuk kepada Tuhan dan demikian juga masyarakat Kristian di Indonesia, Pakistan dan Asia Barat."

Menurut Rev. Herman Shastri, "para penganut Kristian yang tinggal di negara-negara majoriti Muslim menggunakan kalimat ‘Allah' apabila merujuk kepada Tuhan dalam upacara doa umum (liturgy) mereka. Biarpun pihak berkuasa tidak membenarkan penggunaan perkataan-perkataan tertentu, pihak gereja akan terus memakainya kerana perkara ini bersangkut-paut dengan buku-buku suci kami (huruf condong adalah penegasan saya). Pendapat yang serupa turut dinyatakan dalam satu laporan terbitan akhbar The Star pada 28 Disember 2007.

Apa yang mendukacitakan adalah cara dua wakil Kristian tadi menghujahkan dasar pendirian mereka, yang, pada hakikat sebenarnya, hampa dari pertimbangan yang bernas lagi benar.

Biarlah saya tegaskan bahawa dakwaan yang mereka tidak berniat "menyinggung perasaan masyarakat Islam atau menimbulkan kebingungan" sarat dengan unsur perbantahan. Hakikatnya, perlakuan dan sikap mereka dalam mengemukakan hujah telah pun menggusarkan orang Islam. Mereka lupa, atau tidak memahami hakikat bahawa bahasa dan fikiran, yang satunya saling mencerminkan yang satu lagi; dalam perkataan lain, cara untuk mempengaruhi pemikiran adalah melalui bahasa, dan bahasa memberikan kesan terhadap cara seseorang berfikir.

Kita telah diperingatkan akan dakwaan mereka, "Bible bahasa Melayu menggunakan 'Allah' untuk God dan 'Tuhan' untuk Lord." Jelas bahawa makna-makna bagi istilah tersebut dalam Bible bahasa Melayu yang mereka rujuk, adalah salah.

Apakah mereka ingin menunjuk dan mengajar orang-orang Melayu mengenai peristilahan yang betul dalam bahasa Melayu?

Bahasa Melayu memahami istilah ‘Tuhan' untuk merujuk kepada God dan bukan istilah Lord. Orang-orang Melayu faham bahawa apabila istilah Arab 'ilah' digunakan, ia merujuk kepada istilah Inggeris ‘God' dan istilah Melayu 'Tuhan'; dan apabila istilah Arab 'rabb' digunakan, ia merujuk kepada istilah Inggeris 'Lord'. Justeru, apabila kalimah syahadah diterjemahkan dalam bahasa Melayu, bunyinya "tiada Tuhan melainkan Allah", yang diterjemahkan dalam bahasa Inggeris sebagai "there is no God except Allah". Sekiranya istilah 'God' diterjemahkan sebagai ‘Allah', maka terjemahan tersebut akan berbunyi "Tiada Allah melainkan Allah" ("There is no Allah but Allah"), yang merupakan satu percanggahan. Terjemahan yang sebegitu janggal bukan sahaja tidak menjernih dan menyelesaikan masalah, bahkan akan menimbulkan perselisihan dan rasa bingung.

Akan tetapi, Paderi Lawrence sememangnya sarat dengan percanggahan. Beliau menggunakan rangkai kata ‘bahasa Malaysia' merujuk kepada bahasa yang digunakan dalam terbitan mingguan mereka untuk memenuhi keperluan "ramai penganut Katolik yang bertutur dalam bahasa Malaysia" di negara ini. Walau bagaimanapun, beliau kemudiannya berhujah dengan menggunakan peristilahan yang terdapat hanya dalam bahasa Melayu. Apabila seseorang itu merujuk kepada satu bahasa yang mencerminkan faham-faham maknawi ajaran-ajaran atau kelaziman aqidah yang tertentu - dalam hal ini bahasa Melayu - dia tidak seharusnya melalaikan pengertian penting bahasa tersebut bernisbah kepada bahasa-bahasa yang lain.

Walau bagaimanapun, jelas bahawa Paderi Lawrence bergantung kepada fakta yang Jemaah Menteri memutuskan bahawa bahasa Melayu tidak lagi dirujuk sebagai ‘bahasa Melayu', tetapi sebagai ‘bahasa Malaysia'. Itu ketetapan siasah dan justeru itu mungkin hanya bersangkutan dengan medan siasah. Secara ringkasnya, bahasa Melayu khusus bernisbah kepada orang-orang Melayu. Ia adalah satu bahasa yang faham- faham utamanya yang berkenaan dengan hakikat insan dan nisbah antara yang kudus dengan yang nista (the Sacred and the profane) telah dilahirkan dari rahim agama Islam dan kebudayaan Melayu - budaya Melayu itu sendiri terhasil dari agama Islam. Oleh itu, sekiranya peristilahan dari agama lain mengenai faham-faham utama diterjemahkan dalam bahasa Melayu, ia wajiblah mencerminkan kelaziman Melayu, yang berpunca dari agama Islam.

Paderi Lawrence juga mendakwa, "Kami mengikut Bible," mengenai penggunaan istilah ‘Allah' bila merujuk kepada istilah ‘God'.

Apakah itu benar?

Apakah beliau betul-betul menggunakan Bible sebagai sumber rujukannya? Terjemahan atau versi Bible mana yang beliau rujuk?

Terdahulu kita telah memetik laporan media bahawa Paderi Lawrence mendakwa, "semenjak awal abad ke-19, para penganut agama Katolik di Malaya telah memiliki buku-buku doa dalam bahasa Melayu dan ‘Allah' digunakan merujuk kepada God, dan para penganut Katolik Malta juga menggunakan istilah ‘Allah' untuk merujuk God dan demikian juga para penganut Kristian di Indonesia, Pakistan dan Asia Barat." Jelas di sini bahawa, sumber rujukannya bukanlah Bible seperti yang didakwanya, tetapi masyarakat Katolik abad ke-19 Malaya, Malta, Indonesia, Pakistan dan Asia Barat.

Dengan demikian, Paderi tersebut mengandaikan masyarakat itu satu kejadian hidup (being) yang pasti boleh berfikir dan bertindak berdasarkan akal fikiran. Walau bagaimanapun, pada hakikatnya, masyarakat bukanlah kejadian hidup dan justeru itu tidak mempunyai kebolehan berfikir dan bertindak secara aqliah. Sekiranya sesuatu itu tidak boleh berfikir secara aqliah, bagaimana ia boleh dikutip sebagai sumber rujukan yang sah, apatah lagi dalam hal-ehwal nisbah hubungan antara yang kudus dan yang nista?

Tambahan pula dan lebih penting, perkataan ‘Allah' adalah nama khas (proper name), sedangkan kalimat ‘Tuhan' ('God') adalah istilah umum yang merujuk kepada objek tumpuan kemuliaan teragung yang tiada nama, Pencipta Yang Maha Esa dan Pemerintah alam semesta. Berdasarkan kepada hakikat bahawa perkataan ‘Allah' adalah nama khas, ia bukanlah istilah yang mencerminkan bahasa kebangsaan. Justeru, hujah Paderi Lawrence yang mendakwa Bible Melayu menggunakan istilah itu, seolah-olah penggunaan istilah itu dalam bahasa Melayu mencerminkan bahasa kebangsaan, adalah karut semata-mata. Tambahan pula, walaupun seseorang itu mungkin mengakui bahawa benar orang-orang Kristian Arab di Asia Barat menggunakan istilah ‘Allah', mereka tidak menggunakannya merujuk kepada istilah ‘God' yang tercermin dalam Bible atau terjemahan-terjemahan Bible dalam bahasa Arab. Kalaupun mereka ada menggunakan istilah ‘Allah' dalam pertuturan, itu adalah kerana mereka menuruti kelaziman orang Arab sejauh mana yang berkenaan dengan kebudayaannya, bukan untuk membayangkan sehimpun kepercayaan i‘tiqad yang tertentu. Pernahkah Paderi Lawrence atau Rev. Herman Shastri membaca terjemahan Bible dalam bahasa Arab? Apakah mereka memahami bahasa Arab?

Dari segi falsafah maknawi, tidak terdapat tasawur kefahaman mengenai ‘Allah' dalam agama Kristian, dan dalam sebarang agama yang lain pun begitu juga; oleh kerana itu agama-agama tersebut tidak berhak untuk menggunakan istilah ‘Allah'. Apabila Perdana Menteri memberikan kebenaran kepada dialog ‘antara-agama', pihak-pihak yang terlibat telah bersetuju yang dialog tersebut tidak akan bertentang hujah mengenai akidah, berdasarkan kepada hakikat bahawa pelbagai ajaran agama telah pun "bersetuju untuk tidak bersetuju" dalam perkara-perkara berkisar akidah. Secara amnya semua kalangan yang terbabit telah pun bersetuju dengan ketetapan tersebut. Walau bagaimanapun, sekarang, tampaknya Paderi Lawrence dan Rev. Herman Shastri tidak berpuas hati sekadar berbahas mengenai perkara-perkara akhlakiah, justeru kita terpaksa menangkis hal-ehwal berkaitan i‘tiqad yang ditimbulkan tadi.

Tidak ada disebut mengenai nama khas Tuhan dalam Bible. Jika ada yang mendakwa nama Tuhan adalah Jesus, maka kenapa istilah ‘Tuhan' (‘God') diterjemah dengan menggunakan kalimat ‘Allah' dan bukan ‘Jesus'? Oleh kerana nama khas Tuhan tidak disebut dalam Bible, berlakulah suatu kekaburan mengenai siapa yang disembah. Apakah nama khas Tuhan dalam agama Kristian? Sesungguhnyalah kita boleh menghujahkan bahawa ketiadaan nama khas-Nya bercanggah dengan sifat Tuhan Yang Maha Mengetahui. Tidakkah Tuhan mencipta manusia supaya dia mengenal dan menyembah-Nya? Tetapi siapakah yang disembah oleh manusia sekiranya dia tidak kenal siapa Tuhan? Oleh kerana kita telah berhujah bahawa kalimat ‘Allah' adalah nama khas dan pengertian sedemikian tidak ada dalam agama Kristian atau apa-apa juga agama lain, kita bolehlah dengan ini menyimpulkan bahawa sumber rujukan sebenar Paderi Lawrence dan Rev. Herman Shastri bukanlah Bible atau perkumpulan masyarakat Katolik abad ke-19 di Malaya, Malta, Indonesia, Pakistan, dan di Asia Barat, tetapi sumber asal mereka adalah al-Quran. Oleh itu, marilah kita meneliti apa yang dinyatakan dalam al-Quran mengenai siapa Tuhan. Untuk tujuan ini, kita rujuk kepada surah al-Quran yang ke-112 dan pengenalan tafsirnya. Pengantar huraian surah tersebut berbunyi,

Peliharalah iman agar sentiasa murni dan tiada cemar.

Allah benar wujud, Yang Maha Esa, Yang Maha Tunggal; Yang Maha Kekal Diperlukan, sunyi dari sebarang keperluan; kepada-Nya bergantung semua perkara, kepada-Nya kembali semua benda; Dia tidak beranak, berbapa atau berpasangan. Bagi-Nya tiada suatu pun tara. (Lihat Abdullah Yusuf Ali, The Meaning of the Holy Qur‘an, Brentwood, Maryland: Amana Corporation.)

Jelas bahawa bahagian akhir penerangan tafsir menyanggah pemerian Tuhan Tiga-Bersatu (Trinity) oleh Bible. Sekiranya pembaca meneliti surah itu, ia berbunyi,

Katakanlah: Dia adalah Allah, Yang Maha Esa. Allah, Yang Maha Kekal Abadi tiada berkesudahan. Tiada Dia beranak, dan tiada pula Dia diperanakkan. Dan bagi-Nya tiada suatu pun tara.

Dari awal-awal lagi nama Tuhan dinyatakan, Allah. Ini diikuti dengan pemerian bahawa Dia adalah Tuhan Yang Maha Esa yang kepada-Nya pengabdian wajib diserahkan, maha suci lagi maha murni yang nyata tiada taranya dengan khalayak makhluk-Nya; sebarang benda yang lain semuanya hanya bayangan pucat bernisbah kepada-Nya. Allah tidak mungkin difahami sebagai memiliki anak atau bapa kerana itu akan memasukkan sifat benda bernyawa dalam kefahaman kita mengenai-Nya; sifat-sifat dan hakikat-Nya tunggal tersendiri tidak ada tara-Nya (ringkasan kepada catatan no. 6296, Abdullah Yusuf Ali, The Meaning of the Holy Qur‘an, Brentwood, Maryland: Amana Corporation, 1991, ms. 1714).

Ayat "tiada Dia beranak, dan tiada pula Dia diperanakkan" menyangkal kefahaman agama Kristian mengenai Tuhan, "Bapa", "Anak", dan seterusnya (rujuk catatan no. 6299 dari sumber yang sama). Bahagian terakhir surah tersebut, Dan bagi-Nya tiada suatu pun tara memberi amaran "jangan menganggapi Tuhan dalam sifat rupa bentuk manusia (anthropomorphism), iaitu kecenderungan untuk menganggapi Allah menurut rupa dan bentuk serta sifat kita sendiri, satu kecenderungan licik yang menyusup dalam setiap zaman dan di kalangan semua bangsa (lihat catatan no. 6300 sumber di atas). Nyata bahawa ‘Tuhan' Islam bukanlah ‘Tuhan' Kristian.

Saya nyatakan kepada para pembaca, bahawa pandangan Paderi Lawrence dan Rev. Herman Shastri tidak mencerminkan sebahagian besar penganut Katolik, gereja, atau Paus. Sesungguhnya niat serta tujuan mereka bukan sahaja untuk menyerang dan menimbulkan kekalutan di kalangan orang-orang Islam, tetapi juga para penganut Katolik. Kaedah mereka adalah melalui bahasa; akan tetapi, oleh kerana kita menghujahkan hakikat bahawa bahasa dan fikiran adalah saling mencerminkan satu sama lain, sebarang istilah dari satu tradisi pemikiran, apabila diterjemahkan perlulah membayangkan tradisi pemikiran yang asal, jika tidak maka makna sebenar peristilahan yang diterjemahkan akan menjadi kacau-bilau. Dalam hal ini, mereka menghujahkan bahawa menurut tradisi pemikiran Katolik istilah ‘God' diterjemahkan dalam bahasa Melayu sebagai ‘Allah', satu kalimat yang mencerminkan tradisi pemikiran Islam. Dan justeru itu, makna sebenar istilah asal ‘God', seperti tergambar dalam tradisi pemikiran Katolik, dengan sengaja sedang dikelirukan.

Tadi telah kita sebut bahawa, dalam kenyataan yang dilaporkan akhbar The Star (28 Disember 2007), Paderi Lawrence menegaskan, "kami telah mengambil keputusan supaya kedudukan kami dari segi undang-undang mengenai penggunaan perkataan tersebut diselesaikan melalui ketetapan mahkamah."

Apakah mahkamah memiliki kuasa ke atas tradisi pemikiran agama?

Apakah beliau berpendapat mahkamah memiliki kuasa membuat ketetapan mengenai siapa Tuhan?

Apakah beliau menyangka mahkamah memiliki kuasa ke atas sekian banyak generasi ilmuwan dan sarjana terpelajar yang pandai lagi berkeahlian mengenai aqa‘id?

Eloklah saya mengingatkan beliau, dalam surat peringatan dari pejabat Timbalan Perdana Menteri bertarikh 16 Mei 1986 berkenaan empat peristilahan Islam yang tidak boleh digunakan dalam Bible, dalam apa-apa jua keadaan iaitu: ‘Allah', ‘Kaabah', ‘Baitullah', dan ‘Solat'. Difahamkan keputusan Kabinet itu masih mengikat; dalam hal ini, sebarang tindakan yang dikemukakan oleh pihak Paderi Lawrence ke mahkamah bukan sangat untuk mencabar kedudukan undang-undang berkenaan penggunaan oleh gereja Katolik akan kalimat ‘Allah' untuk menterjemahkan istilah ‘Tuhan' (‘God') dalam Bible. Tetapi lebih dahsyat, ia satu cabaran yang menentang keputusan jemaah Menteri. Malaysia memiliki jemaah Menteri dan Parlimen perwakilan rakyat adalah bertonggakkan Rukunegara. Tiang seri pertama Rukunegara dalam bahasa Inggerisnya, "Belief in God" yang merupakan terjemahan cermat lagi tepat daripada bahasa Melayu "Kepercayaan kepada Tuhan". Terjemahan Inggerisnya tidak berbunyi "Belief in Allah" kerana, barangkali kalau begitu Rukunegara akan dituduh sebagai memaktubkan Malaysia negara Islam atau Islamic State.

Anda tidak memiliki hak atau keizinan untuk menterjemahkan peristilahan yang terdapat dalam satu tradisi pemikiran akidah agama dengan menggunakan ungkapan-ungkapan tradisi pemikiran akidah agama yang lain, khususnya ungkapan-ungkapan yang merujuk kepada siapa itu Tuhan yang tidak ada faham tasdiqnya dalam tradisi anda. Perlihatkan rasa hormat kepada istilah-istilah penting dan erti-erti maknawi yang mencerminkan agama Islam dalam bahasa Melayu, persis sikap orang Islam yang menghormati istilah dan faham dasar anda. Kami tidak merujuk tempat pemujaan anda selaku masjid, tetapi sebagai gereja, kuil, candi dan seterusnya. Kami tidak menganggap pemimpin sembahyang berkumpulan anda sebagai imam, melainkan selaku paderi, sami dan seterusnya. Kami tidak merujuk kepada tumpuan sembahan anda sebagai Allah tetapi sebagai Tuhan. Kami tidak menafikan hak mana-mana golongan penganut agama lain menterjemahkan buku suci masing-masing dalam bahasa Melayu; cuma, seandainya ada yang hendak berbuat demikian, maka golongan tersebut mestilah memiliki ilmu dan keahlian mengenai bahasa Melayu, cukup berdaya cipta lagi kreatif untuk menggunakan peristilahan yang benar-benar mencerminkan tradisi pemikiran akidah agama masing-masing. Sementara itu, adalah wajar bagi Paderi Lawrence Andrews dan Rev. Herman Shastri bersikap lebih teliti, waspada dan berhati-hati.

Beliau merupakan mantan Ketua Pengarah IKIM.

31 Disember 2009

Jangan terperangkap agenda Barat


Oleh: Wan Saiful Wan Jan

Di kota London beberapa hari lepas terdapat iklan akhbar satu muka surat penuh yang ditaja oleh sebuah NGO bernama Christian Aid. Iklan itu menyeru warga London supaya menulis surat kepada Perdana Menteri Gordon Brown. Christian Aid mahu supaya Gordon Brown mengusahakan agar Kesatuan Eropah menurunkan emisi karbon dan memastikan negara-negara membangun juga “dibantu” untuk menghadkan emisi karbon mereka.

10 Disember 2009

1 Malaysia dan Pintu Terbuka

Oleh: Dato' Baharuddin Zainal

Idea dan laungan 1 Malaysia yang disebarkan oleh kerajaan nampaknya semakin membuka pintu yang luas untuk kaum bukan Melayu mendesak kerajaan memberi peluang sama rata kepada orang bukan Melayu dalam segala bidang kehidupan di Malaysia. Berdasarkan pandangan: peluang sama untuk semua,hak sama rata untuk Melayu, Cina dan India, maka telah timbul tindakan menghujah hak-hak keistemewaan orang Melayu sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh seorang pemimpin politik bukan Melayu, M. Kulasegaran, DAP, sehingga menimbulkan protes serta demonstrasi segolongan orang Melayu di Shah Alam.

Soalnya tidakkah perbuatan pemimpin bukan Melayu itu satu lanjutan yang logikal daripada konsep 1 Malaysia? Kalau sudah dibuka peluang untuk semua tentulah tak ada hak-hak keistemewaan lagi bagi orang Melayu. Kita tidak boleh salahkan mereka kalau beranggapan demikian walaupun jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tentang hak-hak keistemewaan orang Melayu.

Kalau orang Melayu sudah yakin bahawa kedudukan dan kekuatan ekonominya sudah sama kuat; pemilikan harta (tanah, rumah, gedung, kedai, kilang, pejabat,apartment, kondomonium) sama banyak kalau pun tidak lebih; pemilikan syarikat perniagaan (runcit dan borong, eksport dan import, pengangkutan dan pembuatan, pemasaran dan pengedaran) sudah setara; dan kedudukan dalam bidang profersional (doktor, jerutera, arkitek, peguam, akauntan, doktor gigi dan sebagainya) sudah sama hebat dengan bukan Melayu apa hendak dibimbangkan. Tetapi kalau masih ada bumiputera yang minum air telaga, jalan kaki berbatu-batu ke sekolah atau naik perahu, apabila banjir dinding rumahnya basah, siapa yang hendak kita salahkan?

Hampir 90% jabatan kerajaan, polis dan tentera itu penuh padat dengan pekerja serta pegawai Melayu, tetapi kenapa Melayu masih macam merempat minta sedekah setelah 50 tahun merdeka. Lihat berapa ramai yang berpangkat JUSA dan yang menjadi pengarah dalam badan-badan berkanun atau agensi kerajaan, apa yang mereka rancangkan secara strategik untuk membela Melayu?

Nah, beberapa tahun ini Bahasa Melayu pun dihumban dalam longkang pendidikan Matematik dan Sains!

Kenapa orang Melayu tak bersuara lantang, berani dan bersedia mati untuk mempertahankkannya. Malah yang menghina bahasa Melayu itu pemimpin politik Melayu dalam kerajaan.

Jadi, siapakah yang bersalah dan patut menderita kehinaan?

Pemimpin kerajaan Melayu kena berterus terang dan jelas memberitahu di mana letaknya kedudukan masyarakat Melayu di sisi masyarakat Cina dan India dalam 1 Malaysia ini; bukannya bercakap banyak tentang peluang dan kedudukan orang Cina dan India sahaja.

Di mana letaknya kedudukan bahasa dalam amalan rasmi di semua tempat, jati diri dan tradisi seni budaya dalam upacara-upacara budaya nasional; dan Islam sebagai agama Persekutuan dalam urusan kehidupan bernegara. Apa pun 1 Malaysia tak boleh mengkromikan asas-asas sejarah, prinsip-prinsip perlembagaan, dan tasawur Islam sebagai identiti atau jati diri 1 Malaysia itu.

Beliau lebih dikenali sebagai Baha Zain dan merupakan Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena).

Sumber: Blog DesaKota

25 November 2009

Krisis Kependidikan Masa Kini: Cabaran Membina Generasi Berjiwa Merdeka

Oleh: Dato' Dr Siddiq Fadzil

Mengendalikan sebuah institusi pengajian tinggi swasta Islami di tengah kalut persaingan dan kekangan memang tidak mudah; namun demi komitmen dan kesetiaan terhadap idealisme pendidikan dan pemerkasaan bangsa, maka ia mesti dilakukan meskipun terpaksa berhempas pulas menentang arus, menangkal ribut, melawan badai. Kehadiran IPTS model Dar al-Hikmah sebenarnya amat bererti sekali pada saat dunia pendidikan dilanda krisis berat setelah menjadi korban politisasi dan komersialisasi. Demikianlah tragedi yang menimpa IPT akhir-akhir ini. Di mana-mana orang mulai menyuarakan keprihatinan bahawa kampus-kampus IPT yang tampak mewah, megah dan gagah itu tidak lagi dapat menyembunyikan hakikat kelumpuhan dinamikanya sebagai institusi pemerkasaan dan pencerdasan generasi muda. IPT semakin kehilangan wibawa sebagai pusat kecendekiawanan yang bebas, kritis dan artikulatif. Warga IPT sudah semakin tidak mampu menegakkan kebenaran dan kedaulatan ilmu. Segalanya telah diputuskan dan diatur berasaskan kepentingan politik penguasa dan perkiraan untung rugi sektor korporat pendana.

Melihat pola dan proses pendidikan yang sedang dijalani oleh generasi muda dan implikasinya terhadap masa depan bangsa, terasa ada semacam panggilan yang kuat untuk melakukan kunjungan ulang (revisit) apa yang telah kita wacanakan tiga dekad yang lalu, ketika kita mendiskusikan fenomena the captive mind (minda tawanan) yang diserlahkan oleh Prof. Syed Hussein Alatas, sewaktu kita menelaah gagasan Paolo Freire tentang pendidikan kaum tertindas (Pedagogy of the oppressed), dan semasa kita dicerahkan dengan gagasan pendidikan Prof. Syed Naquib al-Attas. Ternyata setelah tiga puluh tahun berlalu, kita masih dituntut untuk terus memperjuangkan pendidikan liberatif-transformatif, pendidikan yang membebaskan anak bangsa dari belenggu “minda tawanan”. Untuk itu mungkin ada manfaatnya kita melanjutkan telaah terhadap pemikiran Paolo Freire seterusnya sebagaimana yang tertuang dalam buku-bukunya yang lain, termasuk A Pedagogy for Liberation: Dialogues on Transforming Education. Memang gagasan tokoh pendidikan dari Brazil itu harus ditanggapi secara kritis-evaluatif. Ia bukanlah dogma yang harus diterima sebagai benar; tetapi kekentalan semangat pembebasan dan pemberdayaan mewajarkannya menjadi bahan bacaan klasik yang relevan, bukan hanya untuk rakyat Amerika Latin, malah untuk umat dunia Islam juga.

Demikianlah kenyataannya, di tengah hangar-bangar demokratisasi dan hak asasi, masih berlaku pembelengguan minda, malah berlaku juga gejala yang disebut oleh Fahmiy Huwaydiy sebagai al-irhab al-fikriy atau terorisme pemikiran. Sempena memasuki alaf baru, abad ke-21, penyair kenamaan Indonesia, Rendra menyampaikan pidato keprihatinan dengan judul yang mencengangkan, “Bangsa Indonesia Belum Merdeka”. Demokrasi yang seharusnya membawa erti kebebasan dan keterbukaan, dalam konteks Indonesia menurut Rendra telah dieksploitasi oleh parti-parti politik untuk menjajah fikiran rakyat dengan mendirikan tembok-tembok yang mengurung mereka dalam pola fikir parti, tanpa ruang pendedahan yang secukupnya kepada pemikiran di luar faham parti. Sementara itu penguasa Order Baru melaksanakan pelbagai dasar dan peraturan yang membunuh kesedaran dan pemikiran kritis generasi muda kampus. Peraturan-peraturan supresif yang memakai nama “Normalisasi Kehidupan Kampus” itu sebenarnya tidak lain adalah lambang kegagalan generasi tua (penguasa) untuk berdialog dengan generasi muda kritis-idealis. Maka berlakulah apa yang dahulu dilakukan oleh Fir`aun terhadap Bani Isra’il, menyuapi rakyat dengan pandangan sepihak, “ma urikum illa ma ara, aku tidak perlihatkan kepadamu selain apa yang aku lihat”. Dengan kata lain, hanya pendapat versi Fir`aun sahaja satu-satunya versi yang boleh diketengahkan. Demikianlah berlakunya pemaksaan dasar serba berat sebelah yang mengakibatkan lahirnya generasi yang “mati sebelah”; punya dua mata tetapi hanya dibolehkan melihat ke sebelah; punya dua telinga, tetapi hanya mendengar sebelah; punya dua tangan tetapi hanya boleh mencapai sebelah; punya dua kaki, tetapi hanya boleh melangkah ke satu arah. Mungkin generasi itulah yang diwakili oleh si Toni, watak simbolik yang dilukiskan oleh penyair Taufiq Ismail.

Komitmen pendidikan Islam ialah untuk membina manusia utuh dan seimbang, berwawasan luas, berminda terbuka, siap mengambil hikmah biar dari mana pun datangnya, walau dari musuh sekalipun, khudhu ‘l-hikmata min ayyi wi`ain kharajat. Nasib generasi “serba sebelah” itu sudah cukup buruk, tetapi al-Qur’an mengingatkan nasib buruk itu mungkin menjadi lebih buruk lagi, apabila mereka menjadi buta dan pekak sama sekali: lahum qulubun la yafqahuna biha, wa lahum a`yunun la yubsiruna biha, wa lahun adhanun la yasma`una biha, ula’ika ka ‘l-an`ami bal hum adall. Demikianlah pemerian Qur’ani tentang generasi manusia yang hilang kemanusiaannya, lalu merudum martabatnya sedarjat dengan haiwan ternakan (al-an`am) apabila hati tidak lagi mengerti, apabila otak tidak berfikir bijak, apabila mata tidak melihat fakta, apabila telinga tidak mendengar yang benar.

Ketika ini kita sedang menyaksikan gejala ironis, kemarau intelektual di tengah banjir graduan. Rupa-rupanya yang namanya intelektual bukan sekadar pemilik ijazah tinggi. Intelektual adalah manusia pemikir, dunia intelektual adalah dunia idea, dialog dan wacana yang kritis, cerdas dan bebas. Kesuburan intelektual sebenarnya banyak ditentukan oleh faktor kualiti kepimpinan dan dasar pemerintahan. Demikianlah iktibar dari sejarah sebagaimana yang disorot oleh Ali Mazrui tentang fenomena kematian intelektualisme di negara-negara Afrika Timur. Sebelum dilanda bencana keintelektualan akibat politik otoriter, negara-negara seperti Kenya, Uganda dan Tanzania pernah melalui era kesuburan semangat dan budaya intelektual, khususnya tahun-tahun awal pasca kemerdekaan; iaitu ketika tokoh-tokoh intelektual yang menjadi Ketua Negara masih setia terhadap nilai dan etika keintelektualan. Kenya dipimpin oleh Jomo Kenyatta, peribumi pertama yang ahli dalam bidang antropologi sosial, penulis buku Facing Mount Kenya. Uganda dipimpin oleh Obote, pengagum Milton, sasterawan Inggeris yang tersohor dengan karyanya Paradise Lost, sehingga beliau mencantumkan nama pengarang tersebut dengan namanya menjadi Milton Obote. Sementara itu Tanzania dipimpin oleh Julius K.Nyerere, pemikir-failasuf yang menterjemahkan dua karya agung Shakespeare ke dalam bahasa Kiswahili, Julius Caesar dan The Merchant of Venice. Sebagai pemimpin berperanan ganda, penguasa-intelektual, mereka menyedari dan menghargai nilai intelektualisme, dan kerananya mereka bersedia mewujudkan suasana yang kondusif untuk perkembangan keintelektualan termasuk kebebasan berfikir dan bersuara serta hak berbeza pendapat dengan siapa sahaja, termasuk Ketua Negara sendiri.

Malang sekali, perkembangan politik otoriter telah mengakibatkan sejarah keintelektualan Afrika Timur mengalami nasib yang cukup tragik: sayang intelektualisme mati dibunuh! Di Uganda ia dibunuh oleh Idi Amin yang naik menerusi rampasan kuasa tentera. Selama lapan tahun menjadi penguasa diktator-brutal beliau telah membisukan kaum intelektual. Mereka yang tidak mahu dibisukan terpaksa nyah ke luar negara. Di Kenya, intelektualisme lumpuh akibat meningkatnya politik otoriter dan menurunnya kebebasan akademik di kampus-kampus. Gejala yang bermula pada akhir pemerintahan Kenyatta ini menjadi semakin parah pada zaman selepasnya. Di Tanzania, kematian intelektualisme berlaku agak lewat kerana dilindungi oleh Ketua Negaranya Julius K.Nyerere, tokoh yang disifatkan oleh Ali Mazrui sebagai a superb intellectual ruler yang tahu menghargai pemikiran dan perdebatan intelektual. Bagaimanapun akhirnya ajal tidak dapat ditunda. Intelektualisme di Tanzania mati dicekik oleh politik Nyerere sendiri apabila beliau mengamalkan sistem politik satu parti dan mendominankan ideologi sosialisme lokal. Politik seperti itu secara konsekuensial telah membawa kepada amalan diskriminatif kepartian dan ideology, meminggirkan intelektual yang tidak sependirian dan merangsang pengkhianatan intelektual -menyikapi sesuatu bukan dengan amanah keilmuan tetapi dengan ampu bodek untuk meraih habuan. Memang di mana-mana pun dan bila-bila pun, amalan diskriminatif selalu menjadi pembunuh utama intelektualisme. Sistem satu parti atau multi-parti sekalipun, jika sudah mengamalkan dasar diskriminatif, melantik dan mengangkat berasaskan kriteria “orang kita” dan “bukan orang kita” dengan mengenepikan kualiti dan prestasi, alamat matilah tradisi keintelektualan bangsa.

Di mana-mana, IPT dianggap sebagai the last bastion, kubu terakhir tradisi keintelektualan. Tetapi apabila IPT kehilangan otonomi dan kebebasan akademik, apabila IPT ikut terseret menjadi korban politisasi dan ditundukkan kepada kepentingan kepartian maka IPT akan segera kehilangan kekuatan meritokratiknya, dan kehilangan misi keintelektualannya. Mungkin masanya belum terlalu. lewat untuk memulihkan kredibiliti IPT dengan mempertimbangkan saranan baik pulih yang dikemukakan oleh Ali Mazrui, “A university has to be politically distant from the state; second, a university has also to be culturally close to society; and third, a university has to be intellectually linked to wider scholarly and scientific values in the world of learning.

Masalah yang kita hadapi sebenarnya bukan hanya kelesuan IPT, tetapi dunia pendidikan keseluruhannya sedang ditimpa krisis. Sistem pendidikan di pelbagai rantau dunia ketika ini sedang dipersoalkan dari pelbagai sudut. Ada yang mempersoalkannya dari segi biayanya yang terlalu tinggi melewati batas jangkauan majoriti rakyat. Akibat komersialisasi yang bermotif mengaut keuntungan, rakyat harus membayar mahal sedang kualitinya belum pasti. Dengan ketiadaan biasiswa dan bantuan yang mencukupi biaya pendidikan terbeban sepenuhnya di bahu ibu-bapa. Untuk itu mereka yang kurang mampu akan terpaksa bergolok bergadai. Keadaan inilah yang meresahkan masyarakat. Di Indonesia misalnya, telah terbit buku-buku dengan judul bernada protes seperti, Pendidikan Yang Memiskinkan dan Orang Miskin dilarang Sekolah. Andainya demokratisasi pendidikan mahu direalisasikan harus dipastikan semua lapisan rakyat dapat menikmati pendidikan berkualiti dengan kos yang terjangkau. Kegagalan melaksanakan dasar ini akan mewujudkan keadaan survival of the richest, di mana pendidikan berkualiti menjadi monopoli segelintir kaum elit.

Selain itu ada pula yang mempersoalkannya dari segi penumpuannya yang berlebih-lebihan pada prestasi akademik sehingga mengabaikan dimensi-dimensi kemanusiaan lainnya. Anggapan umum bahawa prestasi akademik adalah penentu masa depan telah menimbulkan suasana persaingan yang semakin sengit. Alam persekolahan telah menjadi sebuah gelanggang hempas pulas yang tegang, anak-anak sekolahan kelihatan sugul, muram, kelelahan, terbeban dan tertekan. Keadaan inilah yang menimbulkan pertanyaan, “Are we preparing them for success or overloading them with stress?”. Selain dianggap penentu masa depan, prestasi akademik anak-anak juga seringkali dilihat sebagai lambang status sosial dan kebanggaan orang tuanya. Untuk itu pula anak-anak sekolahan dipacu bagai kuda lumba. Akibatnya yang kalah berlumba atau yang memang tidak mampu berlumba berasa tidak dihargai dan tidak dikehendaki. Anak-anak yang kecewa ini lalu mencari tempat pelarian - ada yang membunuh diri, ada yang menagih dadah, ada yang menyertai kumpulan haram dan bermacam-macam lagi. Disedari atau tidak, persaingan mencapai gred tertinggi telah menumbuhkan budaya menipu dan meniru yang ketika ini sudah menjadi gejala global, “From Beijing to Boston, student cheating is reaching new levels, thanks in large part to advances in technology. But competition is the real culprit, as top grades - regardless of how kids achieve them - are more and more critical.” Demikianlah kata-kata yang tercatat pada halaman depan Newsweek, 27 Mac 2006. Kalau ini bukan krisis, lalu apa?

Beliau merupakan bekas guru pelatih di Institut Bahasa (kini IPGM Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur). Beliau pernah menyandang beberapa jawatan, antaranya ialah Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Kini, beliau merupakan Presiden Wadah Percerdasan Ummah (WADAH) dan Kolej Dar Hikmah, Kajang.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More