25 Februari 2009

Bengkel Pidato: Kepemimpinan dan Keterampilan dalam Seni Pengucapan Awam

Pada 21 Februari 2009, Kelab Seni Pengucapan Awam (KESPA) Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Bahasa Melayu telah mengadakan bengkel pidato di Dewan Za'ba, IPGM-KBM.

Bengkel ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan lagi kepemimpinan dan keterampilan individu dalam menyampaikan seni pengucapan awam dengan betul dan berkesan serta merakyatkan ilmu pidato kepada semua lapisan masyarakat.

Bengkel ini telah berlangsung pada pukul 8.00 pagi sehingga 5.00 petang. Pengisian bengkel dibahagikan kepada 3 fasa; teori, amali dan praktikal. Sesi pertama, iaitu teori telah disampaikan oleh Yang Berbahagia Dato' Dr. Syed Ahmad bin Syed Samsuddin Al-Saggof daripada Pusat Latihan Pidato Profesional Malaysia (PULAPI-PRO) yang juga merupakan Penaung PULAPI-PRO dan Pemegang Sandang Tertinggi Citra Ageng Pidato Nusantara.

Selepas itu, sesi ke-2 (amali) dikendalikan pula oleh Encik Mohd. Hafezi bin Abd. Hamid, Pembimbing Luar KESPA dan Pemegang Pentauliahan Pemidato Profesional (CPM-Certificate Professional Motivator) daripada PULAPI-PRO. Teknik-teknik pidato nusantara diajar berperingkat-peringkat untuk memberikan kefahaman yang jelas kepada semua peserta.

Sesi ke-3, iaitu praktikal, peserta-peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk melakukan praktikal. Peranan fasilitator setiap kumpulan penting untuk membetulkan mana-mana kesilapan yang masih dilakukan peserta dan menjawab persoalan-persoalan berkenaan ilmu pidato ini.

Bengkel ini juga mendapat sokongan dan penyertaan daripada wakil IPGM-Kampus Bahasa Antarabangsa, IPGM-Kampus Ilmu Khas, Universiti Malaya dan Universiti Teknologi Mara. Terima kasih kepada semua yang telah bersama-sama menjayakan bengkel ini.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More