This is default featured post 1 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured post 2 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured post 3 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured post 4 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured post 5 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

31 Disember 2009

Jangan terperangkap agenda Barat


Oleh: Wan Saiful Wan Jan

Di kota London beberapa hari lepas terdapat iklan akhbar satu muka surat penuh yang ditaja oleh sebuah NGO bernama Christian Aid. Iklan itu menyeru warga London supaya menulis surat kepada Perdana Menteri Gordon Brown. Christian Aid mahu supaya Gordon Brown mengusahakan agar Kesatuan Eropah menurunkan emisi karbon dan memastikan negara-negara membangun juga “dibantu” untuk menghadkan emisi karbon mereka.

10 Disember 2009

1 Malaysia dan Pintu Terbuka

Oleh: Dato' Baharuddin Zainal

Idea dan laungan 1 Malaysia yang disebarkan oleh kerajaan nampaknya semakin membuka pintu yang luas untuk kaum bukan Melayu mendesak kerajaan memberi peluang sama rata kepada orang bukan Melayu dalam segala bidang kehidupan di Malaysia. Berdasarkan pandangan: peluang sama untuk semua,hak sama rata untuk Melayu, Cina dan India, maka telah timbul tindakan menghujah hak-hak keistemewaan orang Melayu sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh seorang pemimpin politik bukan Melayu, M. Kulasegaran, DAP, sehingga menimbulkan protes serta demonstrasi segolongan orang Melayu di Shah Alam.

Soalnya tidakkah perbuatan pemimpin bukan Melayu itu satu lanjutan yang logikal daripada konsep 1 Malaysia? Kalau sudah dibuka peluang untuk semua tentulah tak ada hak-hak keistemewaan lagi bagi orang Melayu. Kita tidak boleh salahkan mereka kalau beranggapan demikian walaupun jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tentang hak-hak keistemewaan orang Melayu.

Kalau orang Melayu sudah yakin bahawa kedudukan dan kekuatan ekonominya sudah sama kuat; pemilikan harta (tanah, rumah, gedung, kedai, kilang, pejabat,apartment, kondomonium) sama banyak kalau pun tidak lebih; pemilikan syarikat perniagaan (runcit dan borong, eksport dan import, pengangkutan dan pembuatan, pemasaran dan pengedaran) sudah setara; dan kedudukan dalam bidang profersional (doktor, jerutera, arkitek, peguam, akauntan, doktor gigi dan sebagainya) sudah sama hebat dengan bukan Melayu apa hendak dibimbangkan. Tetapi kalau masih ada bumiputera yang minum air telaga, jalan kaki berbatu-batu ke sekolah atau naik perahu, apabila banjir dinding rumahnya basah, siapa yang hendak kita salahkan?

Hampir 90% jabatan kerajaan, polis dan tentera itu penuh padat dengan pekerja serta pegawai Melayu, tetapi kenapa Melayu masih macam merempat minta sedekah setelah 50 tahun merdeka. Lihat berapa ramai yang berpangkat JUSA dan yang menjadi pengarah dalam badan-badan berkanun atau agensi kerajaan, apa yang mereka rancangkan secara strategik untuk membela Melayu?

Nah, beberapa tahun ini Bahasa Melayu pun dihumban dalam longkang pendidikan Matematik dan Sains!

Kenapa orang Melayu tak bersuara lantang, berani dan bersedia mati untuk mempertahankkannya. Malah yang menghina bahasa Melayu itu pemimpin politik Melayu dalam kerajaan.

Jadi, siapakah yang bersalah dan patut menderita kehinaan?

Pemimpin kerajaan Melayu kena berterus terang dan jelas memberitahu di mana letaknya kedudukan masyarakat Melayu di sisi masyarakat Cina dan India dalam 1 Malaysia ini; bukannya bercakap banyak tentang peluang dan kedudukan orang Cina dan India sahaja.

Di mana letaknya kedudukan bahasa dalam amalan rasmi di semua tempat, jati diri dan tradisi seni budaya dalam upacara-upacara budaya nasional; dan Islam sebagai agama Persekutuan dalam urusan kehidupan bernegara. Apa pun 1 Malaysia tak boleh mengkromikan asas-asas sejarah, prinsip-prinsip perlembagaan, dan tasawur Islam sebagai identiti atau jati diri 1 Malaysia itu.

Beliau lebih dikenali sebagai Baha Zain dan merupakan Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena).

Sumber: Blog DesaKota

09 Disember 2009

Intelektual umpama gagak di rimba?

Oleh: Wan Hashim Wan Teh

RENCANA "Jangan bunuh intelektual" oleh Saifuddin Abdullah - intelektual muda yang menduduki tampuk kuasa melalui UMNO dalam di akhbar ini pada 25 November lalu menarik perhatian saya.

Apabila beliau memetik tajuk buku Where Have All The Intellectuals Gone? oleh Frank Furedi, soalan yang sama boleh diajukan juga kepada kita.

Saifuddin mengambil seorang ulama intelektual muda, Dr. Mohd Asri Zainal Abidin sebagai contoh. Mohd Asri baru-baru ini 'diserang' bertubi-tubi kerana kelantangannya bersuara. Alasan yang diberi ialah beliau tidak memohon kebenaran Majlis Agama Islam Negeri untuk berceramah.

Jawapan yang paling mudah pada soalan itu ialah sama ada intelektual kita sudah bisu atau penakut atau mereka sudah letih?

Seorang sahabat yang juga mantan Pengurus Besar ITNM sewaktu Seminar Peradaban Melayu anjuran Institut Peradaban Melayu, Universiti Perguruan Sultan Idris baru-baru ini membuat pengakuan, beliau sudah letih apabila membincangkan persoalan mendaulatkan bahasa dan budaya Melayu.

Ironinya, beliau masih muda. Sebaliknya, orang-orang lama tetapi belum tua seperti Datuk Hassan Ahmad, Sasterawan Negara A. Samad Said, Prof (E) Abdullah Hassan, Prof. Zainal Kling dan tentunya Prof (E) Tan Sri Ismail Hussein serta Prof (E) Nik Safiah Karim dan ramai lagi masih begitu gagah dan bertenaga demi mempertahankan maruah bangsa.

Salah satu kejayaan besar Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang diasaskan pada zaman Allahyarham Tun Abdul Razak ialah melahirkan anak-anak Melayu berpendidikan tinggi sehingga berkelulusan PhD. Sesetengahnya lulusan luar negara dan sudah bergelar profesor.

Mereka juga mengikuti pendidikan menerusi bahasa pengantar aliran Melayu dari sekolah rendah hingga ke universiti. Namun penguasaan mereka terhadap bahasa Inggeris adalah baik atau paling tidak, memuaskan.

Tetapi di mana mereka semua sekarang ini?

Jawabnya, ada di mana-mana. Masih giat membuat penyelidikan, menulis, berwacana - sama ada di sudut bilik seminar atau di warung kedai kopi - tetapi amat jarang mendapat liputan media.

Sebagai contoh, Selasa minggu lalu saya membaca ruangan blog dalam sebuah akhbar harian. Idea memandaikan diri atau bangsa melalui pembinaan korpus ilmu atau kepustakaan dalam bahasa sendiri adalah sesuatu yang amat menarik tetapi ramai yang masih jahil mengenainya.

Lantaran, sesetengah daripada kelompok yang jahil ini masih membuat desakan kepada kerajaan agar sistem Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di kembalikan.

Mereka mahu PPSMI dilaksanakan semula walaupun untuk sekolah-sekolah tertentu sahaja di Lembah Klang atas alasan yang amat menyakitkan hati.

Alasan mereka: "bahasa Malaysia itu bukan bahasa ilmu, terutama dalam bidang sains dan matematik". Perkara itu terkandung dalam ruangan surat dari pembaca dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris.

Persoalannya ialah wajarkah wacana ilmiah daripada seorang ilmuwan UPSI serta tokoh bahasa layak disiarkan di sudut bawah serta menumpang pada ruangan sastera seminggu sekali sahaja? Alahai.

Isu PPSMI adalah satu contoh terbaik budaya ilmu dipinggirkan apabila suatu keputusan yang amat besar dan menyentuh dasar dibuat dengan tidak terlebih dahulu merujuk kepada para ilmuwan yang lebih arif mengenainya.

Dan ternyata, keputusan menarik balik dasar yang telah gagal itu adalah tepat dan waras.

Saya mengenali seorang ahli Parlimen penggal lalu (2004-08) berkelulusan PhD dan pernah berkhidmat di sebuah universiti tetapi sudah digugurkan atau - dicantas oleh pemimpin negeri atau ketua bahagiannya sendiri yang takut kepada orang berkelulusan tinggi - seperti yang didakwanya.

Semestinya, untuk menjadi seorang pencinta apatah lagi pejuang bahasa di tanah air sendiri seperti Malaysia adalah sesuatu yang amat meletihkan, pada hal di negara-negara lain isu ini sudah berpuluh-puluh tahun malah beratus-ratus tahun lalu telah pun diselesaikan.

Kerana itu, ada intelektual kita yang memilih untuk menjadi "cendekiawan bisu".

Tepat sekali seperti pernah disuarakan oleh seorang lagi intelektual aktivis politik yang masih belum bisu bahawa pejuang bahasa kini ibarat pujangga tua yang sedang menunggu hari-hari terakhir kematian mereka.

Dalam lain perkataan, suara-suara mereka sesekali-sekala sayup-sayup terdengar tetapi begitu jauh seperti suara gagak-gagak hitam di rimba belantara. Mereka masih belum bisu, masih bersuara. Tetapi, siapakah yang mahu mendengar suara mereka?

DATUK DR. WAN HASHIM WAN TEH kini Profesor di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Sumber: Utusan Malaysia, 9 Disember 2009

26 November 2009

Sudut Ketiga: Jangan bunuh intelektual

Oleh: Saifuddin Abdullah

Intelektual ialah orang yang memusatkan diri untuk memikirkan idea dan masalah, bukan kebendaan, dengan menggunakan kemampuan akliahnya

Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin, bekas Mufti Perlis dan pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) intelektual. Namun, sebagai manusia biasa, beliau tidak bebas daripada kelemahan. Begitu juga intelektual lain. Justeru, mereka boleh dikritik. Tetapi, cara beliau diserang baru-baru ini adalah tidak adil. Begitu juga dengan cara intelektual lain yang pernah diserang.

Islam meletakkan intelektual/ulama di tempat tertinggi, iaitu sebagai pewaris para Nabi (Hadis riwayat At-Tirmidzi). Kita memerlukan intelektual untuk mendefinisi, meneroka, membentuk, membangunkan, mempertahankan dan meneruskan tamadun dan peradaban.

Membina intelektual yang hebat, kelas pertama dan bertaraf dunia bukanlah mudah. Kita melakukan segala-galanya untuk melahirkan dan memperkukuhkannya. Antaranya, ialah menyediakan pensyarah universiti berkelulusan PhD atau setaraf.

Kita juga berusaha mewujudkan iklim yang kondusif untuk membangunkan intelektual dan meningkatkan peranannya. Antaranya ialah melonjakkan budaya ilmu, menggalakkan debat, merancakkan penyelidikan dan memperbanyakkan penulisan.

Menurut Syed Hussein Alatas (1977), dalam bukunya Intelektual Masyarakat Membangun, definisi intelektual ialah "orang yang memusatkan diri untuk memikirkan idea dan masalah, bukan kebendaan, dengan menggunakan kemampuan akliahnya".

Menurutnya lagi, "Pengetahuan tentang suatu pokok permasalahan tertentu atau memiliki sesuatu gelar tertentu belumlah membuat orang menjadi intelektual, walaupun hal ini sering kali berdampingan: banyak didapati pemegang gelar dan profesor yang tidak memusatkan diri untuk mengembangkan bidang mereka atau berusaha menemukan pemecahan atas masalah tertentu dalam bidangnya. Sebaliknya, orang yang tanpa kelayakan akademik dapat menjadi intelektual apabila dia memanfaatkan kemampuan berfikirnya dan memiliki pengetahuan yang cukup mengenai pokok bahasan yang diminatinya."

Intelektual diharapkan memikul amanah tamadun dan peradaban dengan sebaik-baiknya. Mereka perlu mengelakkan diri daripada menjadi fenomena di US, iaitu yang disebut oleh Frank Furedi (2004) dalam bukunya Where Have All the Intellectuals Gone?, di mana pemikir seperti Betrand Russel, Raymond Williams atau Hannah Arendt, iaitu tokoh yang mempunyai ilmu yang tulen, visi yang luas dan prihatin terhadap isu-isu masyarakat telah diganti oleh peramal yang dangkal, pengkaji yang apologis dan pakar pemutar isu.

Intelektual subur dalam masyarakat yang menghayati budaya ilmu, yang menurut Wan Mohd Nor Wan Daud (1991) dalam bukunya, Penjelasan Budaya Ilmu, ialah masyarakat yang meletakkan ilmu dan ilmuwan di tempat tertinggi, sentiasa menuntut, mengembang dan mengongsi ilmu serta setiap keputusan adalah berasaskan ilmu.

Malangnya, dalam sejarah, berlaku beberapa tragedi intelektual dibunuh. Di barat, ada intelektual dibunuh kerana bertentangan pendapat dengan pihak berkuasa agama. Di timur, ada Revolusi Kebudayaan yang mengorbankan satu generasi intelektual. Di sini, intelektual Kaum Muda dihentam Kaum Tua.

Antara ciri-ciri lazim intelektual dan penentangnya ialah:

  • Intelektual berusia muda, walaupun ada yang berumur. Penentangnya lebih tua, atau kalaupun muda, tetapi tua pemikirannya.
  • Intelektual rajin menulis buku dan rencana, membentang kertas kerja di seminar ilmiah, menjadi kolumnis, sering diundang media elektronik serta ada laman web, blog dan sebagainya. Penentangnya kurang rajin.
  • Intelektual aktif mengeluarkan pendapat tanpa ragu atau ampu. Penentangnya kurang aktif.
  • Intelektual kritis, progresif dan adakalanya berbeza dengan pemikiran arus perdana. Penentangnya jumud, sering bersama arus perdana, manakala arus perdana adakalanya tidak mempunyai apa-apa pemikiran pun.
  • Intelektual artikulasi. Penentangnya tidak mampu berhujah.
  • Intelektual menggunakan pendekatan bijaksana, dinamik dan sesuai dengan keperluan kontemporari. Penentangnya terikat dengan pendekatan lama yang ditolak kumpulan sasar.

Antara cara penentangan yang lazim terhadap intelektual ialah:

  • Tuduh pendapat intelektual bukan idea baru tetapi idea lama yang dikitar semula. Sebenarnya, penentangnya tidak mengikuti atau memahami idea baru yang disampaikan intelektual. Kalaupun ada idea lama yang diungkap semula, bukankah sentiasa ada manusia baru yang perlu diulangkan ajaran yang sama? Contohnya, guru yang sama perlu mengajar subjek yang sama setiap tahun kerana menerima murid baru.
  • Tuduh intelektual bincang perkara ranting dan bukan fundamental atau prioriti. Sebenarnya, penentangnya tidak mengikuti atau memahami ketika banyak perkara fundamental dan prioriti dibincangkan intelektual, lalu diambillah perkara ranting itu untuk ditonjolkan.
  • Tuduh intelektual membawa faham yang salah. Sebenarnya, penentangnya tidak tahu pun apa yang dikatakan salah itu, tidak tahu bahawa apa yang dikatakan salah itu tidak salah pun, dan tidak sedar bahawa dirinya sendiri pun menggunakan apa yang dikatakan salah itu.
  • Tuduh intelektual mengelirukan. Sebenarnya, penentangnya tidak selesa dengan tradisi ilmu yang menggalakkan debat dan lebih suka menggunakan kuasa untuk menutup mulut orang lain.
  • Tuduh intelektual menonjolkan diri. Sebenarnya, penentangnya yang tidak berbuat apa-apa dan iri hati melihat orang lain lebih.
  • Tuduh intelektual rapat dengan orang yang dianggap kurang baik. Sebenarnya penentangnya bersifat prejudis, menganggap dirinya sempurna.
  • Tuduh intelektual mencerca ulama. Sebenarnya intelektual bukan "mencerca", tetapi "mengkritik", yang digalakkan tradisi ilmu. Kecualilah jika ulama maksum lalu tidak boleh dikritik. Masalahnya, ada yang mendakwa ulama itu bukan pun ulama.

Tetapi, apa yang lebih penting ialah mengapakah dibezakan antara "intelektual" dan "ulama"? Masihkah ingin diteruskan unsur sekularisme dalam menguruskan Islam dengan mewujudkan golongan penguasa dan pendominasi agama serta terus menerus memisahkan intelektual dengan ulama?

Lupakah kita pada usaha-usaha, contohnya, "pengislaman ilmu" oleh Ismail Faruqi dan "mengintelektualkan ulama dan mengulamakkan intelektual" oleh Mohd Natsir?

  • Tuduh intelektual muda kurang pengalaman atau tidak menghormati orang tua. Sebenarnya penentangnya lupa bahawa dunia telah berubah. Pengalamannya mungkin tidak lagi relevan, hormat perlu diusahakan bukan dipaksakan dan kini wujud konsep baru seperti penghakupayaan dan partisipasi orang muda.
  • Larang intelektual bercakap tajuk tertentu. Ini bertentangan dengan prinsip kebebasan bersuara.
  • Utamakan seniority dalam peruntukan penyelidikan atau lantikan jawatan hingga intelektual ketinggalan. Ini bertentangan dengan nilai kecemerlangan.
  • Cari, malahan cipta, kelemahan intelektual. Ini dendam peribadi.
  • Apabila berlaku pertelingkahan antara intelektual dan penentangnya, maka penentangnya mencadangkan agar berdamai. Tetapi, perdamaian perlu dilaksanakan dengan adil.
  • Apabila intelektual yang diserang mempertahankan haknya, penentangnya tidak mampu berhujah, lalu menyelamatkan diri dengan mencadangkan berdamai. Kalau perkara ini berulang, maka intelektual akan sentiasa menjadi mangsa penentangnya dalam fenomena pembulian intelektual.

Kesimpulannya, kita perlu memperkukuh, bukannya membunuh intelektual.

Datuk Saifuddin Abdullah ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi. 

Sumber: Utusan Malaysia, 25 November 2009.

25 November 2009

Krisis Kependidikan Masa Kini: Cabaran Membina Generasi Berjiwa Merdeka

Oleh: Dato' Dr Siddiq Fadzil

Mengendalikan sebuah institusi pengajian tinggi swasta Islami di tengah kalut persaingan dan kekangan memang tidak mudah; namun demi komitmen dan kesetiaan terhadap idealisme pendidikan dan pemerkasaan bangsa, maka ia mesti dilakukan meskipun terpaksa berhempas pulas menentang arus, menangkal ribut, melawan badai. Kehadiran IPTS model Dar al-Hikmah sebenarnya amat bererti sekali pada saat dunia pendidikan dilanda krisis berat setelah menjadi korban politisasi dan komersialisasi. Demikianlah tragedi yang menimpa IPT akhir-akhir ini. Di mana-mana orang mulai menyuarakan keprihatinan bahawa kampus-kampus IPT yang tampak mewah, megah dan gagah itu tidak lagi dapat menyembunyikan hakikat kelumpuhan dinamikanya sebagai institusi pemerkasaan dan pencerdasan generasi muda. IPT semakin kehilangan wibawa sebagai pusat kecendekiawanan yang bebas, kritis dan artikulatif. Warga IPT sudah semakin tidak mampu menegakkan kebenaran dan kedaulatan ilmu. Segalanya telah diputuskan dan diatur berasaskan kepentingan politik penguasa dan perkiraan untung rugi sektor korporat pendana.

Melihat pola dan proses pendidikan yang sedang dijalani oleh generasi muda dan implikasinya terhadap masa depan bangsa, terasa ada semacam panggilan yang kuat untuk melakukan kunjungan ulang (revisit) apa yang telah kita wacanakan tiga dekad yang lalu, ketika kita mendiskusikan fenomena the captive mind (minda tawanan) yang diserlahkan oleh Prof. Syed Hussein Alatas, sewaktu kita menelaah gagasan Paolo Freire tentang pendidikan kaum tertindas (Pedagogy of the oppressed), dan semasa kita dicerahkan dengan gagasan pendidikan Prof. Syed Naquib al-Attas. Ternyata setelah tiga puluh tahun berlalu, kita masih dituntut untuk terus memperjuangkan pendidikan liberatif-transformatif, pendidikan yang membebaskan anak bangsa dari belenggu “minda tawanan”. Untuk itu mungkin ada manfaatnya kita melanjutkan telaah terhadap pemikiran Paolo Freire seterusnya sebagaimana yang tertuang dalam buku-bukunya yang lain, termasuk A Pedagogy for Liberation: Dialogues on Transforming Education. Memang gagasan tokoh pendidikan dari Brazil itu harus ditanggapi secara kritis-evaluatif. Ia bukanlah dogma yang harus diterima sebagai benar; tetapi kekentalan semangat pembebasan dan pemberdayaan mewajarkannya menjadi bahan bacaan klasik yang relevan, bukan hanya untuk rakyat Amerika Latin, malah untuk umat dunia Islam juga.

Demikianlah kenyataannya, di tengah hangar-bangar demokratisasi dan hak asasi, masih berlaku pembelengguan minda, malah berlaku juga gejala yang disebut oleh Fahmiy Huwaydiy sebagai al-irhab al-fikriy atau terorisme pemikiran. Sempena memasuki alaf baru, abad ke-21, penyair kenamaan Indonesia, Rendra menyampaikan pidato keprihatinan dengan judul yang mencengangkan, “Bangsa Indonesia Belum Merdeka”. Demokrasi yang seharusnya membawa erti kebebasan dan keterbukaan, dalam konteks Indonesia menurut Rendra telah dieksploitasi oleh parti-parti politik untuk menjajah fikiran rakyat dengan mendirikan tembok-tembok yang mengurung mereka dalam pola fikir parti, tanpa ruang pendedahan yang secukupnya kepada pemikiran di luar faham parti. Sementara itu penguasa Order Baru melaksanakan pelbagai dasar dan peraturan yang membunuh kesedaran dan pemikiran kritis generasi muda kampus. Peraturan-peraturan supresif yang memakai nama “Normalisasi Kehidupan Kampus” itu sebenarnya tidak lain adalah lambang kegagalan generasi tua (penguasa) untuk berdialog dengan generasi muda kritis-idealis. Maka berlakulah apa yang dahulu dilakukan oleh Fir`aun terhadap Bani Isra’il, menyuapi rakyat dengan pandangan sepihak, “ma urikum illa ma ara, aku tidak perlihatkan kepadamu selain apa yang aku lihat”. Dengan kata lain, hanya pendapat versi Fir`aun sahaja satu-satunya versi yang boleh diketengahkan. Demikianlah berlakunya pemaksaan dasar serba berat sebelah yang mengakibatkan lahirnya generasi yang “mati sebelah”; punya dua mata tetapi hanya dibolehkan melihat ke sebelah; punya dua telinga, tetapi hanya mendengar sebelah; punya dua tangan tetapi hanya boleh mencapai sebelah; punya dua kaki, tetapi hanya boleh melangkah ke satu arah. Mungkin generasi itulah yang diwakili oleh si Toni, watak simbolik yang dilukiskan oleh penyair Taufiq Ismail.

Komitmen pendidikan Islam ialah untuk membina manusia utuh dan seimbang, berwawasan luas, berminda terbuka, siap mengambil hikmah biar dari mana pun datangnya, walau dari musuh sekalipun, khudhu ‘l-hikmata min ayyi wi`ain kharajat. Nasib generasi “serba sebelah” itu sudah cukup buruk, tetapi al-Qur’an mengingatkan nasib buruk itu mungkin menjadi lebih buruk lagi, apabila mereka menjadi buta dan pekak sama sekali: lahum qulubun la yafqahuna biha, wa lahum a`yunun la yubsiruna biha, wa lahun adhanun la yasma`una biha, ula’ika ka ‘l-an`ami bal hum adall. Demikianlah pemerian Qur’ani tentang generasi manusia yang hilang kemanusiaannya, lalu merudum martabatnya sedarjat dengan haiwan ternakan (al-an`am) apabila hati tidak lagi mengerti, apabila otak tidak berfikir bijak, apabila mata tidak melihat fakta, apabila telinga tidak mendengar yang benar.

Ketika ini kita sedang menyaksikan gejala ironis, kemarau intelektual di tengah banjir graduan. Rupa-rupanya yang namanya intelektual bukan sekadar pemilik ijazah tinggi. Intelektual adalah manusia pemikir, dunia intelektual adalah dunia idea, dialog dan wacana yang kritis, cerdas dan bebas. Kesuburan intelektual sebenarnya banyak ditentukan oleh faktor kualiti kepimpinan dan dasar pemerintahan. Demikianlah iktibar dari sejarah sebagaimana yang disorot oleh Ali Mazrui tentang fenomena kematian intelektualisme di negara-negara Afrika Timur. Sebelum dilanda bencana keintelektualan akibat politik otoriter, negara-negara seperti Kenya, Uganda dan Tanzania pernah melalui era kesuburan semangat dan budaya intelektual, khususnya tahun-tahun awal pasca kemerdekaan; iaitu ketika tokoh-tokoh intelektual yang menjadi Ketua Negara masih setia terhadap nilai dan etika keintelektualan. Kenya dipimpin oleh Jomo Kenyatta, peribumi pertama yang ahli dalam bidang antropologi sosial, penulis buku Facing Mount Kenya. Uganda dipimpin oleh Obote, pengagum Milton, sasterawan Inggeris yang tersohor dengan karyanya Paradise Lost, sehingga beliau mencantumkan nama pengarang tersebut dengan namanya menjadi Milton Obote. Sementara itu Tanzania dipimpin oleh Julius K.Nyerere, pemikir-failasuf yang menterjemahkan dua karya agung Shakespeare ke dalam bahasa Kiswahili, Julius Caesar dan The Merchant of Venice. Sebagai pemimpin berperanan ganda, penguasa-intelektual, mereka menyedari dan menghargai nilai intelektualisme, dan kerananya mereka bersedia mewujudkan suasana yang kondusif untuk perkembangan keintelektualan termasuk kebebasan berfikir dan bersuara serta hak berbeza pendapat dengan siapa sahaja, termasuk Ketua Negara sendiri.

Malang sekali, perkembangan politik otoriter telah mengakibatkan sejarah keintelektualan Afrika Timur mengalami nasib yang cukup tragik: sayang intelektualisme mati dibunuh! Di Uganda ia dibunuh oleh Idi Amin yang naik menerusi rampasan kuasa tentera. Selama lapan tahun menjadi penguasa diktator-brutal beliau telah membisukan kaum intelektual. Mereka yang tidak mahu dibisukan terpaksa nyah ke luar negara. Di Kenya, intelektualisme lumpuh akibat meningkatnya politik otoriter dan menurunnya kebebasan akademik di kampus-kampus. Gejala yang bermula pada akhir pemerintahan Kenyatta ini menjadi semakin parah pada zaman selepasnya. Di Tanzania, kematian intelektualisme berlaku agak lewat kerana dilindungi oleh Ketua Negaranya Julius K.Nyerere, tokoh yang disifatkan oleh Ali Mazrui sebagai a superb intellectual ruler yang tahu menghargai pemikiran dan perdebatan intelektual. Bagaimanapun akhirnya ajal tidak dapat ditunda. Intelektualisme di Tanzania mati dicekik oleh politik Nyerere sendiri apabila beliau mengamalkan sistem politik satu parti dan mendominankan ideologi sosialisme lokal. Politik seperti itu secara konsekuensial telah membawa kepada amalan diskriminatif kepartian dan ideology, meminggirkan intelektual yang tidak sependirian dan merangsang pengkhianatan intelektual -menyikapi sesuatu bukan dengan amanah keilmuan tetapi dengan ampu bodek untuk meraih habuan. Memang di mana-mana pun dan bila-bila pun, amalan diskriminatif selalu menjadi pembunuh utama intelektualisme. Sistem satu parti atau multi-parti sekalipun, jika sudah mengamalkan dasar diskriminatif, melantik dan mengangkat berasaskan kriteria “orang kita” dan “bukan orang kita” dengan mengenepikan kualiti dan prestasi, alamat matilah tradisi keintelektualan bangsa.

Di mana-mana, IPT dianggap sebagai the last bastion, kubu terakhir tradisi keintelektualan. Tetapi apabila IPT kehilangan otonomi dan kebebasan akademik, apabila IPT ikut terseret menjadi korban politisasi dan ditundukkan kepada kepentingan kepartian maka IPT akan segera kehilangan kekuatan meritokratiknya, dan kehilangan misi keintelektualannya. Mungkin masanya belum terlalu. lewat untuk memulihkan kredibiliti IPT dengan mempertimbangkan saranan baik pulih yang dikemukakan oleh Ali Mazrui, “A university has to be politically distant from the state; second, a university has also to be culturally close to society; and third, a university has to be intellectually linked to wider scholarly and scientific values in the world of learning.

Masalah yang kita hadapi sebenarnya bukan hanya kelesuan IPT, tetapi dunia pendidikan keseluruhannya sedang ditimpa krisis. Sistem pendidikan di pelbagai rantau dunia ketika ini sedang dipersoalkan dari pelbagai sudut. Ada yang mempersoalkannya dari segi biayanya yang terlalu tinggi melewati batas jangkauan majoriti rakyat. Akibat komersialisasi yang bermotif mengaut keuntungan, rakyat harus membayar mahal sedang kualitinya belum pasti. Dengan ketiadaan biasiswa dan bantuan yang mencukupi biaya pendidikan terbeban sepenuhnya di bahu ibu-bapa. Untuk itu mereka yang kurang mampu akan terpaksa bergolok bergadai. Keadaan inilah yang meresahkan masyarakat. Di Indonesia misalnya, telah terbit buku-buku dengan judul bernada protes seperti, Pendidikan Yang Memiskinkan dan Orang Miskin dilarang Sekolah. Andainya demokratisasi pendidikan mahu direalisasikan harus dipastikan semua lapisan rakyat dapat menikmati pendidikan berkualiti dengan kos yang terjangkau. Kegagalan melaksanakan dasar ini akan mewujudkan keadaan survival of the richest, di mana pendidikan berkualiti menjadi monopoli segelintir kaum elit.

Selain itu ada pula yang mempersoalkannya dari segi penumpuannya yang berlebih-lebihan pada prestasi akademik sehingga mengabaikan dimensi-dimensi kemanusiaan lainnya. Anggapan umum bahawa prestasi akademik adalah penentu masa depan telah menimbulkan suasana persaingan yang semakin sengit. Alam persekolahan telah menjadi sebuah gelanggang hempas pulas yang tegang, anak-anak sekolahan kelihatan sugul, muram, kelelahan, terbeban dan tertekan. Keadaan inilah yang menimbulkan pertanyaan, “Are we preparing them for success or overloading them with stress?”. Selain dianggap penentu masa depan, prestasi akademik anak-anak juga seringkali dilihat sebagai lambang status sosial dan kebanggaan orang tuanya. Untuk itu pula anak-anak sekolahan dipacu bagai kuda lumba. Akibatnya yang kalah berlumba atau yang memang tidak mampu berlumba berasa tidak dihargai dan tidak dikehendaki. Anak-anak yang kecewa ini lalu mencari tempat pelarian - ada yang membunuh diri, ada yang menagih dadah, ada yang menyertai kumpulan haram dan bermacam-macam lagi. Disedari atau tidak, persaingan mencapai gred tertinggi telah menumbuhkan budaya menipu dan meniru yang ketika ini sudah menjadi gejala global, “From Beijing to Boston, student cheating is reaching new levels, thanks in large part to advances in technology. But competition is the real culprit, as top grades - regardless of how kids achieve them - are more and more critical.” Demikianlah kata-kata yang tercatat pada halaman depan Newsweek, 27 Mac 2006. Kalau ini bukan krisis, lalu apa?

Beliau merupakan bekas guru pelatih di Institut Bahasa (kini IPGM Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur). Beliau pernah menyandang beberapa jawatan, antaranya ialah Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Kini, beliau merupakan Presiden Wadah Percerdasan Ummah (WADAH) dan Kolej Dar Hikmah, Kajang.

18 November 2009

Seminar Sehari Pengukuhan Pandangan Alam Islam dan Syarahan Perdana Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas


PENDAHULUAN
Dalam menghadapi kegentingan masalah masyarakat Islam dalam pelbagai bidang dewasa ini, satu usaha yang terencana dan teliti bagi merungkai masalah tersebut amat diperlukan. Oleh sebab itu, segala penyelesaian yang ingin dilakukan haruslah bermula dengan usaha memperbetulkan cara berfikir masyarakat Islam terutama yang berhubung dengan unsur-unsur penting yang membentuk alam pemikiran mereka. Bertitik tolak dari kesedaran tentang pentingnya usaha tersebut satu seminar sehari pengukuhan Pandangan Alam Islam akan dianjurkan oleh Himpunan Keilmuan Muda (HAKIM) dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Institut Integriti Malaysia.

OBJEKTIF
  1. Menekankan keutamaan Pandangan Alam Islam dalam kerangka berfikir masyarakat Islam.
  2. Memantapkan kefahaman masyarakat, khasnya generasi muda, tentang Pandangan Alam Islam yang sebenar.
  3. Menghuraikan unsur-unsur penting dalam Pandangan Alam Islam.

PENGANJUR
  1. Himpunan Keilmuan Muda (HAKIM)
  2. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
  3. Dengan kerjasama, Institut Integriti Malaysia (IIM)
PESERTA
Sasaran penyertaan sebanyak 200 orang (bagi Seminar) dan 500 orang (bagi Syarahan Perdana) daripada kalangan ahli akademik, ahli profesional, pelajar dan orang awam.

YURAN
Yuran Seminar dan Syarahan Perdana:
Organisasi : RM100 seorang (kumpulan 5 orang)
Individu : RM150
Pelajar : RM20

Yuran untuk Syarahan Perdana sahaja:
Individu : RM100 (derma ke HAKIM)
Pelajar : RM30

TENTATIF PROGRAM
9.00 – 10.30 pagi
Perasmian oleh Tetamu Kehormat

Ucap Utama oleh Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud, UKM
Tajuk: Pengukuhan Pandangan Alam Islam Di Kalangan Masyarakat Islam Kini: Cabaran dan Harapan

11.00 – 1.00 ptg
Sidang Pertama

Pembentang:
1. Dr. Mohd Zaidi Ismail, IKIM
Tajuk: Faham Ilmu Dalam Islam: Satu Pengenalan Ringkas

2. Dr. Mohd Farid Mohd Shahran, UIAM
Tajuk: Makna dan Matlamat Agama dalam Islam

2.00 – 3.30 ptg
Sidang Kedua

Pembentang:
1. Dr. Mohd Sani Badron, IKIM
Tajuk: Adab dan Ta’dib sebagai Asas Pendidikan Islam

2. Dr. Adi Setia Mohd Dom, UIAM
Tajuk: Islam dan Falsafah Sains

3.45 - 5.30 ptg
Sidang Tiga

Pembentang:
1. Dr. Ahmad Bazli Shafie, UMT
Tajuk: Pandangan Islam terhadap Tradisi dan Kemodenan

2. Dr. Wan Azhar Wan Ahmad, IKIM
Tajuk: Islam dan Cabaran Sekularisasi dan Pembaratan

5.30 - 8.30
Rehat

9.00 – 11.00 mlm
Syarahan Perdana

Oleh: Professor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas
"Reviving the Worldview of Islam: Internal and External Challenges"

15 November 2009

Sumpah Melayu

Oleh: Mohd. Yasser bin Jamaluddin

Maka pada 10 Februari 1946, dibaca oleh orang Melayu mengenai sumpah Melayu untuk Melayu. Maka mereka bersumpah bahawa inilah asas keramat orang Melayu untuk terus membentuk tamadun bangsa untuk terus kekal relevan. Hari ini sumpah itu hanya dalam lipatan sejarah. Hari ini sumpah itu seakan dikhianati kerana orang Melayu sendiri berfikiran bahawa mereka perlu berubah – berubah dengan kemajuan – berubah untuk meninggalkan – nilai murni bangsa – secocok dengan pembangunan moden dunia dan nilai baru yang sesuai dengan pendidikan moden. Kita bercerita untuk melepaskan sejarah, melanggar sumpah dan terus maju bersama-sama bangsa lain. Kita memilih menukar ketuanan kepada ketuanan rakyat. Ketuanan yang lepaskan hak yang selama ini ada, menjajakan pegangan untuk memperoleh kuasa dan mendabik dada menjadi pejuang politik yang tidak bermakna untuk bangsa itu sendiri.

01 November 2009

Siri Diskusi Ilmu KESPA

Hantu dalam Budaya Melayu: 
Suatu Pemahaman Berhikmah

Tarikh: 5 November 2009 (Khamis)
Masa: 9.00 malam
Tempat: IPG Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur
Penyertaan: Percuma
Pakaian: Kemas




Pantun: Satu Analisis Semiotik

Oleh:
En. Fauzi bin Abdullah
Jabatan Kesusasteraan Melayu,
IPG Kampus Bahasa Melayu

Pantun ditinjau dalam hubungannya dengan pertumbuhan serta perkembangan puisi Melayu lama, mempunyai kedudukan istimewa. Keistimewaan pantun terletak pada keserhanaan serta kepadatan bentuk dan strukturnya. Sebait pantun memancarkan keindahan pengucapan yang merangkum ketinggian budi, keluasan serta kedalaman pemikiran.

Cuba kita telitikan sebuah pantun yang cukup popular ini:

Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti;
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.

05 Oktober 2009

Dato' Saifuddin bercadang untuk menghidupkan sudut pidato



Sumber: Utusan Malaysia, 4 Oktober 2009

18 September 2009

Selamat Hari Raya Aidilfitri


07 September 2009

Respons untuk penjelasan

ble la lespa ni nk maju..hmm..korg pnh xtrpk mtlamat korg ni..korg hanya tumpu pd pngucaman awam..korg hanya nk tubuhkn upagum..pnh x korg xtrpk utk bngun perjuangkn ipgm kbm..naik taraf sbuah u nivrsiti bhsa mlayu..korg tau x yg rmai org jdk xde smgt pn nk join kelab ni...sbb mtlamat kelab ni hnya tumpu pd pidato..pcayala..rmai yg kcewa sgt pd kelab ni..aku mmg minat kelab ni..tp makin hari aku rsa bnda ni dh mnyimpang..ni junior2 yg bru msuk ni..korg blehla cte bnda2 yg mnarik..tp pkr2la...aku ni dh 3 thun kt sni..dh ijaazah pn lg 2 thun..ble lg kte nk dpt traf u..korg pn tgk..kmudahan kte mcm 2..korg pn tgk..kmudahan kte mcm 2..kelab yg bgus...tp aku hrp ade prubhan...n aku dpt tau ade ajk kespa yg kurg brbudi bhs..aku xde rr nk tgur..tp kte kna jgk ade budi bhsa..smoga korg xamik ati dgn ape yg aku ckp..hrp KESPA leh tros maju..aku doakan kjayaan korg..hrp tgurn ni dberi prhatian..

Kursus Pengukuhan Integriti Kepimpinan Muda Malaysia 2009: Belia dan Politik







KUALA LUMPUR, 23 Mei 2009: Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia (MBM) telah menganjurkan buat kali kedua Kursus Pengukuhan Integriti Pemimpin Muda Malaysia, yang diadakan selama sehari di IIM Jalan Duta.

Program ini telah dihadiri seramai 64 orang peserta dari berbagai kaum yang mewakili persatuan dan kelab belia gabungan MBM seluruh Malaysia. Cabaran untuk memperkukuhkan integriti kepimpinan belia menjadi agenda penting selama kursus ini berlangsung. Peserta telah diberikan penjelasan, bertukar idea dan membahaskan perkara-perkara yang ditimbulkan dalam setiap sesi dialog dan forum yang diadakan.



Pada sesi sebelah paginya, semua peserta berpeluang berdiskusi dan bertukar pendapat dengan Presiden, Institut Integriti Malaysia (IIM), Y. Bhg. Datuk Dr. Mohd Tap Salleh dan Yang Berkormat Dato’ Shamsul Anuar Nasarah, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM). Golongan belia sering kali dikatakan pewaris kepimpinan negara yang ada sekarang, maka dalam kursus ini para peserta telah diberikan gambaran tentang usaha memperkasakan golongan belia dalam beberapa aspek seperti kepimpinan politik, pendidikan dan governans.



Pada sesi sebelah petangnya, tiga orang panel telah bersama dengan peserta membincangkan tentang harapan dan peranan golongan belia dalam politik negara. Sering kali golongan belia dikatakan sebagai penyebab kepada kekalutan dalam kehidupan sosial masyarakat. Namun begitu, apabila dilihat daripada perspektif politik golongan belia ini menjadi kumpulan yang penting sebagai aset yang akan menentukan kelangsungan kuasa politik atas dasar undi semasa pilihan raya. Forum ini menyediakan landasan golongan belia untuk memberikan pendapat mereka tentang perkara ini.

Di akhir program ini peserta diingatkan akan betapa pentingnya bersama menggembleng tenaga dan usaha untuk memastikan golongan belia mampu mengharungi cabaran yang bakal mendatang. Masih ramai lagi golongan belia yang tidak dapat mencari hala tuju kehidupan mereka yang mengakibatkan mereka terlibat dengan perkara-perkara yang tidak berintegriti.





Kredit: Institut Integriti Malaysia

14 Ogos 2009

Seminar Konsep 1 Malaysia

Dirasmikan oleh YB Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan

Tempat: Hotel Marriot Putrajaya
Tarikh: 11 hingga 12 Ogos 2009
Anjuran: Universiti Sains Malaysia dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia

Objektif Seminar :
  1. Untuk meningkatkan kefahaman dan penghayatan mengenai konsep 1Malaysia khususnya dalam golongan mahasiswa, belia dan pemimpin masyarakat mengenai matlamat dan hala tuju konsep 1Malaysia.
  2. Untuk bertukar-tukar fikiran mengenai pengisian dan pelaksanaan konsep 1Malaysia.
  3. Untuk membincangkan isu-isu dan cabaran-cabaran dalam merealisasikan konsep 1Malaysia.
  4. Untuk meningkatkan semangat CINTAKAN NEGARA.

Peserta dibekalkan kertas kerja dan tanda nama

Majlis dirasmikan oleh YB Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan

Safwan bersama Saudara Fahmi dari MPP UIAM merangkap Exco Penerangan PKPIM khusyuk mengikuti seminar



Raimi, Muhaimin, Yusof dan Joewayder turut serta mengikutinya


Bergambar kenang-kenangan bersama Perwakilan Pelajar UIAM, USM dan UPM

04 Ogos 2009

Bahas, pidato dapat tingkat kemahiran komunikasi guru

Oleh: Norliza Abdullah
liza@bharian.com.my


AHMAD FAIZ (kiri), Mohd Rafee dan Muhammad Ashraf (kanan) bersama piala dan hadiah selepas memenangi pertandingan pidato IPGM 2009 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

AKTIVITI perbahasan mahupun berpidato penting kerana ia mampu meningkatkan kemahiran berkomunikasi yang menjadi elemen utama keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datin Asariah Mior Shaharuddin, berkata penguasaan kemahiran itu membantu guru melaksanakan tugas mereka dengan lebih baik, selain memudahkan pemahaman pelajar.

Sehubungan itu, katanya, guru perlu mengasah dan menguasai kemahiran berkenan seawal menerima latihan perguruan lagi.

Beliau berkata, golongan berkenaan juga perlu memantapkan penguasaan diri dengan pelbagai kemahiran tambahan bagi memastikan pelajar menerima pengajaran dengan baik.

“Sesuatu ilmu dapat dikuasai menerusi penyampaian berkesan dan ia boleh dilaksanakan menerusi proses pengajaran yang sempurna, selain penyaluran maklumat secara terus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutup Pertandingan Pidato Institut Pendidikan Guru Malaysia Peringkat Kebangsaan 2009 di Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Bahasa Melayu (IPGM KBM), Lembah Pantai, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pertandingan Pidato Piala Datin Asariah disertai 26 IPGM seluruh negara itu dimenangi peserta Institut Perguruan Islam Selangor, Mohd Rafee Mohamad.

Tempat kedua peserta IPGM KBM, Ahmad Faiz Ahmad Suhaime, manakala ketiga pelatih IPGM Kampus Bahasa Antarabangsa, Muhammad Ashraf Ahmad.

Asariah berkata, menerusi program ilmu itu juga, pelatih dapat mendidik diri dan membudayakan ilmu menerusi pembacaan serta rujukan tambahan.

Proses itu juga, katanya, menggalakkan mereka membaca secara berterusan, manakala maklumat diperoleh pula memantapkan lagi penguasaan pengetahuan untuk dikongsi bersama pelajar.

Sumber: Berita Harian, 4 Ogos 2009

23 Julai 2009

Penjelasan Umum: Gagasan MASGUM dan ASPENA IPGM

oleh: Mohd. Hafezi bin Abdul Hamid (selempang_nusantara@yahoo.com)

Dalam era 80an dan 90an, maktab-maktab perguruan di Malaysia cukup terkenal dalam seni pengucapan awam terutamanya bahas dan pidato. Keupayaan guru-guru pelatih dalam seni pengucapan awam pada ketika itu berjaya membina keterampilan dan wibawa diri yang dihormati dan disegani. Bahkan, sudut pidato berjaya diwujudkan dalam beberapa buah maktab tatkala itu, telah memberikan ruang kepada guru-guru pelatih meluahkan kebijaksanaan dalam berbicara, gagasan idea, dan pandangan yang dilontarkan di samping meningkatkan kemahiran insaniah.

Untuk mengambil kembali ‘semangat’ ini, maka Kelab Seni Pengucapan Awam (KESPA) IPGM Kampus Bahasa Melayu berhasrat untuk menggerakkan gagasan besar penubuhan Majlis Seni Pengucapan Awam IPGM (MASGUM) dan Akademi Seni Pengucapan Awam Sentral IPGM (ASPENA). Idea ini telah terlahir daripada Encik Mohd. Hafezi bin Abdul Hamid dalam Kursus Induksi KESPA IPBMM pada 31 Januari 2008. Pada peringkat awal, idea ini mendapat respons positif dan sokongan yang amat baik daripada barisan pensyarah penasihat, jawatankuasa dan ahli KESPA sendiri.

Idea ini dilontarkan setelah beliau melakukan pemerhatian dan penilaian semula dalam beberapa aspek:

  1. Belum ada lagi satu organisasi induk selama ini yang menyebabkan aktiviti berkaitan pengucapan awam dalam IPGM adakala bersifat bermusim dan ‘cukup selesai’.
  2. Kemampuan pasukan dan imej IPGM acapkali ketika bertanding bersama pasukan IPT amat memerlukan suatu ‘nafas baharu’ dan lebih segar.
  3. Hasil pengamatan dan pengalaman beliau dengan teman-teman dari Majlis Debat Universiti-universiti Malaysia (MADUM), IPGM memerlukan satu organisasi kebangsaan sebagai penggerak yang lebih efektif dan disegani.
  4. Hasil penilaian dan tafsiran selepas perbincangan dengan rakan-rakan dari negara-negara ASEAN yang lain.
  5. Gagasan ini adalah seiring dengan kedudukan status IPGM, teras pembangunan modal insan dan teras memartabatkan profesion keguruan di dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP 2006-2010).
  6. Wadah yang mampu menggerakkan pelbagai program dan pembangunan keterampilan komunikasi secara profesional dengan lebih sistematik dan jelas fungsinya.
  7. Kekuatan IPGM dalam seni pengucapan awam perlu berada pada suatu imej lebih berwibawa, punya daya tarikan dan keistimewaan tersendiri.
  8. Keperluan semakin mendesak dalam masyarakat akan kepentingan pidato (raja segala pengucapan awam).
  9. Pembangunan modal insan melalui nilai tambah yang lebih efektif dengan kaedah dan modul lebih tersusun serta corak latihan lebih profesional kepada bakal-bakal guru kelak.
Majlis Seni Pengucapan Awam IPGM (MASGUM)

Majlis ini merupakan induk peringkat kebangsaan. Majlis ini berfungsi:

  1. Majlis induk kepada semua organisasi seni pengucapan awam 27 IPGM.
  2. Menjadi organisasi utama dalam menjalankan rangkaian perhubungan dan tanggungjawab dengan organisasi lain seperti MADUM, Pusat Latihan Pidato Profesional Malaysia, Kelab Debat IPT, Kelab-kelab Pidato di negara ASEAN, kementerian-kementerian dan badan bukan kerajaan.
  3. Majlis ini memegang dokumen-dokumen penting dan diselaraskan dalam satu sistem yang lebih baik, tersusun dan bertanggungjawab.
  4. Menjadi sumber rujukan utama, merancang dan menyediakan latihan, kursus, pertandingan serta khidmat kepakaran (jurulatih / hakim / penceramah / fasilitator / moderator) kepada mana-mana jemputan atau pertandingan yang diterima mahupun dianjurkan.
Akademi Seni Pengucapan Awam Sentral IPGM (ASPENA)

ASPENA merupakan pusat latihan dan pembangunan yang ditempatkan di sebuah IPG yang akan menjadi akademi sentral di bawah kendalian MASGUM. Peranan:

  1. Menyediakan latihan, cara-cara, dan teknik pengucapan awam dengan lebih tersusun, bersistematik dan berwibawa.
  2. Mempunyai modul latihan sendiri berlandaskan modul latihan seni pengucapan awam dalam pendidikan, keguruan dan modul seni pengucapan awam dalam sosial dan masyarakat.
  3. Menyediakan latihan kejurulatihan dan kehakiman kepada bakal-bakal guru sebelum turun ke dalam dunia institusi persekolahan dan masyarakat yang sebenar.
  4. Memberikan pengiktirafan kepada peserta-peserta dalam seni pengucapan awam dengan kelayakan pensijilan yang lebih baik, diiktiraf dan diyakini.
  5. Pusat latihan utama kepada semua organisasi seni pengucapan awam IPGM. IPGM yang lain boleh menjadi pusat latihan cawangan untuk mengembangkan latihan-latihan yang diterima daripada pusat.
Maklum balas hingga kini

Untuk makluman, gagasan MASGUM dan ASPENA telah dicanangkan kepada sebahagian pensyarah dan peserta-peserta Pertandingan Pidato IPGM 2008. Respons yang diterima terutamanya daripada kalangan peserta amat-amat memberangsangkan dan cukup menggalakkan. Bahkan sudah ada IPGM yang mula menggerakkan usaha penubuhan kelab/persatuan di tempat masing-masing untuk menjayakan hasrat murni ini.

Buat masa ini, KESPA IPGM Kampus Bahasa Melayu menjadi sekretariat penaja dan tempat rujukan untuk menggerakkan gagasan tersebut. Perbincangan dan bimbingan kepada penggerak IPGM yang lain masih berjalan dan semakin banyak permintaan draf penubuhan KESPA serta Pelan Pembangunannya daripada pihak-pihak yang lain. Kini, pihak KESPA IPGM Kampus Bahasa Melayu dalam usaha untuk menyiapkan pelan rancangan Kongres Seni Pengucapan Awam IPGM Kebangsaan sebagai landasan ke arah menjadikan gagasan ini suatu realiti dan diterima oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Besarlah harapan kami daripada pihak penaja agar gagasan dan usaha murni ini mendapat sokongan penuh daripada semua pihak. Gagasan ini sebenarnya melihat ke arah masa depan (survival) profesion keguruan dalam konteks pembangunan modal insan berlandaskan PIPP. Hanya dengan hati yang benar-benar ikhlas, semangat bersama, kesungguhan gerak kerja, panjatan doa kepada-Nya maka usaha ini bukan hanya suatu ilusi sepi. Jumpa anda di puncak jaya!

Kumpul bersama adalah permulaan,
Kekal bersama adalah peningkatan,
Bekerjasama adalah kejayaan.


Beliau merupakan tenaga pengajar daripada Pusat Latihan Pidato Profesional Malaysia dan dianugerahkan Certificate Profesional Motivator. Beliau seringkali dijemput sebagai hakim pertandingan seperti Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu, Pertandingan Pantun Kebangsaan, Pertandingan Debat dan lain-lain lagi yang seumpama dengannya. Beliau juga merupakan Penerima Anugerah Pengasuh Bahasa IBMM-DBP pada tahun 2002.

*untuk edaran kepada semua Institut Pendidikan Guru Malaysia

08 Jun 2009

Memperkasakan Wikipedia Bahasa Melayu

oleh: Muhammad Safwan bin Mohd. Noor Azmi

Wikipedia telah dimulakan oleh Jimmy Wales dan Larry Sanger pada 15 Januari 2001. Laman ini merupakan satu daripada projek Wikipedia Foundation, Inc selain Wikiquote, Wiktionary, Wikisource, Wikibooks dan Wikinews. Ia merupakan sebuah laman ensiklopedia bebas, yang menghimpunkan pelbagai rencana dalam pelbagai lapangan, yang disumbangkan dari seluruh dunia[1].
Laman jenis wiki ini membenarkan sesiapa sahaja untuk menyunting, memperbaiki, dan menambah informasi dalam sesebuah rencana. Teks dan gambar yang dimuat dalam Wikipedia dilindungi oleh Lesen Dokumentari Bebas GNU (GNU Free Documentation License – GFDL).

Pada 12 Ogos 2003, Wikipedia versi bahasa Melayu pula diperkenalkan. Sehingga hari ini, terdapat lebih kurang 39 821 buah rencana telah disumbangkan dalam Wikipedia versi bahasa Melayu.

Walau bagaimanapun, jika dibandingkan rencana bahasa Melayu dalam Wikipedia dengan rencana bahasa-bahasa lain, kita masih lagi jauh ketinggalan. Wikipedia bahasa Inggeris telah memiliki 2 905 272 buah rencana, bahasa Indonesia (104 790), bahasa Vietnam (86 104) dan bahasa Thailand (47 094)[2].

Persoalannya, mengapa rencana Wikipedia bahasa mereka lebih banyak daripada kita? Adakah kita tidak punya upaya untuk menulis? Tidak punya kemudahan? Atau kita tidak punya budaya ilmu yang baik seperti mereka?

Sekiranya kita membuat perbandingan pendapatan per kapita rakyat Malaysia dengan Indonesia, Vietnam dan Thailand, kita yang berada di tangga teratas sekali, iaitu di tangga ke-56 (RM13 315), diikuti Thailand, 81 (RM7 900), Indonesia, 120 (RM3 725), dan Vietnam, 129 (RM2 587)[3]. Hal ini sudah memberi gambaran kepada kita bahawa dengan kuasa beli yang tinggi sepatutnya kita mampu menghasilkan lebih banyak bahan bacaan daripada mereka. Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Seolah-olah pembangunan negara tidak bergerak seiring dengan pembangunan sosial.

Situasi ini sudah cukup menggambarkan betapa seriusnya masalah yang dihadapi kita, iaitu kelembapan budaya keilmuan dan keintelektualan. Majoriti rakyat Malaysia pada hari ini lebih teruja dengan budaya hedonisme. Jikalau tidak, masakan program realiti televisyen seperti Akademi Fantasia, Malaysian Idol, LG Starz, Mentor dan lain-lain lagi yang seumpama dengannya masih bertahan sehingga hari ini? Jika kita menghadirkan diri ke program-program yang bersifat keilmuan dan keintelektualan, ruang dewan atau surau yang disediakan oleh pihak penganjur pun belum tentu dipenuhi. Namun, kalau penyanyi luar negara datang membuat konsert di stadium yang kapasitinya sudah tentunya besar, kebiasaannya jualan tiket habis dan penuh sesak dengan golongan remaja.

Jadinya, bagaimana kita mahu membina generasi Ulul Al-bab atau modal insan yang dikatakan sebagai pemangkin kegemilangan negara? Sedangkan, guru saya ada menyatakan, ‘Orang yang menguasai ilmu akan menguasai dunia’.

Dalam hal ini, tidak semestinya kita perlu menjadi seorang penulis terkenal untuk menghasilkan sebuah karya, sudah cukup memadai sebulan sebuah karya. Contohnya, jika Ah Tong berminat dengan aktiviti memancing, dia boleh menulis sebuah rencana berkenaan teknik-teknik memancing dengan betul berdasarkan lokasi memancing. Saya kira, jikalaulah setiap orang menyahut saranan saya ini, kita sudah boleh memiliki lebih sejuta artikel dalam masa sebulan sahaja. Seterusnya, dihantar ke mana-mana akhbar atau majalah untuk disiarkan. Paling tidak, dimuatkan sahaja di Wikipedia atau blog masing-masing. Pastinya usaha seperti ini dapat memberikan manfaat kepada orang lain berdasarkan perkongsian ilmu dan pengalaman sendiri.

Selain itu juga, inisiatif seperti ini mampu memperkasakan bahasa Melayu dalam masyarakat Malaysia. Kepelbagaian rencana yang dimuat dalam Wikipedia bahasa Melayu dapat memberikan ‘sesuatu’ kepada semua dalam memahami sesuatu isu. Dengan kadar pengguna internet Malaysia kini melebihi 15 juta [4], saya yakin dan percaya bahawa jurang maklumat antara masyarakat di bandar dan luar bandar dapat dikurangkan. Barangkali, galakan penghasilan rencana di Wikipedia bahasa Melayu daripada pihak kerajaan, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Institut Terjemahan Negara diberi dalam bentuk insentif mampu memeriahkan lagi penghasilan rencana terbaik dan berkualiti.

Rujukan:

1. http://ms.wikipedia.org/
2. http://en.wikipedia.org/, http://id.wikipedia.org/, http://vi.wikipedia.org/, http://th.wikipedia.org/
3. Pengkalan Data Prospek Ekonomi Dunia April 2008. IMF.
4. http://www.internetworldstats.com/stats3.htm#asia

07 Jun 2009

Hubungi Kami



KELAB SENI PENGUCAPAN AWAM (KESPA)
Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Bahasa Melayu,
59990 Lembah Pantai, Kuala Lumpur.
E-mel: kespaipgmkbm@gmail.com

No. Telefon: 03-2284 0184 (sambungan kepada Dr. Tuan Jah/Dr. Ali) - hari kerja sahaja
No. Faks: 03-2282 6076

Sekiranya ingin mendapatkan maklum balas dengan segera, bolehlah menghubungi:

Saudara Muhammd Safwan bin Mohd. Noor Azmi
Unit Tugas-tugas Khas KESPA
017-LimaLima4Lima060
wanza348[at]gmail.com

Terkini: Forum, Kertas Kerja Penubuhan Kelab, Akta 174


Untuk makluman semua, KESPA telah melancarkan laman forum baharu, iaitu Forum Kelab Seni Pengucapan Awam pada 4 Jun 2009. Forum ini diwujudkan untuk memberi galakan perkongsian idea dalam pelbagai lapangan baik pendidikan, sejarah, politik, teknologi maklumat, agama mahupun aktiviti-aktiviti untuk dikongsi bersama-sama.

KESPA berharap laman forum ini mampu memberi manfaat kepada semua khususnya warga Institut Pendidikan Guru Malaysia. Silalah mengunjunginya. Klik sini.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Mana-mana IPGM yang berminat untuk menubuhkan kelab atau persatuan yang bersifat tersendiri (indipendent) dan dikendalikan pelajar sepenuhnya seperti Kelab Tarian, Persatuan Alam Sekitar dan sebagainya, bolehlah rujuk di sini.

Kertas kerja ini bukanlah yang terbaik mahupun lengkap isinya. Ini merupakan usaha murni daripada KESPA untuk membantu saudara yang komited untuk menubuhkan kelab atau persatuan. Setiap penubuhan mesti ada fokus dan matlamat, bukan berorientasikan program semata-mata.

Sebarang persoalan dan ketidakfahaman, bolehlah merujuk Unit Kokurikulum IPGM masing-masing.

------------------------------------------------------------------------------------------------

KESPA juga turut menyediakan salinan dokumen Akta 174 kepada semua warga IPGM yang berminat untuk menekuninya. Sebagaimana yang kita ketahui, akta ini merupakan Akta Institusi-institusi Pelajaran 1976. Untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut, silalah muat turun di sini.

01 Jun 2009

Bahasa Melayu : 100 Tahun Dahulu Dan 100 Tahun Akan Datang

Orang Melayu sebagai sebuah kumpulan bangsa telah didefinasikan berdasarkan faktor perlembagaan Malaysia dan juga sejarah-budaya. Begitu juga Bahasa Melayu yang melalui perkara yang sama dengan mendapat beberapa keistimewaan tertentu di bumi Malaysia.

Walaupun sukar untuk meramalkan atau membayangkan dengan tepat masa depan sesebuah negara atau sekumpulan manusia khususnya bahasa, namun kita masih dapat melakar garis umum aliran atau trend masa lalu dan juga masa kini, sekaligus mencuba sekurang-kurangnya mengisyaratkan perkara-perkara yang perlu dielakkan atau disuburkan bagi menzahirkan masa depan yang lebih baik untuk negara dan kumpulan etnik Melayu ini khususnya.

Perkembangan semasa menjadi perhatian, pelbagai isu kontroversi khususnya berhubung pelaksanaan pengajaran pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) perlu diperdebatkan secara terbuka bagi menghasilkan keputusan yang lebih matang dan rasional.

Ikuti kupasan lanjut dalam Di Luar Lingkungan bersama Sayed Munawar, Isnin 1 Jun 2009, 9.00 malam di TV1

PENGACARA
Tuan Sayed Munawar

TETAMU
Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan
Pengarah, Institut Peradapan Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris

Prof Madya Dr Lim Swee Tin
Pensyarah, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden Dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia

Puan Raja Rajeswari Seetha Raman
Pensyarah, Jabatan Bahasa Melayu, Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Bahasa Melayu

Kem Perdana SMK Taman Melati di Taman Wetland, Putrajaya

Pada 29-31 Mei 2009, KESPA telah diberi kepercayaan oleh pihak SMK Taman Melati untuk mengendalikan Kem Perdana 2009 di Taman Wetland, Putrajaya bagi melatih nilai-nilai kepemimpinan kepada setiap peserta mewakili unit uniform masing-masing.

Enam orang fasilitator yang mewakili KESPA ialah
  1. Encik Mohd. Hafezi bin Abd. Hamid (Ketua Fasilitator)
  2. Sdr. Muhamad Raimi bin Yusof (Penolong Ketua Fasilitator)
  3. Sdr. Muhammad Safwan (Kem Komandan, AJK Disiplin)
  4. Sdr. Mohamad Yaseer bin Jamaluddin(AJK Program dan Aktiviti)
  5. Sdr. Mohd. Haniff bin Rosli (AJK Makanan)
  6. Sdr. Syazwi (AJK Teknikal dan Fotografi)

Aktiviti 'treasure-hunt' bersama Abang @ Prof. Komeng

Tuan Yasir melakukan semakan perbarisan

Yg. Berbahagia Datin Seri Zavirah Shaari, Pengetua SMKTM datang memberi semangat kepada pelajarnya

Tuan Safwan memberi taklimat ringkas kepada peserta

Peserta berkawad

Fasi juga mengambil bahagaian dalam acara 'bina JET'

Peserta khusyuk melihat gelagat rakan mereka pada malam kebudayaan

Acara yang paling digemari semua, "Jom Main Telur Ayam''

Encik Mohd. Hafezi menyampaikan cenderadurja KESPA kepada pihak SMKTM

Keriangan dan keterujaan 'tergambar' di sini

24 Mei 2009

Sekitar Dialog Kepemimpinan Belia di Institut Integriti Malaysia

Nafisah, Farieza, Ruziatul Adibah, Sdr. Fahmi, Dr. Lee, Dr. Siva, Safwan, Yasser, Yusoff

19 Mei 2009

Musim Peperiksaan Menjelma

Kesempatan ini, KESPA IPGM Kampus Bahasa Melayu ingin mengucapkan Selamat Menempuh Peperiksaan Akhir Semester. Moga-moga berjaya semua.

KESPA IPGM Kampus Bahasa Melayu ingin memohon maaf zahir dan batin sekiranya ada terkhilaf tutur kata dan tingkah laku sehingga menggores mana-mana sukma.

Doakan kejayaan KESPA IPGM Kampus Bahasa Melayu supaya senantiasa maju jaya, berjaya mengubah dimensi profesion keguruan kepada yang lebih baik, memartabatkan bahasa Melayu dan sistem pendidikan negara. Insyallah.

16 Mei 2009

Selamat Hari Guru

14 Mei 2009

Forum Kepemimpinan Belia: Belia Dan Politik

Tarikh: 23 Mei 2009
Masa: 8.30 pagi hingga 5.30 petang
Tempat: Institut Integriti Malaysia, Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Anjuran: Institut Integriti Malaysia dan Majlis Belia Malaysia

11 Mei 2009

Apa itu pidato?

Oleh:
Dato Dr. Syed Ahmad bin Syed Samsuddin Al-Saggof
Pemegang Sandang Tertinggi Citra Ageng Pidato Nusantara

Pidato dan komunikasi awam adalah tunggak kepada lahirnya masyarakat yang berkeyakinan dan berketrampilan, berwibawa dan mampu mengeluarkan hujah dan idea berkesan untuk melahirkan sebuah bangsa Malaysia yang berjaya.

Pengucapan awam atau pidato juga merupakan suatu kemahiran yang boleh dipelajari. Ramai dalam kalangan kita menganggap kebolehan ini suatu keistimewaan warisan yang diturunkan diripada satu generasi kepada generasi yang berikutnya.

Kemahiran pengucapan awam atau pidato umum ini sebenarnya boleh dipupuk atau diasah melalui proses pembelajaran, pendedahan dan amalan dengan bantuan serta bimbingan daripada pemidato-pemidato (pengucap) yang terlatih dalam bidang ini. Ringkasnya, setiap individu yang normal boleh melakukan pidato dan pengucapan awam sekiranya diberi peluang mengenali kemahiran tersebut secara terperinci dan sistematik.

Ringkasnya, setiap individu yang normal boleh melakukan pidato dan pengucapan awam sekiranya diberi peluang mengenali kemahiran tersebut secara terperinci dan sistematik.

Oleh itu, masyarakat berpidato perlulah diwujudkan untuk membudayakan masyarakat yang maju pemikirannya, berani, berdaya saing, bersikap positif, bermotivasi dan mampu mematahkan hujah negatif bagi menghasilkan idea pembangunan serta pemodenan bangsa yang positif.

Pidato BUKAN tahu bercakap atau hanya pandai berkata-kata, tetapi pidato SEBENARNYA ialah seni meluahkan kebijaksaan (ilmu dan seni berfikir) yang menggunakan seni bahasa indah dan menarik (seni berbahasa, seni berkata-kata) untuk menambat, memukau, menarik, dan mempengaruhi audiens (khalayak).

20 April 2009

Ikrar Pidato

Aku berjanji bahawa
Aku akan berazam
Akan berjaya dengan cemerlang

Aku berjanji
Akan berusaha dengan teguh,

Aku harus maju
Dan aku harus berjaya,

Aku insaf bahawa
Setiap cabaran harus ditempuhi
Setiap dugaan harus dipatahkan
Demi diriku, keluargaku, bangsaku, agamaku, dan negaraku.

Sajak: Sahabat

Sahabat
Di kala aku keriangan
Mendengar sang camar berlagu riang
Kaulah teman ketawaku

Sahabat
Di kala aku kesedihan
Mencari sinar pengharapan
Kaulah teman menangisku

Sahabat
Tiba kini detik perpisahan
Mawar merah kuhulurkan
Tanda persahabatan yang abadi
Untuk kejayaan di masa hadapan

oleh: Dato' Dr. Syed Ahmad bin Syed Samsuddin Al-Saggof

18 April 2009

Sumpah Bahasa

Kami, rakyat Malaysia,
Bersumpah akan terus setia memperjuangkan Bahasa Melayu sebagai:
  • Bahasa yang mencipta kedaulatan bangsa.
  • Bahasa kesatuan politik, ekonomi, budaya, sosial, pendidikan, sains dan teknologi serta pembangunan negara yang menjamin kelangsungan bangsa Malaysia.
  • Bahasa yang menjaga dan memupuk kebebasan intelektual serta memerdekakan pemikiran bangsa; dan
  • Bahasa yang membawa, memelihara, mencipta, menyalurkan serta mengembangkan ilmu dan tamadun di negara dan di dunia.
Sesungguhnya, kami bertekad tidak akan berganjak daripada perjuangan ini.

29 Mac 2009

FESTIVAL BULAN BAHASA IPGM KBM 2009

25 Mac 2009

Festival Bulan Bahasa sepanjang bulan April ini

Sukacita dimaklumkan bahawa Kelab Seni Pengucapan Awam IPGM Kampus Bahasa Melayu akan mengadakan Festival Bulan Bahasa bermula 1 hingga 30 April 2009.

Aktiviti yang bakal diadakan ialah:

Perasmian Festival Bulan Bahasa
Pameran Tokoh Bahasa
Forum Intelektual
Pertandingan Forum, Pidato dan Debat
Kupasan Buku
Majlis Penutupan dan penyampaian hadiah

Marilah kita bersama-sama menyemarakkan lagi usaha memperkasakan bahasa Melayu melalui penyertaan dan penglibatan setiap aktiviti yang dijalankan.

BAHASA MUTU BANGSA

15 Mac 2009

IPGM Kampus Bahasa Melayu johan Pidato Piala Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya 2009

Tahniah kepada saudara Ahmad Faiz bin Ahmad Suhaimi kerana telah berjaya menjadi johan. Peserta giliran kelapan ini telah menyampaikan sebuah pidato yang bertajuk "Bahasa Melayu dan Cabaran Globalisasi". Johan membawa pulang sebuah piala pusingan, piala iringan, RM200, buku dan cenderamata.

Terima kasih kepada Puan Soriah binti Abdullah (Pengarah IPGM Kampus Bahasa Melayu), Dr. Ali bin Mahmood, Dr. Tuan Jah binti Tuan Yusoff, Puan Zawiyah binti Abdul Shukor, Encik Hafezi bin Abdul Hamid, saudara Muhammad Safwan bin Mohd. Noor Azmi dan rakan-rakan yang lain kerana telah membantu saudara Ahmad Faiz dalam latihan pidatonya. Segala jasa, pengorbanan wang ringgit dan masa kalian tidak dapat kami membalasnya. Semoga Allah sentiasa memberikan kerahmatan dan kesenangan atas sumbangan jasa bakti semua.

14 Mac 2009

Nasionalisme dalam Islam: Penting atau Berkepentingan?

OLEH: NOOR FARIEZA BINTI MOHD. NASHIRUDDIN
Saya baharu sahaja selesai membaca buku tulisan 'Faisal Tehrani', 'Surat-surat Perempuan Johor' beberapa hari yang lalu. (saya merupakan peminat novel-novel Faisal Tehrani). Banyak perkara dan maklumat penting yang saya perolehi setelah membaca buku tersebut. Walaupun buku tersebut telah lama berada di pasaran, baru kali ini saya terdetik hati untuk memilikinya.

Buku tersebut berkisar tentang perjuangan seorang perempuan Johor dalam golongan kerabat yang mahu mempertahankan maruah diri, bahasa, agama, masyarakat dan negara. Saya begitu teruja dan sangat berbangga dilahirkan sebagai perempuan Johor. Tetapi apa yang menyentuh hati saya adalah seorang perempuan yang dianggap lemah, mampu memperjuangkan kebenaran dan 'hak' dengan cara yang tersendiri. Salah satu elemen penting yang diceritakan dalam buku tersebut - semangat cinta akan negara. Semangat saya terbangkit apabila terbacakan tentang hal tersebut (membaca dengan akal, hati dan perasaan). Maka, saya terpanggil untuk menulis sebingkis luahan pandangan tentang nasionalisme.


Nasionalisme. Berbicara mengenai nasionalisme. Apa sebenarnya yang kita faham tentang perkataan nasionalisme? Secara literal berdasarkan kamus, nasionalisme bermaksud perasaan cinta pada negara dan bangsa sendiri. Mengikut pendefinisian lain nasionalisme bermaksud satu ideologi yang mencipta dan mempertahankan kedaulatan sesebuah negara (dalam bahasa Inggeris "nation") dengan mewujudkan satu konsep identiti bersama untuk sekumpulan manusia. Dalam zaman moden ini, nasionalisme merujuk kepada amalan politik dan ketenteraan yang berlandaskan nasionalisme secara etnik serta keagamaan. Para saintis politik biasanya menumpukan penyelidikan mereka kepada nasionalisme yang ekstrim seperti nasional sosialisme, pengasingan dan sebagainya.

Melihat akan maksud literal yang kita ketahui, nasionalisme merupakan semangat atau perasaan cinta akan negara. Berdasarkan maksud nasionalisme di atas ‘nasionalisme secara etnik dan keagamaan’. Kita mungkin sudah dapat meneka ada sesuatu yang tersirat dalam maksud yang diutarakan. Jika kita melihat konotasi maksud perkataan tersebut secara tersurat, sudah pasti akal logik kita menyatakan persetujuan tentang kepentingan dan kebaikan seseorang insan mempunyai semangat sebegini dalam dirinya. Tetapi, pernahkah kita berfikir sejenak di luar kotak tentang maksud tersirat disebalik perkataan tersebut?

Pada mulanya, saya sendiri merasakan nasionalisme itu sangat penting untuk menjadi seorang warganera Malaysia dan insan yang baik dan berkualiti. Tetapi, apabila saya terbacakan sebuah novel hasil tulisan ‘Faisal Tehrani’, semangat cinta akan negara ini sebenarnya hanyalah helah dan tipu daya penjajah laknatullah untuk mewujudkan jurang dalam hidup seorang insan, apatah lagi bagi umat Islam.

Nasionalisme yang dimomokkan oleh penjajah ini sebenarnya merupakan salah satu ‘pekerjaan’ mereka untuk menjajah minda, memesongkan kebenaran dan jati diri kita sebagai seorang muslim. Sebenarnya inilah tipu daya mereka untuk melakukan pemisahan agama dari dunia. Apabila semangat kebangsaan ini sudah sebati dalam diri kita sebagai seorang muslim, kita langsung tidak menghiraukan ‘saudara’ kita di luar sana dek kerana nasionalisme ini. Kononnya mahu menjaga keamanan dan kedaulatan negara sendiri, sedangkan apa yang lebih penting adalah semangat ‘kesatuan roh’ dalam kalangan muslim. Saya tidak menidakkan bahawa peri pentingnya nasionalisme ini kepada setiap individu, tetapi apabila kesan akhirnya membawa kepada sikap individualistik, maka nasionalisme ini bukan lagi sesuatu yang boleh dibanggakan bagi setiap individu. Nasionalisme bukan lagi sesuatu yang penting tetapi berkepentingan yang akhirnya menguntungkan pihak penjajah laknatullah yang mahu melihat kondisi kita di Malaysia semakin hari semakin terhakis sikap prihatin dan kasih sayang terhadap ‘saudara’ kita. Inilah agenda yang telah direncana oleh ‘mereka’ sejak beratus-ratus tahun dahulu. Kita yang tidak mahu berfikir panjang hanya menerima seadanya seperti ‘lembu dicucuk hidung’.

Apa yang lebih memilukan hati saya, sikap generasi muda yang endah tak endah dengan kondisi negara kini. Sikap sambalewa dan membudayakan hedonisme sudah menjadi ‘kiblat hakiki’ dalam kehidupan mereka. Sejarah keunggulan tamadun bangsa Melayu dan sejarah perluasan empayar Islam tidak lagi dikaji dan diselidiki, malah generasi muda kini masih lagi leka dan terus hanyut dengan ‘agenda’ si penjajah laknatullah. Generasi muda kini, masih tidak mengerti peranan besar mereka dalam membina empayar kegemilangan tamadun Melayu dan Islam. Sekiranya nasionalisme ini tidak dapat difahami dan ditelusuri dengan baik, maka yang tinggal hanyalah ‘abu semangat’ nasionalisme. Persoalannya, adakah kita hanya akan terus selamanya duduk berdiam diri ibarat ‘katak di bawah tempurung’ dan akhirnya menjadi ‘balaci’ di negara sendiri??? Tepuk dada tanyalah iman.


Jadi, adakah kita masih mahu terus leka dan dibelenggu mimpi sang penjajah? Perlu diingat bahawa kitalah yang akan mewarisi tampuk pemerintahan negara suatu hari nanti. Jika perkara ini terus berlarutan, anda sendiri mampu menjangka apa yang bakal berlaku pada masa akan datang. 

12 Mac 2009

Saudara Ahmad Faiz wakil IPGM Kampus Bahasa Melayu ke Pertandingan Pidato Piala Pengarah APMUM 2009

Pertandingan ini bakal diadakan pada 15 Mac 2009 (Ahad) di Dewan Semarak, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Saudara Ahmad Faiz bin Ahmad Shuhaimi akan mewakili IPGM Kampus Bahasa Melayu sebagai peserta yang bertanding nanti. Marilah sama-sama kita berdoa supaya beliau dapat melakukan yang terbaik dan memperolehi kejayaan.

07 Mac 2009

Bengkel Pidato Bersiri

Dijemput saudara/saudari untuk mengikuti bengkel pidato bersiri yang akan diadakan mengikut ketetapan berikut:
Tarikh: 11 Mac 2009
Masa: 8.00 malam
Tempat: Bilik Kuliah A-1, Asrama Bukit Pantai, IPGM Kampus Bahasa Melayu
Pakaian: Rasmi dan formal
Bayaran: Percuma / RM 5.00 (peserta baharu)
*Sila bawa nota kuliah pidato. Untuk peserta baharu, nota akan diberikan semasa pendaftaran.
*Khas untuk pelajar IPGM Kampus Bahasa Melayu sahaja. Jika selain daripada pelajar IPGM Kampus Bahasa Melayu berminat untuk mengikuti bengkel, sila hubungi: 017-5545060 (Saudara Safwan)

03 Mac 2009

Jaringan KESPA

28 Februari 2009

Kepemimpinan KESPA 2009/2010

MAJLIS TERTINGGI

Encik Mohd Hafezi bin Abd Hamid
Pembimbing Luar KESPA

Ruziatul Adibah binti Sailin
Pengerusi KESPA

Mohd Hafizul Khairi bin Ahamad
Naib Pengerusi KESPA

Noor Farieza binti Mohd Nashiruddin
Setiausaha KESPA

Sakinah binti Md Rodzi
Penolong Setiausaha 1 KESPA

Rasheedah binti Saidin
Penolong Setiausaha 2 KESPA

Sayidah Nafisah binti Md Isa
Bendahari KESPA

Mohamad Hanif bin Rosli
Naib Bendahari KESPA

AHLI JAWATANKUASA
Unit Gerak Kerja dan Program KESPA

Mohamad Yaseer bin Jamaluddin

Muhammad Faza bin Mokhtar

Unit Imej dan Jaringan KESPA
Muhamad Raimi bin Yusof

Siti Nur A'shiqin binti Roslan

Unit Rekod dan Informasi KESPA
Anne Liuh

Murnee Syafiqah

Unit Ukhwah dan Intelektual KESPA
Muhammad Dahuri bin Ghazali

Nur Hamizah binti Abdul Hamid

Unit Tugas-tugas Khas KESPA
Muhammad Safwan bin Mohd Noor Azmi




Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More