This is default featured post 1 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured post 2 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured post 3 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured post 4 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured post 5 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

31 Ogos 2010

Ramadhan... Pemergianmu ditangisi

Assalamualaikum. Salam Ramadhan penuh keberkatan!

Semarakkan Ibadah Pada 10 Akhir Ramadhan
  • Menghidupkan malam-malam tersebut dengan ibadah.
  • Mengejutkan ahli keluarga untuk sama-sama beribadah menghidupkan malam-malam tersebut.
  • Mengikat tali pinggang (tidak bersama isteri). Diriwayatkan daripada A'isyah r.a yang maksudnya: "Adalah Rasulullah s.a.w, apabila tiba sepuluh terakhir (Ramadhan) beliau akan menghidupkan malamnya dan mengejutkan isteri-isterinya dan mengikat tali pinggangnya (tidak bersama isteri). (Riwayat Bukhari dan Muslim).
  • Mandi antara maghrib dan isyak dan menghiaskan diri dengan pakaian yang indah dan wangi-wangian, terutama pada malam-malam ganjil.
  • Berusaha bersungguh-sungguh agar dikurniakan Lailatul Qadar. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Sesiapa yang mendirikan sembahyang pada malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, maka akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu."
  • Melakukan iktiraf di masjid pada sepuluh malam terakhir Ramadhan. Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: "Biasanya Nabi s.a.w beriktiraf pada sepuluh hari terakhir dalam bulan Ramadhan.
  • Membayar zakat fitrah, zakat harta dan zakat pendapatan.
  • Memperbanyakkan sedekah.
Tanda-tanda Lailatul Qadar

Diterangkan dalam sebuah hadith, antara tanda-tandanya ialah:
  1. Udara pada malam itu amat nyaman, tidak panas dan tidak terlalu sejuk.
  2. Terbit matahari pada pagi esok harinya dalam keadaan putih bersih, bagaikan bulan purnama, sinarannya lembut dan tidak terik.
  3. Tidak terasa kepanasan pada siang harinya, walaupun matahari sangat cerah dan terang benderang.
Hikmah Disembunyikan Lailatul Qadar
  1. Supaya kita berusaha untuk mendapatkannya.
  2. Supaya kita berusaha meningkatkan ibadah pada sepuluh malam terakhir Ramadhan.
  3. Memperbanyakkan doa untuk memperolehnya.
Adab Mengakhiri Ramadhan & Menyambut Eidul Fitri
  1. Allah menyuruh kita agar mengiktiraf akan kebesaranNya dengan mengucapkan 'Takbir' pada malam Eidul Fitri dengan gema yang mampu menggemparkan syaitan.
  2. Allah menyuruh kita mensyukuri segala ni'matNya dengan bertahmid dan berzikir.
  3. Allah menyuruh kita supaya memohon keampunan dengan beristighfar.
  4. Allah memerintahkan kita supaya mengeluarkan 'Sadaqatul Fitri' (membayar zakat fitrah).
  5. Keluar beramai-ramai untuk menunaikan Solat Eidul Firi dan mendengar khutbah dengan penuh penghayatan.
  6. Bertemu, beramah mesra dan bermaaf-maafan sesama muslimin.
  7. Menziarahi kubur dan memohon keampunan untuk ahli-ahlinya.
  8. Kunjung-mengunjung dan ziarah-menziarahi untuk mengeratkan silaturrahmi.

Alhamdulillah, itulah serba sedikit ilmu dan manfaat yang dapat dikongsi bersama. Semoga kita semua dapat berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakannya dalam Ramadhan yang bakal berakhir.


Sumber: Pamplet IKRAM Subang Jaya



22 Mei 2010

Boleh Kritik di Sudut Pidato

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi memberi jaminan tiada tindakan akan diambil terhadap mahasiswa yang memberikan pandangan kritis, termasuk mengkritik dasar kerajaan atau universiti, ketika berpidato di Sudut Pidato institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Timbalan Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata pandangan mahasiswa sekali pun berbeza dengan dasar harus dihormati kerana mereka mungkin ada pertimbangan dan rasional tersendiri dalam menilai suatu perkara atau isu.

Justeru, beliau mengingatkan pihak universiti tidak bersikap terlalu `keras’ dalam membuka peluang berpidato itu dan jangan sewenang-wenang mengenakan tindakan tata tertib serta melabel mahasiswa yang meluahkan pandangan berbeza sebagai golongan berhaluan kiri mahu pun antikerajaan.

“Saya memberi jaminan pihak universiti tidak akan, malah mereka tidak sepatutnya mengambil tindakan, selagi mahasiswa yang berpidato tiada melakukan perbuatan menghasut yang jelas melanggar undang-undang.

“Kita mesti menghidupkan budaya berfikiran kritis di kampus, satu daripada tujuh kemahiran insaniah yang penting untuk dikuasai oleh mahasiswa sebagai pemimpin pelapis,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Akhbar semalam melaporkan kebimbangan dikenakan tindakan oleh pihak universiti dan tidak berminat berpidato adalah antara sebab Sudut Pidato di IPTA mendapat sambutan dingin mahasiswa.

Perkara itu didedahkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang mendakwa pihak Hal-Ehwal Pelajar (HEP) IPTA juga akan menganggap mahasiswa yang berpidato isu sensitif sebagai penyokong pembangkang.
Dalam konteks ini, Saifuddin turut menasihatkan pihak universiti tidak mengenakan pelbagai syarat yang boleh menyebabkan mahasiswa berasa dikekang untuk berpidato.

Sebagai contoh, beliau berkata, universiti tertentu mensyaratkan mahasiswa mendaftar diri, malah ada yang meminta teks ucapan untuk tujuan saringan, sebelum mereka dibenar menggunakan Sudut Pidato.

“Semua ini tidak perlu, sebaliknya pihak universiti harus memberi sedikit kepercayaan bahawa mahasiswa akan bertanggungjawab (ketika berpidato).
Mahasiswa boleh mengeluarkan pandangan berbeza dan pendapat mereka itu boleh dibalas balik oleh mahasiswa lain yang tidak bersetuju melalui pentas Sudut Pidato,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kementerian tidak berhasrat untuk mengeluarkan pekeliling khusus atau mengadakan perjumpaan khas dengan IPTA.

sebaliknya menyerahkan kepada kebijaksanaan mahasiswa dan pentadbir universiti selaras kuasa autonomi yang diberikan.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, kementerian itu akan bekerjasama dengan kerajaan Perak untuk membangunkan bandar raya Ipoh sebagai sebahagian daripada hub pendidikan tinggi di negara ini.


Sumber: Berita Harian, 22 Mei 2010

14 Mei 2010

Gaji minimum bahaya untuk golongan miskin

Baru-baru ini saya bertemu dengan dua pegawai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membincangkan mengenai caruman KWSP petugas di IDEAS. Saya memuji cara kerja para pegawai itu. Mereka sabar dan bersungguh-sungguh cuba membantu saya dengan nasihat-nasihat yang berguna.

Peruntukan undang-undang menetapkan bahawa setiap majikan wajib membayar caruman KWSP sebanyak 12 peratus sebagai tabungan pencen pekerja. Ada beberapa pengecualian, tetapi secara umum, itulah peraturannya. Dua belas peratus sebenarnya merupakan satu jumlah yang besar, terutama bagi organisasi yang baru bermula seperti kami di IDEAS.

Semasa saya berurusan dengan KWSP, terlintas juga dalam fikiran bahawa mungkin ada petugas saya yang terpaksa ditamatkan kontrak kerana kami tidak mampu membayar caruman mereka. Mungkin ada yang mungkin terpaksa diturunkan gaji. Malahan, saya mungkin terpaksa menawarkan gaji yang lebih rendah kepada petugas baru kerana saya tidak mampu membayar caruman KWSP yang tinggi.

Sebagai contoh, katakanlah jika ada petugas IDEAS yang menerima bayaran RM5,000 sebulan. Kos kepada syarikat, jika dicampurkan caruman KWSP, ialah RM5,600. Kos tambahan RM600 itu adalah satu kos yang tinggi, yang sebenarnya boleh saya gunakan untuk membayar gaji pekerja sambilan yang lain.

Tetapi, oleh kerana saya diwajibkan untuk membayar caruman KWSP, maka saya mungkin terpaksa menamatkan kontrak pekerja sambilan itu. Sedangkan pekerja sambilan yang bergaji rendah itu boleh jadi amat bergantung harap dengan bayaran upah dari saya untuk menyara keluarganya.

Dalam kes ini, semata-mata untuk membayar caruman KWSP seorang pekerja kaya berpendapatan tinggi, saya terpaksa memberhentikan seorang pekerja miskin berpendapatan rendah. Saya tiada pilihan lain kerana hasil kerja pekerja profesional itulah yang menjana pendapatan untuk organisasi kami. Untuk mengekalkan dia maka saya mesti membayar jumlah yang dia mahu.

Ironis sekali apabila undang-undang KWSP yang asalnya bertujuan mahu memastikan rakyat Malaysia ada tabungan pencen akhirnya mengakibatkan seorang pekerja miskin dibuang kerja. Dalam bidang sains sosial, inilah yang dikenali sebagai hukum akibat yang tidak dijangka (law of unintended consequences).

Situasi ini menyebabkan saya bimbang apabila Kementerian Sumber Manusia mahu menetapkan kenaikan gaji para pengawal keselamatan dengan kadar yang agak tinggi. Ini merupakan satu bentuk gaji minimum yang ditetapkan oleh undang-undang.

Hakikatnya ini sama dengan caruman KWSP yang kadarnya turut ditetapkan oleh kerajaan melalui undang-undang. Ada kesan negatif yang tidak dijangka yang akan berlaku, walaupun niat asalnya adalah baik. Bagi saya ini juga bertentangan dengan aspirasi Model Ekonomi Baru yang diumumkan oleh Perdana Menteri.

Dalam Bab Enam laporan Model Ekonomi Baru (MEB) yang dikeluarkan oleh Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), dengan terang dinyatakan bahawa MPEN tidak bersetuju dengan cadangan mewujudkan gaji minimum kerana ia boleh mengurangkan peluang pekerjaan di Malaysia.

Pandangan MPEN ini tepat sekali. Maka janganlah pula ada kementerian yang membelakangkan semangat MEB yang seperti yang dinyatakan dalam laporan itu.

Mungkin ada yang mempersoalkan bagaimana gaji minimum boleh mengurang peluang pekerjaan. Pengalaman IDEAS yang saya ceritakan di atas memberi jawapan yang jelas. Jika gaji minimum diwujudkan, maka akan ada golongan yang nanti terpaksa diberhentikan atau tidak diambil bekerja demi membolehkan syarikat menampung kos bayaran gaji atau caruman pekerja lain yang ditetapkan oleh undang-undang.

Biasanya golongan yang akan rugi ialah para pekerja berpendapatan rendah kerana mereka lebih mudah diganti berbanding golongan profesional berpendapatan tinggi. Golongan pengawal keselamatan, tukang sapu sampah, tukang kebun, buruh kasar, jurutol, dan lain- lain harus cemas dengan cadangan gaji minimum. Ini kerana gaji minimum akan menghasilkan kezaliman kepada golongan yang paling memerlukan pertolongan.

Saya sebenarnya mempunyai pengalaman peribadi dalam hal ini. Saya pernah bekerja sebagai pembersih tandas hospital semasa belajar di United Kingdom. Apabila kerajaan Britain memperkenalkan gaji minimum pada tahun 1999, saya dibuang kerja kerana syarikat tidak lagi mampu membayar upah semua pekerja.

Pada tahun 1997, Institute of Economic Affairs, sebuah badan pemikir di London, menerbitkan satu edisi khas jurnal ilmiah untuk membicarakan kesan gaji minimum. Mereka mendapati bahawa gaji minimum mungkin tidak memberi kesan negatif kepada negara sewaktu ekonomi sedang berkembang.

Tetapi, tatkala ekonomi negara menghadapi masalah, gaji minimum akan menyebabkan masalah ekonomi tersebut menjadi lebih teruk kerana ia menyumbang kepada peningkatan kadar pengangguran. Syarikat-syarikat dihalang oleh undang-undang daripada mengambil pekerja baru atau menurunkan gaji walaupun para pekerja itu sendiri sanggup menerima gaji lebih rendah demi mengekalkan pekerjaan mereka. Maka akibatnya proses pembaikan kedudukan ekonomi negara dan pengurangan kadar pengangguran akan menjadi perlahan.

Presiden Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia, Datuk Shaheen Mirza Habib mengatakan bahawa jika langkah ini diteruskan, maka mungkin 300 syarikat keselamatan terpaksa gulung tikar. Ini akan menyebabkan 60,000 orang pengawal keselamatan tempatan hilang pekerjaan. Inilah akibat yang tidak dijangka daripada tindakan memperkenalkan gaji minimum, walaupun niat asal gaji minimum adalah baik.

Saya akui para pengawal keselamatan memang menerima gaji yang rendah. Bapa saudara saya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat kecil berdekatan Kuala Pilah. Pak Andak saya mengayuh basikal tua setiap hari untuk pergi bekerja demi menyara keluarga. Kehidupan beliau memang susah dan beliau baru kematian isteri bulan lepas. Siapa yang mahu menyara keluarga beliau jika gaji minimum itu menyebabkan dia kehilangan kerja?

Saya akui saya agak emosi dalam hal ini disebabkan memikirkan kesusahan hidup Pak Andak saya dan juga pengalaman peribadi saya sendiri. Tetapi saya bukan bercakap dari segi teori sahaja. Saya pernah menjadi mangsa kezaliman gaji minimum dan saya tidak mahu orang lain ditimpa nasib yang sama.

Saya tidak pasti adakah mereka yang menuntut gaji minimum di Malaysia pernah atau tidak bekerja sebagai buruh kasar, apatah lagi sebagai pembersih tandas, lalu dibuang kerja seperti saya. Atau adakah mereka hanya berkempen daripada keempukan kerusi mahal di pejabat masing-masing sahaja?

Gaji minimum ialah satu dasar yang merbahaya kepada golongan berpendapatan rendah. Demi kebajikan rakyat miskin, saya harap gaji minimum tidak diperkenalkan.

Wan Saiful Wan Jan ialah Ketua Eksekutif Institute for Democracy and Economic Affairs (www.IDEAS.org.my)

Sumber: Utusan Malaysia, 12 Mei 2010

12 Mei 2010

Penekanan sama adil untuk Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris

BEBERAPA pihak menyuarakan rasa kurang senang dengan perkembangan Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) mulai tahun depan kerana bimbang berlaku pelaksanaan yang berat sebelah.

Ini disebabkan perancangan bagi memastikan Bahasa Inggeris dapat diperkukuhkan sudah dapat dilihat dengan jelas melalui cadangan pengambilan 365 tenaga pengajar pakar bahasa Inggeris dari luar negara, termasuk United Kingdom dan Australia.

Mereka yang diambil secara kontrak yang akan dibahagikan mengikut zon untuk membimbing guru Bahasa Inggeris tempatan teknik pengajaran yang dapat membantu murid menguasai bahasa itu dengan lebih baik.

MBMMBI yang menggantikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dimansuhkan pada tahun lalu, turut melihat persetujuan Kabinet bagi penambahan masa pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris ditambah di sekolah rendah dan menengah.

Berdasarkan keputusan itu, waktu bagi Bahasa Melayu ditambah daripada 270 minit kepada 330 minit seminggu bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil (SJKC/SJKT), manakala untuk Sekolah Kebangsaan (SK) dikekalkan kepada 240 minit seminggu.

Masa pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris pula ditambah daripada 240 minit kepada 330 minit di SK dan Sekolah Menengah, manakala di SJKC/SJKT ditambah daripada 60 minit ke 120 minit seminggu.
Sungguhpun demikian, waktu persekolahan tidak dipanjangkan, tetapi diolah menjadi lebih kreatif dan menyeronokkan untuk pelajar dan ia akan dibuat pengubahsuaian dari segi kokurikulum selaras dengan perubahan berkenaan.

Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia, Kamal Shukri Abdullah Sani, berkata gerakan untuk melaksanakan MBMMBI berjalan terlalu perlahan berbanding ketika dasar PPSMI ingin dilaksanakan pada 2003 dan perkara terbabit menimbulkan kebimbangan di kalangan pejuang bahasa Melayu.

“Kita boleh lihat dengan jelas, bahasa Melayu adalah bahasa rasmi Malaysia dan wajib diguna pakai oleh semua masyarakat tidak kira agama dan bangsa. Ia perlu diberi penekanan mendalam dalam aspek pendidikan kerana sudah banyak istilah dalam bahasa Melayu diterima pada peringkat antarabangsa.

“Kerajaan terutamanya Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi perlu berusaha untuk mengembalikan status bahasa Melayu seperti sebelum 2003 yang mana ia diguna pakai dalam semua bidang pendidikan termasuk mata pelajaran Sains dan Matematik,” katanya ketika ditemui Sastera, di Kajang, baru-baru ini.

Kamal Shukri juga menegaskan usaha membina tamadun ilmu dalam bahasa rasmi negara ini sudah berlangsung dalam masa yang panjang dan perlu dimanfaatkan, tetapi malangnya segala penat lelah dan masa yang diluangkan bagi memperkasakannya terbazir apabila bermula 2003 apabila PPSMI diperkenalkan.

Beliau pasti bahawa banyak jurnal, bahan ilmiah dan penyelidikan bagi bidang Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu sudah dapat dihasilkan ilmuwan dan sarjana sekiranya PPSMI tidak diperkenalkan, malahan pimpinan atasan juga perlu meletakkan bahasa Melayu di tempat sewajarnya dengan menggunakannya ketika berkomunikasi dan urusan rasmi.

“Kita perlu sedar, bahasa Melayu mempunyai jiwa dan nilai budaya yang sangat indah serta sukar diungkapkan. Ia mampu menjadi bahasa ilmu yang diiktiraf dunia, tetapi dalam masa sama tidak salah untuk masyarakat menguasai bahasa Inggeris selagi tidak membiarkan fikiran mereka ditawan bahasa itu,” ujarnya.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz, pula menyifatkan dasar MBMMBI perlu diberi penekanan dengan menghalakan warga pendidik terlebih dulu kerana fungsi mereka penting bagi melahirkan bangsa Malaysia yang mencintai bahasa Melayu.

Justeru, masalah yang dihadapi kerajaan dalam pelaksanaan dasar berkenaan adalah bagi menyediakan 13,000 guru baru yang terlatih khususnya dalam mata pelajaran Sains dan Matematik dalam tempoh setahun.

“Guru sebenarnya menjadi nadi utama dalam menjayakan dasar MBMMBI kerana kalau kita lihat, majoriti pendidik lebih mengejar untuk menghabiskan silibus pelajaran berbanding menerapkan kesedaran dalam diri pelajar bahawa bahasa Melayu adalah wadah kesepaduan dan kesepakatan di Malaysia.

“Bahasa Melayu sebenarnya bukan saja berfungsi sebagai bahasa kebangsaan, tetapi juga berkualiti sebagai bahasa ilmu. Statistik menunjukkan bahawa pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) menghadapi masalah untuk menguasai bahasa Melayu. Salah satu sebab hal ini berlaku pastinya kerana kurangnya penekanan daripada guru sendiri,” jelasnya.

Beliau berharap kerajaan memainkan fungsi penting dalam hal ini dengan melaksanakan pelbagai dasar yang tegas bagi mendaulatkan kembali bahasa Melayu di kalangan masyarakat, selain pemimpin atasan perlu menjadi contoh terbaik dalam aspek penggunaan dan komunikasi dalam bahasa Melayu.

“Di samping itu, bahasa Melayu juga perlu di martabatkan pada peringkat institusi pengajian tinggi (IPT), tidak kira sama ada awam atau swasta.

Penegasan dalam hal ini perlu bagi memastikan bahasa Melayu diletakkan di tempat teratas dalam urusan rasmi,” ujarnya.

Sumber: Berita Harian, 11 Mei 2010

07 Mei 2010

Kembalikan roh universiti

DENGAN berakhirnya April lalu, maka genaplah setahun saya bertugas di Kementerian Pengajian Tinggi. Dalam tempoh itu, saya belajar banyak perkara, termasuk tentang universiti kita, iaitu tentang apa yang pernah dilakukan sebelum ini, apa yang sedang dilakukan kini dan apa yang perlu dilakukan selepas ini.

Impian semua adalah untuk menjadikan universiti kita ulung. Universiti yang ulung - Ivy League, 10 teratas, universiti apex, universiti penyelidikan dan sebagainya - dilihat oleh masyarakat sebagai kemuncak peluang yang dikejar setiap belia yang bercita-cita tinggi.

Tetapi, apakah ciri-ciri sebenar sebuah universiti yang ulung? Adakah universiti menjadi ulung kerana berada di tangga teratas dalam penarafan? Adakah penarafan itu berdasarkan fundamental atau sekadar persepsi?

Adakah universiti menjadi ulung kerana memenangi banyak pingat emas pertandingan antarabangsa, yang sesetengahnya menganugerahkan hadiah dengan cara yang bertujuan untuk menggalakkan lebih banyak penyertaan pada tahun berikutnya dan yurannya bertambah setiap tahun?

Adakah universiti menjadi ulung kerana terkehadapan dalam penyelidikan bagi disiplin tertentu? Adakah universiti menjadi ulung kerana kecemerlangan pengajarannya?

Soalan-soalan ini dilontarkan kerana sebahagian daripada kita seperti telah terlupa akan roh universiti. Terlupa ingatan Syed Naquib al-Attas bahawa "intipati sebenar universiti bukan bangunannya atau penampilan fizikalnya. Sesungguhnya, dalam sejarah mana-mana universiti, para pensyarah dan pelajar yang menuntut daripadanya adalah kandungan utama kewujudan universiti itu". Maknanya, keulungan universiti adalah bergantung pada budaya ilmu yang dihayati oleh keluarga universiti itu.

Kita bimbang jika tersasar daripada matlamat memburu kecemerlangan yang holistik, tetapi sebaliknya terperangkap dalam apa yang disifatkan oleh Harry Lewis (2006) dalam bukunya, Excellence Without Soul, sebagai 'kecemerlangan lompong'.

Kita tidak mahu mengalami masalah yang ditimbulkan oleh Frank Furedi (2006) dalam bukunya, Where Have All the Intellectuals Gone? iaitu keadaan intelektual Amerika Syarikat (AS) kini yang kekurangan pemikir besar seperti Betrand Russel, Raymond Williams dan Hannah Arendt, tetapi sebaliknya diganti oleh peramal dangkal, pengkaji apologis dan pemutar isu.

Sebahagian daripada kita kelihatan asyik dalam apa yang dianggap sebagai fungsi-fungsi kontemporari universiti, iaitu: menjalankan program-program akademik yang diiktiraf oleh agensi profesional dan akreditasi; melaksanakan kurikulum untuk memenuhi keperluan pasaran pekerjaan; memfokus kepada penyelidikan yang dibiayai pelbagai pihak; dan menjadikan aktiviti komersial salah satu indikator prestasi.

Semua ini adalah fungsi yang sah dan baik. Tetapi, pada masa yang sama, kita tidak boleh lupa akan fundamental universiti, seperti kebebasan akademik dan autonomi. Di sini, universiti perlu bijak menyeimbangkan hubungannya dengan dua sektor penting, iaitu kerajaan dan perniagaan.

Dalam hubungan dengan kerajaan, kita diingatkan oleh buku Henry Giroux (2007), The University in Chains, di mana dalam menghadapi hubungan tentera-industri-akademia di AS, sesetengah universiti mengiyakan apa sahaja yang diarah kerajaan. Kerajaan sedang memberikan lebih autonomi kepada universiti kita. Universiti perlu menggunakan kebebasan ini dengan optimum.

Kerajaan menggalakkan universiti awam meningkatkan kerjasama dengan industri. Di samping itu, kita memerlukan dan mempunyai sejumlah universiti swasta. Dalam hal ini, kita diingatkan oleh buku Derek Bok (2003), Universities in the Market Place, di mana beliau membicarakan kritik-kritik terhadap beberapa kesan negatif pengkomersialan pengajian tinggi atau sebahagian daripada aktivitinya.

Mengapakah perlu dikembalikan roh universiti?

Ia perlu kerana apabila dilihat perbincangan oleh sebahagian daripada kita yang bertanggungjawab terhadap universiti, terdapat banyak perbincangan tentang masalah dunia, pasaran pekerjaan, kerja kuat dan kejayaan. Tetapi, jarang terdengar perbincangan tentang kekuatan peribadi, integriti, memburu dan menghayati budaya ilmu, kerjasama, idealisme, dan paling penting - bagaimana untuk hidup dalam dunia yang lebih baik, dan bagaimana meninggalkan dunia ini sebagai tempat yang lebih baik daripada masa kita tinggal dalamnya.

Kelihatannya, semakin ulung sesebuah universiti, maka semakin hebat fokusnya terhadap kejayaan kompetitif dalam pasaran pensyarah, pelajar dan dana penyelidikan, tetapi semakin kendur fokusnya untuk berbicara dengan serius tentang pelajar dan pembangunannya menjadi insan kamil. Banyak bercakap tentang banyak perkara, tetapi amat sedikit tentang usaha membangunkan pelajar menjadi insan yang lebih baik.

Kalaupun ada yang bercakap tentang pelajar dan usaha menjadikannya insan lebih baik, tetapi lazimnya, ia dilakukan dengan cara-cara yang terpisah daripada keperluan, imaginasi dan aspirasi sebenar pelajar. Kita bercakap tentang orientasi pelajar, tetapi kita jarang bercakap tentang penghakupayaan pelajar.

Kebanyakan daripada kita tidak pun memahami bahawa pelajar mempunyai tiga permintaan asas, iaitu mereka mahu suaranya didengar, mahu bakat dan peranannya diiktiraf, dan mahu isu-isunya ditangani dengan cara yang sesuai dengannya.

Kerana itu, kita perlu menghayati ciri-ciri fundamental yang menjadikan universiti itu ulung. Kita perlu bermula dengan definisi ilmu yang tepat. Menurut Syed Naquib al- Attas, ilmu ialah ketibaan makna daripada maklumat yang benar. Ilmu daripada maklumat palsu bukan ilmu. Ilmu daripada maklumat benar tetapi tidak bermakna juga bukan ilmu. Soalnya, sejauh manakah kita mendidik pelajar dengan ilmu yang benar-benar ilmu?

Selanjutnya, kita perlu menghayati budaya ilmu. Menurut Wan Mohd Nor Wan Daud, ia terdiri daripada tiga prinsip, iaitu meletakkan ilmu dan ilmuwan di tempat paling tinggi; sentiasa menuntut, membangun, mengongsi dan menilai ilmu; dan setiap keputusan dibuat berasaskan ilmu. Soalnya, sejauh manakah kita benar-benar menghayati budaya ilmu?

Apakah makna roh universiti? Bagaimanakah mengembalikannya?

Tiada sesiapa punya semua jawapannya. Malah, bagi kita yang memperjuangkan autonomi universiti, kebebasan akademik dan penghakupayaan pelajar, dan dalam politik pula menganjurkan politik baru yang menekankan pendekatan demokrasi partisipatif, maka jawapannya tentulah memerlukan untuk kita merundingkannya dan membinanya secara berjemaah.

Sementara menunggu jawapan itu, ada eloknya jika kita merenung tulisan Henry Rosovsky (1990), The University: An Owner's Manual tentang beberapa ciri universiti ulung:

  • Fakulti yang sentiasa mencerna idea dan ilmu baru; penulis buku mengajar.
  • Pelajar dari seluruh pelosok dunia dipilih melalui piawaian yang tinggi - kumpulan yang beraneka, menarik dan unggul.
  • Membenci pemikiran kolot dan penyelesaian dari atas; mencintai kecemerlangan.
  • Mempunyai tradisi yang bermakna.

Datuk Saifuddin Abdullah ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi

Sumber: Utusan Malaysia, 5 Mei 2010

05 Mei 2010

Hakikat Cinta

Oleh: Mohd. Raimi b. Yusof

"Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan ( sekalian makhluk). Dia menciptakan manusia dari segumpal darah beku. Bacalah , dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah. Yang Mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan apa yang tidak diketahuinya"
Surah Al’Alaq 96 : 1-5


Pencerapan Cinta
Manusia dibahagikan dengan 3 kecerdasan iaitu kecerdasan IQ, EQ dan SQ. Ketiga-tiga kecerdasan ini merupakan satu perkara yang begitu dititikberatkan di dalam menjalani kehidupan insani yang sempurna.

IQ merupakan satu hasil penemuan pakar psikologi German William Stern pada tahun 1912. Persoalan yang boleh ditimbulkan melalui kecerdasan ini ialah Apa yang kita fikir ?. Kebiasannya bacaan fizikal menjurus kepada perkara bersifat meteralistik yang membolehkan seseorang bangga mengejar kepada kesempurnaan kebendaan. Perkaitan yang tercantum antara cinta dan IQ adalah merupakan satu percantuman yang menghasilkan perhubungan bersifat fizikal iaitu perhubungan kebendaan, kecantikan dan kesihatan dimana unsur-unsur ini tiada roh pengekalan dan bersifat tidak abadi . Penghakisan cinta dari aspek ini membawa kepada satu pemahaman luaran individu yang membawa kepada satu penggadaian aspek kemanusiaan dalam diri manusia sendiri dan membawa kepada penjenamaan unsur-unsur haiwani dalam diri manusia.

Dari aspek Emosi pemahaman mudah boleh difahami adalah dengan menjawab persoalan apa yang kita rasa? Pelbagai perasaan boleh ditimbulkan seperti gembira, bahagia, sedih, kecewa, marah dan sebagainya. Cinta dan Emosi merupakan satu pakatan yang padu yang merupakan satu hubungan yang menjurus kepada kebahagian , keseronokan dan kegembiraan . Akan tetapi penghakisan cinta dari aspek ini menjenamakan kebahagian, keseronokan dan kegembiran dari aspek ruang lingkup diri dan pasangan mereka tanpa memikirkan ruang lingkup pemahaman agama dan norma-norma masyarakat. Perasaan pada ketika ini membawa kepada satu pandangan dunia yang indah yang bersifat retorik dimana kebahagiaan yang difokuskan hanyalah bersifat tidak abadi. Dimana ianya akan berkurangan setelah mengetahui kehidupan sebenar seorang insan yang dicintai dimana kehidupan ini dilindungi oleh buih-buih pemahaman indah yang tidak diketahui kebatilannya.

Teruskan baca dengan nama Tuhanmu
Kecerdasan SQ merupakan penemuan ilmia baru, yang ditemui ole Dana Zohar (Harvard University) dan Ian Marshall ( Oxford University ). Penemuan God Spot di dalam otak manusia dikatakan sebagai hardware spiritual. Penemuan ini menguatkan keadaan kepada kehidupan yang lebih bermakna dan memiliki kebahagian yang abadi. Cinta dari aspek ini merupakan hakikat cinta sebenar yang menemui persoalan siapa kita, dari mana kita berasal dan ke mana kita akan pergi. Segala persoalan ini menghubungkan kepada jambatan pencipta kita sebenarnya. Jambatan ini diumpamakan sebagai jambatan yang kukuh dan tidak akan runtuh sama sekali walaupun digertak ia akan tetap kukuh dan akan terus kukuh bergantung kepada keyakinan kita kepada hubungan tersebut. Hubungan pada ketika ini merupakan satu hubungan keseronokan tanpa kesepian, kebahagian tanpa kegusaran, kegembiraan tanpa batasan. Hal ini kerana penjualan jiwa kepada pembeli sesuai telah ditemui. Pembeli ini tidak pernah mengeluh dan sentiasa menunggu penjual datang kepadanya tidak kira waktu dan masa dan akan sentiasa membeli dengan penuh perasaan kasih sayang kepada penjual. Pembeli ini tidak mengharapkan kebendaan cuma mengharapkan ketaatan. Hal ini ditekankan oleh pembeli sebenar di dalam Al Quran:
"Dan (Aku perintahkan): Hendaklah kamu menyembahKu: inilah jalan yang lurus. Dan sesungguhnya syaitan itu telah menyesatkan ramai di antara kamu maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf?"
Surah Yaasiin 36: 61-62

Cintai manusia, manusia kan mati,
Cintai Allah Kekal Selama-Lamanya.

Percayalah cinta hakiki wujud dan perlu mengambil masa untuk mencarinya hanya kesabaran pemecah kesesatan dan taqwa penemu jalan.

22 Februari 2010

Bahasa oh bahasa!

BAHASA merupakan suatu elemen yang penting dalam kehidupan. Manusia menggunakan bahasa sebagai medium untuk berkomunikasi, sama ada secara langsung atau bertulis.

Percakapan atau tulisan yang menggunakan bahasa yang baik dan teratur akan memberi makna mendalam dan juga mampu menyentuh perasaan.

Justeru, Islam menggalakkan umatnya menggunakan bahasa yang indah dan baik-baik apabila bertutur.

Rasulullah SAW sendiri berdakwah menggunakan bahasa yang paling baik dan halus dan tidak pernah menggunakan bahasa yang kesat dan kasar dalam pengucapan baginda.

Sifat ini seharusnya dicontohi terutama sekali para remaja supaya dapat menggunakan bahasa yang baik dan teratur dalam percakapan seharian.

Luqman Al-Hakim juga berpesan dengan anaknya, menggunakan istilah 'wahai anakku' yang menggambarkan kelembutan seorang ayah dalam menasihati anaknya sehingga termaktub dalam al-Quran (Luqman:12-19).

Penulis buku motivasi terkenal, La Tahzan (Jangan Bersedih), Dr. Aidh Abdullah al-Qarni juga ada berkata dalam suatu temuramah, "Islamlah yang mengajak orang untuk memiliki kebebasan berekspresi. Tapi ada dua syarat dalam hal ini. Jangan sampai menghina suatu agama dan, kedua, jangan sampai merosak dan memfitnah orang lain."

Ini menunjukkan bahawa bersuara tidak mengehadkan batas pemikiran manusia, tetapi harus dilakukan dengan batas lingkungan yang benar dan beretika.

Namun dapat diperhatikan senario pada hari ini, ialah penggunaan bahasa yang semakin kasar dan kadangkala juga boleh menggugat keimanan.

Ia terserlah dalam penggunaan bahasa di kalangan muda-mudi termasuk remaja, dalam blog penulisan, bait lagu dan puisi, serta dalam rancangan di televisyen atau radio.

Penggunaan bahasa pasar dan bahasa kasar sememangnya kurang enak didengar, namun itulah realiti yang terpaksa ditelan hari ini.

Persoalannya, adakah rancangan-rancangan tidak akan laku sekiranya tidak menggunakan bahasa yang indah dan teratur?

Adakah setiap program memerlukan jenaka yang kadangkala berlebihan dan kurang sedap didengar untuk menarik perhatian penonton?

Adakah bahasa yang digunakan dalam lagu misalnya tidak melambangkan sikap dan jiwa sebenar seseorang itu?

Oleh itu, remaja perlu berfikir secara mendalam akan penggunaan bahasa agar ia tidak menyinggung perasaan orang lain sekali sekalipun untuk menyatakan kebenaran.

Antara gurauan dan igauan

Dalam menggunakan bahasa, perkara-perkara seperti sebutan, ejaan, kosa kata, tanda baca dan sebagainya dipanggil tatabahasa dan ia merujuk kepada struktur dan binaan ayat.

Manakala peraturan-peraturan bagi memilih bentuk sapaan, ganti nama, bentuk hormat, dan perbuatan menyentuh orang, mengiktiraf taraf sosial, taraf pendidikan, usia orang dan lain-lain pula boleh dipanggil sebagai budi bahasa.

Budi bahasa adalah sesuatu yang penting apabila bertutur dan berkomunikasi, walaupun sedang berjenaka dan bergurau.

Yang menjadi masalahnya ialah apabila ramai antara kita yang cuba bergurau tetapi menggunakan bahasa yang kurang enak didengar dan kadangkala mengaibkan orang lain.

Islam tidak melarang berjenaka dan bergurau, tetapi tidak harus berlebih-lebihan. Menghiburkan diri dengan jenaka atau kata-kata gurauan boleh menghilangkan kerisauan hati tetapi dalam masa yang sama ia kadangkala mengundang sensitiviti kepada orang yang terlibat dan mendengar.

Oleh itu, remaja harus sentiasa berhati-hati agar tidak menyinggung perasaan sesiapa dan pastinya kita mengharapkan perbuatan yang serupa daripada orang lain juga.

Allah mencipta manusia dengan akal dan hati, yang saling berbeza tabiat dalam memberikan reaksi kepada perkataan. Akal memproses logik dan hati memproses emosi.

Apabila seseorang memberi tindakbalas yang positif, secara automatik emosi akan berasa ceria dan bersemangat dan begitulah sebaliknya.

Apatah lagi sekiranya berjenaka tentang agama yang bermaksud untuk memperlekehkan agama.

Ia mungkin berlaku tanpa disedari, sebagai misalnya berlawak mengenai hukum-hakam yang sudah sedia maklum wajib dilakukan seperti bersolat, berpuasa, dan asas-asas rukun Islam dan rukun Iman yang lain.

Ada juga yang tanpa sedar berjenaka mengenai tuntutan yang wajib dilakukan seperti menutup aurat, menjaga kewajipan dengan jiran dan guru, poligami dan sebagainya.

Paling tidak pun, bergurau dengan memendekkan istilah-istilah yang baik seperti astaga, La'ilah, dan sebagainya dengan tujuan menimbulkan rasa geli hati kepada pendengar. Semua ini akan menjejaskan keimanan walaupun dilakukan tanpa sedar dan niat.

Adalah menjadi suatu kebiasaan pula di masa kini untuk menyelitkan lawak jenaka dalam majlis-majlis ilmu.

Sesetengah orang berpendapat bahawa tanpa jenaka sesebuah ceramah akan menjadi bosan dan tidak menarik.

Mungkin ada benar. Dan mungkin juga ia kurang tepat. Bagaimana ilmu boleh disampaikan secara berkesan sekiranya disampaikan dengan lawak dan terlalu santai? Apakah matlamat sebenar apabila berceramah? Memastikan matlamat seminar tercapai atau membuat orang ketawa?

Justeru, penggunaan bahasa dalam bergurau dan jenaka mesti digunakan sebaik-baiknya kerana dibimbangi boleh membawa interpretasi yang salah yang menyinggung manusia dan hukum-hukum Allah.

Sekiranya ia dilafazkan untuk meredakan ketegangan minda dan sekadar menaikkan suasana ceria, bolehlah dilakukan sekadarnya.

Apa yang penting, gurauan dan jenaka bukanlah jalan untuk mengalih dan menutup pintu kebenaran. Kerana apabila manusia sudah terlalu gembira, kadangkala mereka terlupa akan isu pangkal dan fokus sebenar.


Syirik tanpa sedar

Selain itu kita juga sering disajikan dengan lagu-lagu, sajak, drama atau filem yang menggunakan bahasa-bahasa yang menggambarkan cinta manusia lebih unggul daripada cinta kepada Allah SWT.

Lambakan lagu yang menggunakan istilah seperti 'tidak boleh hidup tanpamu', 'hidup matiku hanya untukmu' dan sebagainya menggambarkan bahawa manusia seolah-olah telah menjadi hamba kepada cinta dan manusia bergantung kepada manusia yang lain sedangkan Allah telah menjadikan manusia dengan kemampuan dan kelebihan yang tersendiri.

Terdapat juga lagu-lagu yang tanpa kita sedari menyalahkan takdir atas musibah yang berlaku, sedangkan dalam Islam kita harus percaya kepada ketentuan qadar dan qada yang Allah tentukan. Lagu digambarkan seolah-olah hidup akan hancur selepas kehilangan sesuatu atau seseorang, ataupun sedangkan kita dituntut untuk bersabar, percaya dan bertawakal kepada Allah.

Begitu juga dengan nyanyian, iaitu pada dasarnya ia tidak sepatutnya melekakan apatah lagi memuja-muja sesuatu selain Nya yang boleh membawa ke arah syirik.

Menggunakan perkataan seperti dewa, dewi, idola dan lain-lain sebagai manifestasi kepada orang yang dicintai adalah sesuatu yang salah.

Sungguhpun ia digunakan untuk menggambarkan betapa agungnya kecintaan terhadap seseorang, ia menyalahi konsep bahawa yang perlu diagungkan adalah Tuhan yang kekal abadi, dan bukan manusia dan dunia yang fana ini.

Harus diingat bahawa pengucapan kepada manusia tidak boleh melebihi tingginya kuasa Allah. Malang sekali apabila radio dan stesen TV juga menyiarkan lagu ini sewenangnya tanpa berfikir akan implikasinya apabila ia menjadi siulan ramai.

Memang tidak salah para remaja menjadi orang-orang yang dinamik dalam menggunakan istilah dan konsep. Tetapi setiap istilah terkandung makna dan makna dalam istilah agama berkait rapat dengan al-Quran dan hadis.

Seperti juga orang-orang Barat mengemukakan istilah-istilah tertentu untuk dipopularkan, tetapi ia terkandung maksud yang bercanggah atau tidak serasi dengan tradisi dan budaya orang Islam.

Orang Barat mengguna pakai sesuatu istilah, kadang-kadang berkait rapat dengan tradisi, budaya dan pancaran daripada sistem kepercayaan atau agamanya.

Para remaja yang hidup dalam negara merdeka amat mustahak menjaga kepentingan jati diri. Memelihara jati diri tidak semestinya menyebabkan para remaja menjadi tertutup terhadap pengaruh baik daripada budaya dan tradisi orang lain.

Budi bahasa yang baik sememangnya menyenangkan hati semua orang dan lebih baik disertakan dengan perbuatan yang yang baik. Bak kata pepatah Melayu, 'Orang berbudi kita berbahasa, Orang memberi kita merasa'.

Kesimpulan

Penggunaan bahasa dalam komunikasi seharian bukan kecil fungsinya. Penggunaan bahasa yang tepat dan benar memberikan makna mendalam dan struktur yang kukuh dalam menyampaikan sesuatu maksud.

Untuk bercakap mengenai kebenaran, tidak semestinya dalam nada yang keras dan kasar. Ia boleh disampaikan dengan nada yang lembut, tetapi tegas dan berprinsip.

Untuk berbeza pendapat juga tidak semestinya meninggi suara atau melukakan, tetapi harus dibalas dengan ilmu, fakta dan berbudi bahasa. Oleh itu, remaja harus berupaya membezakan antara yang baik dan buruk, serta tidak hanya terikut-ikut sesuatu perkataan atau perbuatan hanya dikatakan untuk mengikut peredaran zaman.

20 Januari 2010

Apresiasi daripada Baca@LRT

Terima kasih juga kepada Sinar Harian, Berita Harian, Era Pakatan, Radio 24, Ramlee Awang Murshid Fan Club, Kelab Seni Pengucapan Awam Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Bahasa Melayu Kuala Lumpur, Kelab Tidur dengan Buku, PTS Publication, tim Secret Story, Sindiket Sol-Jah dan Sol-Dadu dan Dewangga Sakti.

Edisi Penuh

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera

Tuan dan cik puan yang dimuliakan, saya doakan tuan dan cik puan beroleh rahmat, dikurniakan rezeki, diberikan kesihatan, disentuh rasa kegembiraan dan dipermudahkan urusan.

Tuan dan cik puan yang dihormati,

Ramai yang terkejut dengan keberanian dan kesungguhan tuan dan puan yang dimuliakan.

Itulah respon utama yang disampaikan selepas peristiwa 16 Januari lalu. Respon ini saya terima secara lisan dan emel.

Akhbar Era Pakatan dalam tempoh empat hari berita itu disiarkan masih kekal menunjukkan berita ini sebagai hit bacaan tertinggi.

Radio Bernama menyiarkan berita Baca@LRT sebanyak empat kali bermula jam 12 sehingga jam 6.15 petang.

Penggerak gerakan membaca sebelum ini juga hairan bagaimana Baca@LRT dapat melakukan sesuatu yang sukar mereka lakukan dalam tempoh tiga tahun lalu.

Carian informasi Baca@LRT meningkat kesan daripada sebaran maklumat daripada tuan dan cik puan.

Dari seratus menjadi seribu hasil carian. Pada jam 10.28 malam, hasil carian Baca@LRT adalah seperti berikut;

Results 1 - 10 of about 3,030 for "Baca@LRT" with Safesearch on. (0.38 seconds)

Tim Baca@LRT yakin semangat, kegilaan dan kesungguhan kita bersama-sama telah menggerakkan aktiviti pada Sabtu lalu membawa kepada perkembangan ini.

-------------------

Kita telah menghantar mesej yang jelas kepada ramai orang. Bahawa orang Malaysia membaca, maklumat bahawa kita hanya membaca dua buku setahun perlu diperluaskan melibatkan kajian di kedai buku dan penerbit. Kita mengubah persepsi ini secara total.

Pada hari kita berada di Kelana Jaya, ada individu-individu yang tidak mengetahui mengenai gerakan ini bersama-sama mengambil foto di stesyen itu kerana teruja terhadap kerja mulia yang kita sama-sama usahakan.

Mereka yang sudah menjadikan amalan membaca di LRT yang mengetahui usaha ini tersentuh dengan kehadiran tuan dan cik puan kerana ia memberitahu mereka satu perkara yang jelas bahawa mereka tidak berseorangan selama ini.

Anak-anak kecil yang datang bersama pada hari itu berasa seronok melihat kita kerana mereka dapat melakukan sesuatu bersama-sama orang yang lebih dewasa.

-------------------

Kami di tim Baca@LRT memanggil usaha ini sebagai gerakan. Yakni ini adalah usaha kita bersama-sama menjadikan membaca sebagai gaya hidup.

Sekiranya kita memanggilnya kempen, maka kita hanya akan menang dengan mendukung slogan.

Kita dapat melihat sendiri betapa tidak selesanya penumpang yang tidak membawa bahan bacaan di LRT.

Kami yakin, selepas ini, mereka yang mengalami pengalaman dikelilingi orang ramai yang membaca akan membawa bahan bacaan mereka selepas ini.

Mereka akan terbayang situasi pada 16 Januari lalu setiap kali mahu menaiki LRT.

-------------------

Baca@LRT percaya ia adalah gerakan beramai-ramai dan usaha secara individu yang akan berterusan.

Baca@LRT akan hidup dalam diri kita di mana sahaja kita berada tanpa mengira tarikh dan hari tertentu.

Tuhan memberi ganjaran atas usaha yang dilakukan. Apa jua hasilnya selepas ini, kita semua telah memberikan yang terbaik bagi membudayakan membaca sebagai gaya hidup.

Gerakan pada 16 Januari lalu adalah mesej jelas kepada masyarakat. Membaca di tempat terbuka bukan sesuatu yang ganjil. Ia adalah kebiasaan yang perlu ditonjolkan. Rasa kagum kita kepada budaya di negara Jepun kini sudah bertukar menjadi tindakan.

-------------------

Sebagai makluman, selepas program pada 16 Januari lalu, rakan-rakan kita secara sukarela mahu menggerakkan Baca@LRT melalui stesyen masing-masing.

Ini bermakna, situasi tsunami Baca@LRT pada bulan Febuari akan lebih natural dan real sifatnya.

Jumlah orang yang membaca dari satu stesyen ke satu stesyen akan bertambah sehingga ke stesyen akhir yang kita akan tentukan kelak.

Ini akan menjadi pengalaman menarik kita semua bagi melihat respon penumpang pada hari itu.

-------------------

Buat pengetahuan, Bahagian Penyelaras Komunikasi Gerakan Rakyat Baca@LRT kini mempunyai dua pecahan.

Pertama untuk sebaran maklumat bahasa Melayu dan kedua adalah untuk sebaran maklumat bahasa Inggeris.

Ia akan dikendalikan oleh sukarelawan dan rakan baru kita yang turut terlibat dalam gerakan membaca pada 16 Januari lalu.

Bahagian penyelaras komunikasi bahasa Melayu akan kekal bagi sebaran maklumat dan taklimat online melalui Facebook dari masa ke semasa.

Manakala penyelaras komunikasi bahasa Inggeris membantu kita menyampaikan perkembangan Baca@LRT kepada gerakan membaca di luar negara.

-------------------

Di sini saya secara peribadi mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir pada 16 Januari lalu.

Mudah-mudahan, tuhan permudahkan usaha kita pada bulan Febuari ini. Tarikh akan dimaklumkan, 15 hari sebelum gelombang kedua bersama taklimat secara online.

Terima kasih juga kepada Sinar Harian, Berita Harian, Era Pakatan, Radio 24, Ramlee Awang Murshid Fan Club, Kelab Seni Pengucapan Awam Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Bahasa Melayu Kuala Lumpur, Kelab Tidur dengan Buku, PTS Publication, tim Secret Story, Sindiket Sol-Jah dan Sol-Dadu dan Dewangga Sakti.

Terima kasih kepada para jurufoto professional yang hadir, mereka menjadi orang penting merakamkan peristiwa bersejarah di negara ini.

-------------------

Mari kita berangan-angan.

Pada suatu hari nanti, berkat usaha kita bersama-sama, logo Baca@LRT akan berada di kedai-kedai buku.

Akan kelihatan logo Baca@LRT di pintu masuk MPH, POPULAR, BORDERS dan setiap kedai majalah di setiap stesyen LRT.

Semuanya menyokong dan memberitahu orang ramai inilah kedai buku yang menyokong Baca@LRT, satu gerakan membaca terbesar yang kita lakukan bersama-sama.

Secara automatik perkataan Baca@LRT berulang-ulang di mana sahaja dan menjadi perkataan yang mendorong orang lain melakukannya.

Mari kita berangan-angan keadaan ini akan berlaku sebagaimana kita berangan-angan pada 16 Januari lalu. Kemudian ia akan menjadi benar.

Kita sebenarnya tidak mengikut sistem, tetapi mencipta sistem sendiri dalam masyarakat. Satu sistem hidup yang akan menjadi kebiasaan pada anak-anak dan generasi selepas ini.

Bertemu kita sekali lagi pada Febuari 2010. Insya Allah.

Tuan Zamri Mohamad

17 Januari 2010

KESPA sertai Baca@LRT

oleh: Muhammad Safwan Mohd. Noor Azmi



Pada 16 Januari 2010, Komuniti Facebook Baca@LRT telah mengadakan aktiviti membaca di dalam LRT. Program ini merupakan inisiatif kumpulan peminat-peminat buku, pembaca tegar dan penyokong kempen membaca dalam LRT. Dua orang wakil Kelab Seni Pengucapan Awam (KESPA) telah mengikuti program tersebut sebagai tanda memberi sokongan terhadap aktiviti membudayakan amalan membaca dalam kalangan masyarakat.


Catatan Perjalanan
Oleh kerana tiada taklimat diberikan sebelum program bermula, peserta dimaklumkan menerusi Facebook supaya menggunakan 'kata laluan: natural' untuk mengenali ahli-ahli baharu lain yang mempunyai tujuan yang sama. Program akan berlangsung sepanjang perjalanan dari Stesen LRT Terminal Gombak hingga ke Stesen LRT Kelana Jaya.

Pada pukul 10.00 pagi, peserta memasuki ke dalam LRT dan mula membaca. Perjalanan ke Kelana Jaya mengambil masa kira-kira 45 minit. Situasi yang berlaku dalam LRT tadi dipenuhi dengan peserta Baca@LRT dengan buku, majalah, kertas kerja, novel dan komik di tangan masing-masing.

Penyertaan Profesor Emeritus Abdullah Hassan bersama-sama isteri beliau, Puan Ainon Mohd., Pengerusi Kumpulan Syarikat-syarikat PTS, penulis dan perwakilan badan bukan kerajaan (BABUKA) memeriahkan lagi program tersebut.

Masyarakat yang melihat situasi tersebut didapati ada yang terkebil-kebil hingga timbul tanda tanya, rasa bersalah kerana tidak turut membaca dan tidak kurang juga yang memandang sinis. Walau bagaimanapun, usaha murni sebegini perlu diteruskan pada masa-masa akan datang. Hal ini bukan semata-mata menagih publisiti mahupun populariti sebaliknya bertujuan untuk mendidik masyarakat supaya menjadikan membaca sebagai budaya atau cara hidup walaupun di mana-mana sahaja.

Berikan sokongan dan dokongan saudara kepada Baca@LRT


Jangan lupa untuk menyertai Komuniti Facebook Baca@LRT. Aktiviti seterusnya dijangka pada bulan Februari pula. Mari meramaikannya.

Keratan akhbar
Akhbar Sinar Harian, 28 Disember 2009

Akhbar Berita Harian, 12 Jan 2010

Akhbar Era Pakatan, 16 Jan 2010

16 Januari 2010

Kontroversi Pemakaian Kalimat Allah: Suatu Pernyataan Keprihatinan

Oleh: Dato' Dr. Siddiq Fadzil

Selama berabad-abad negara Malaysia (dan sebelumnya Tanah Melayu) yang terbentuk daripada gabungan Negeri-Negeri Melayu (Malay States) ini dirujuk sebagai model negara berbilang kaum dan agama yang rukun, harmonis dan penuh tolerasi. Kejayaan mencipta kerukunan hidup antara agama adalah suatu prestasi ketamadunan dan kemanusiaan yang tidak ternilai. Faktor kunci kejayaan ini tidak lain adalah sikap ramah bangsa Melayu-Muslim yang menjadi golongan majoriti dan sekaligus “tuan rumah”. Keramahan luar biasa yang memang menjadi watak bangsa inilah yang memungkinkan penganut pelbagai agama (Kristian, Hindu, Buddha dan lain-lain) di negara ini menikmati kebebasan dan keselesaan mengamalkan agama masing-masing tanpa gangguan.


Selama ini kerukunan hidup sedemikian itu dapat dipertahankan kerana adanya sikap menghargai keramahan (Melayu-Muslim) tersebut, di samping adanya rasa hormat terhadap kedudukan istimewa agama Islam sebagai agama Persekutuan, juga kerana adanya kesedaran terhadap realiti kesejarahan dan kebudayaan negara ini. Memang dalam sejarahnya Negeri-Negeri Melayu adalah bahagian daripada warga rumpun besar Dar al-Islam. Kesedaran tentang hakikat-hakikat inilah yang melatari keharmonian hubungan antara kaum dan agama selama ini. Justeru, kesedaran tersebutlah yang membentuk sikap saling memahami dan menghormati batas dan sempadan daerah keagamaan masing-masing. Kaum bukan Muslim umumnya cukup memahami daerah sensitiviti masyarakat Melayu-Muslim, dan demikian pula sebaliknya. Kerana itu hal-hal yang berkaitan dengan kedudukan Melayu dan Islam biasanya tidak diusik atau diganggu.

Ketegangan di sekitar isu pemakaian kalimat Allah ketika ini adalah akibat kegagalan menghayati tradisi menjaga sensitiviti umat Melayu-Islam. Mereka yang berkeras mahu menggunakan kalimat Allah dalam konteks agama Katolik bukan tidak tahu tentang keberatan umat Islam terhadap tuntutan mereka. Sikap tersebut tidak lain adalah gejala hilangnya kepedulian terhadap perasaan dan pendirian orang lain. Seharusnya mereka berusaha untuk cuba memahami keberatan umat Melayu-Muslim terhadap pemakaian nama Allah dalam konteks agama selain Islam.

Bagi umat Islam, Allah adalah di atas segala-gala. Demikianlah hakikatnya, Allah selamanya merupakan ultimate concern bagi kaum Muslimin. Syahadat pertama keislaman mereka adalah kesaksian tentang hakikat ketiadaan tuhan selain Allah (Yang Maha Esa). Hanya Dia yang bernama Allah, nama yang dipilih sendiri oleh Allah khusus untuk diri-Nya, tidak siapa pun boleh memakainya selain Allah sendiri. Ia adalah al-Ism al-A`zam, Nama Agung bagi Dhat yang wajib al-wujud. Ia adalah nama yang merujuk Dhat yang meliputi seluruh sifat ketuhanan. Sebagai nama khusus-Nya, ia berbeza daripada nama-nama-Nya yang lain seperti al-Qadir, al-`Alim, al-Rahim yang boleh dipakai oleh yang lain-lain. Kerana kekhususannya itu jugalah nama-nama-Nya yang lain itu dinisbahkan kepada nama Allah lalu disebut asma’u ‘Llah (nama-nama Allah). Al-Sabur, al-Shakur, al-Qadir misalnya disebut sebagai nama-nama Allah, tetapi tidak boleh disebut sebaliknya, Allah adalah nama al-Shakur atau al-Sabur. Demikianlah hakikat kalimat Allah sebagai nama khas (`alam) yang tidak dipakai untuk selain-Nya.

Allah bukan nama am yang siapa sahaja boleh memakainya, dan bukan juga kata umum tanpa makna dan definisi tertentu sehingga siapa sahaja boleh memaknainya. Andainya kalimat Allah dimaknai lain daripada makna dan definisi hakikinya, jelas akan menimbulkan kekacauan semantik yang serius. Bagi umat Melayu-Muslim sejak mula kalimat Allah sudah sedia terpadu dengan definisi yang mantap dan muktamad, definisi yang diungkapkan oleh Allah sendiri dalam surah al-Ikhlas, “Katakanlah: Dia-lah Allah, Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan. Dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia.”. Penurunan surah tersebut dilatari peristiwa kedatangan sekumpulan orang Yahudi meminta Nabi s.`a.w. memberikan pemerian tentang Tuhannya. Kerana itu surah ini bermula dengan kata Qul (Katakan) yang kemudian diikuti dengan ayat-ayat yang mengandungi rumusan definisi tentang Allah. Ternyata Allah adalah nama yang menyebatikan makna tauhidik, nama yang menolak syirik, dan sekaligus nama yang menafikan faham trinity (Tidak beranak dan tidak diperanakkan). Kerana itu surah ini disebut juga dengan nama Suratu ‘t-Tawhid. Memang ia adalah surah yang merumuskan faham tauhid yang semurni dan semutlaknya. Ayat-ayat dalam surah ini juga dengan jelas mengungkapkan makna bahawa Allah adalah “...a Personality”, bukan sekadar suatu konsep falsafi yang abstrak.

Surah al-Ikhlas adalah antara sekian banyak surah dan ayat al-Qur’an yang membawa mesej conceptual correction terhadap pemakaian nama Allah di kalangan masyarakat pra-Islam termasuk sebahagian suku-suku Arab jahiliah dan kaum Nasrani. Mereka memakai nama Allah dalam konteks faham syirik, termasuk faham al-tathlith atau trinity. Ayat-ayat korektif tersebut rata-rata membawakan makna dan nada ketidakrelaan Allah terhadap pemakaian nama-Nya dalam konteks yang menyimpang daripada prinsip kemurnian dan kemutlakan tauhid. Demikianlah kalimat dan nama Allah yang difahami oleh umat Melayu-Muslim umumnya, lalu bagaimana mungkin mereka yang saban hari membaca dan menghayati surah al-Tawhid akan dengan senang merelakan Nama Suci dan Agung ini dipakai dalam konteks faham syirik.
Sikap berkeras mahu menggunakan juga kalimat Allah (sekalipun dengan mengguris perasaan sebahagian besar umat Melayu-Muslim) menimbulkan tanda tanya, ada apa sebenarnya? Selama ini, sejak ratusan tahun, tanpa memakai nama Allah, para penganut Katolitik telah dapat mengamalkan agama mereka dengan leluasa. Ajaran Katolik dapat difahami oleh para penganutnya, malah telah dikembangkan tanpa masalah. Lalu kenapa sekarang isu ini dibangkitkan dan diperjuangkan dengan cara yang begitu provokatif. Mereka bukan tidak tahu betapa sensitif dan eksplosifnya isu ini. Mereka juga bukan tidak tahu bahawa isu ini menyentuh jantung ajaran agama Islam.

Rasanya wajar sekali kita merenung kata-kata Gopal Raj Kumar yang kami petik di bawah ini:
What Catholics appear to be seeking here is an extension to that form of racism that whatever non Malays and non Muslims wish to do in the name of religion has to be tolerated in the name of a half written constitution. Whilst at the same time arguing against everything that the Malays as a majority in a democracy do as wrong and racist.


Catholics must learn to reciprocate in kind to a people in whose country they have been treated with much reverence, dignity and respect over centuries. Malaysia although fundamentally a Muslim state has, advocated for and advanced Catholic (and other religious causes and purposes) without the let or hindrance of religious intolerance like that imposed on them by the Thais, Burmese, Philippines, Australians, Chinese and more recently the Swiss.


Much of the reason we are able to debate such issues and to read and write about it today it is often argued is the result of a good Catholic education. Wrong! It is equally the result of Malay Muslim generosity in allowing the propagation of the faith, its schools and other institutions to thrive and its tolerance of their values.


It is a pity that in return all that the Catholic church has to offer is an insult to the Malays and Malay Muslims in persuing such a worthless policy of provocation.


In a demonstration of its faith in its own credo of Good Christian Charity and goodwill, the Catholic Church ought to withdraw the ridiculous and provocative demand now legitimised by a flawed decision. It should demonstrate that it ought not to be allowed the sinister use of one Arabic word Allah which is clearly a thorn in the side of its Malay majority hosts.


The church may do so without any embarrassment to itself. On the contrary with one fell act of goodness and respect it would build a bridge of understanding likely to last forever as a monument to its credo, rather than for the blemishes in its record of insults, abuse, its betrayal to the colonials and the undermining of the cultural and religious sensitivities and heritage of Malaysia’s majority
Sumber: takemon

Isu ini seharusnya diselesaikan secepat dan sebijaksana mungkin. Semakin lama dipolemikkan, akan semakin panjang rentetan persoalannya. Sikap berkeras mahukan sesuatu yang jelas-jelas tidak dapat diberikan akan menimbulkan dugaan adanya agenda terselubung di balik tuntutan tersebut. Ia akan ditafsirkan sebagai strategi “lulus jarum, lulus kelindan”, selepas kalimat Allah akan banyak lagi istilah-istilah Islam yang dikatolikkan seperti kalimat syahadat, solat, zakat, haji dan lain-lain lagi. Isu ini akan memarakkan spekulasi bahawa ia adalah bahagian daripada agenda besar mendistorsikan Islam dengan memakai istilah-istilah Islam yang dirubah erti dan isinya. Masyarakat Islam akhirnya akan mengalami kekeliruan yang serius dan tidak lagi mengenal Islam yang murni. Lebih jauh lagi isu ini akan membangkitkan semula kenangan pedih masa lalu, zaman awal kedatangan penjajah Barat yang membawa agenda pengkristianan rakyat pribumi Melayu. Arkitek penjajahan Inggeris di rantau ini, S. Raffles tidak datang hanya untuk mengaut kekayaan, tetapi juga datang dengan misi dan cita-cita pengembangan Bible Society. Kegiatan menyebarkan agama Kristian di kalangan pribumi Melayu itu dilakukan atas nama “...cultivating the waste and barren soil of the native mind”. Usaha mengkristiankan orang Melayu telah dilakukan dengan bersungguh-sungguh, termasuk dengan menterjemahkan Bible ke dalam bahasa Melayu. Untuk itu mereka telah mendapatkan khidmat Abdullah Munsyi. Bagaimanapun orang Melayu berpegang kuat dengan Islam. Abdullah Munsyi yang terlibat dalam penterjemahan Bible mendapat gelar ejekan “Abdullah Paderi”.

Catatan tersebut seharusnya sudah menjadi “perkara masa lalu” yang sudah tidak relevan lagi dalam konteks semangat masa kini, era membina kesatuan dalam kepelbagaian. Provokasi-provokasi keagamaan sehausnya dihindari, dan tuntutan yang menjadi keberatan umat Melayu Islam ini harus dihentikan. Apa pun yang berlaku pada pemakaian kalimat Allah di luar Malaysia tidak semestinya relevan dengan masyarakat kita. Isu ini harus dilihat secara kontekstual. Realiti sejarah dan budaya Malaysia memang tidak memungkinkan pemakaian kalimat Allah di luar konteks keislaman. Fiqh kita mengambilkira `uruf ahl al-balad (budaya warga setempat). Antara yang harus menjadi pertimbangan utama dalam isu ini ialah mafsadah atau kesan buruknya yang perlu dihindari.

11 Januari 2010

Kaitan antara orang Melayu, bahasa Melayu dan Islam di Malaysia

Oleh: Muhammad Safwan bin Mohd. Noor Azmi
wanza348@gmail.com

Bilamana mahkamah tinggi memutuskan penggunaan kalimah Allah diberi kebenaran kepada penerbitan akhbar mingguan Herald, pelbagai persepsi dan pandangan timbul dalam kalangan masyarakat baik yang menyokong mahupun membantah. Isu pokoknya ialah sama ada boleh atau tidak perkataan Allah digunakan oleh masyarakat bukan Islam di negara ini.

Sebelum kita memahami isu ini dengan lebih lanjut, pembaca perlu mengenalpasti terlebih dahulu kandungan yang terdapat dalam Perkara 152. Artikel ini memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Kemudiannya, ia telah diwartakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 1 September 1967. Selain itu juga, dinyatakan secara jelas bahawa tulisan jawi merupakan sebahagian daripada bahasa Melayu selain tulisan rumi atau Roman.

Walau bagaimanapun, kesepakatan daripada Angkatan Sasterawan ’50 (Asas ‘50) semasa Kongres Bahasa ke-3 pada tahun 1956 telah membuat keputusan untuk menghapuskan tulisan jawi dan diganti dengan rumi demi mengangkat darjat bahasa Melayu ke tahap yang lebih tinggi. Secara idealisnya, bahasa Melayu dan bahasa Indonesia dapat bersama-masa menjadi lingua franca di wilayah nusantara.

Hal ini telah menyebabkan Tan Sri Mohamed Khir Johari, Menteri Pelajaran pada ketika itu, melakukan reformasi dalam pendidikan negara apabila menghapuskan tulisan jawi sebagai tulisan utama dan tulisan pengantar kepada Bahasa Melayu.

Implikasinya, sebilangan generasi hari ini didapati kurang mahir dalam tulisan jawi dan tidak tahu membaca Al-Quran. Selain itu, penerbitan Utusan Melayu dalam tulisan jawi menjadi semakin tidak popular dengan penerbitan sekali sahaja dalam seminggu sebagai menjaga hati generasi lama dan peminat tulisan jawi.

Jikalau kita merujuk sejarah lampau, kekuatan Melayu bergantung kepada 3 faktor utama, iaitu Islam, bahasa Melayu dan amalan adat-istiadat secara warisan. Sekalipun kita pernah dijajah sekian lama, iaitu kira-kira 446 tahun, namun ketiga-tiga faktor tersebut masih kekal utuh sehingga hari ini.

Persoalannya, bagaimanakah proses tersebut berlaku?

BAHASA MELAYU
Penyerapan diksi daripada Arab/Islam yang begitu banyak sekali dalam bahasa Melayu telah menyebabkan berlakunya proses islamisasi terhadap bahasa Melayu secara tidak langsung. Contohnya, perkataan seperti alim, abah, kerusi, sahsiah, kamus, subuh, maklumat, iklan dan lain-lain lagi yang seumpama dengannya. Hal ini telah menyebabkan penggunaan bahasa Melayu berlaku secara meluas dalam pelbagai lapangan dan seterusnya membentuk akal budi, jati diri, pandangan alam dan keperibadian orang Melayu secara keseluruhannya.

Akibat daripada proses ini, perkembangan Islam di Nusantara pada abad ke-15 berlaku dengan pesat dan mudah diterima oleh seluruh masyarakat Melayu baik dari keturunan raja-raja sehinggalah golongan masyarakat marhaen. Kemajuan yang dicapai melalui perkembangan ilmu dan teknologi menerusi bahasa Melayu menjadikan Melaka sebagai sebuah pelabuhan terkenal seantero dunia pada ketika itu.

Namun begitu, perasaan kecewa dan terkilan timbul bilamana terdapat para pemimpin negara yang cuba menafikan kehebatan bahasa Melayu dengan beranggapan bahawa bahasa Melayu cuma bersifat tempatan dan tidak maju dengan mengemukakan hujah-hujah yang tidak berasas!

Lebih mendukacitakan lagi, ada pula yang cuba berlagak pandai dengan mengubah bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia demi keharmonian dan perpaduan negara. Walhal, bahasa Portugis yang digunakan di Brazil tidak pula ditukar menjadi bahasa Brazil atau bahasa Sepanyol di Argentina ditukar ganti menjadi bahasa Argentina!

Sebenarnya, penggunaan istilah ‘bahasa Malaysia’ sebagai galang ganti kepada bahasa Melayu tidak akan membentuk keharmonian dan perpaduan di dalam negara kita yang memiliki kepelbagaian agama, bangsa, ras, etnik, adat dan budaya. Sebaliknya, kecenderungan berlakunya salah faham dan kecelaruan dalam masyarakat menjadi semakin tinggi.

Penggunaan istilah ‘bahasa Malaysia’ didapati seolah-olah kita membenarkan penyerapan semantik dan nilai-nilai yang terdapat dalam bahasa-bahasa yang lain seperti Mandarin, Tamil, Inggeris, Kadazan, Iban, orang Asli dan sebagainya. Proses ini dikhuatiri menjadi penyebab berlakunya de-islamisasi secara halus dan tersembunyi sebagaimana yang berlaku di Indonesia kini.

ISU KALIMAH ALLAH
Isu hangat berkenaan penggunaan kalimah Allah oleh akhbar mingguan Herald menimbulkan kemarahan dalam kalangan orang Islam kerana semantiknya bakal menimbulkan kecelaruan dan salah faham dalam masyarakat Malaysia.

Tidak salah sekiranya kalimah Allah digunakan untuk membandingkan antara agama Islam dengan agama dan kepercayaan yang lain. Namun begitu, jika kalimah Allah digunakan sebagai penyampaian dakwah oleh bukan Islam, ia boleh menimbulkan ketegangan dan perseteruan antara agama tanpa dapat dikawal lagi.

Dalam Islam, konsep Allah itu sangat berbeza daripada pemahaman bukan Islam sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah Al-Ikhlas. Begitu juga sekiranya pembaca merujuk Kamus Dewan edisi ke-4, makna Allah ialah Yang Esa (tunggal). Bukan triniti, God the Father, God the Son mahupun the Holy Ghost.

Malahan, perkara ini turut bertentangan dengan pendirian Vatican yang menolak penggunaan kalimah Allah untuk merujuk sebagai tuhan mereka. Jadi, apakah alasan sebenar akhbar mingguan Herald dalam hal ini?

Selain daripada itu, sikap sebilangan ahli politik Melayu-Islam (UMNO, PAS dan PKR) yang mendiamkan diri daripada mengemukakan sokongan terhadap bantahan penggunaan kalimah Allah oleh Herald amatlah dikesali. Demi menagih undi, isu agama sanggup diperjudikan sebagai modal politik dan kepentingan masing-masing tanpa memikirkan nasib untung orang Melayu-Islam di kemudian hari.

Saya berpandangan bahawa isu ini bukan hanya melibatkan isu agama semata-mata sebaliknya turut melibatkan isu bahasa Melayu dan perpaduan negara. Tanggapan salah masyarakat hari ini terhadap isu tulisan jawi yang hanya diajar (kalau ada) dalam mata pelajaran Pendidikan Islam sahaja adalah salah kerana tulisan jawi merupakan sebahagian daripada bahasa Melayu. Maka, kewajaran tulisan jawi untuk diperjuangkan semula supaya dimuatkan bersama dalam sukatan mata pelajaran bahasa Melayu mempunyai asasnya. Dasar-dasar seperti PPSMI, pemansuhan tulisan jawi dan istilah bahasa Malaysia perlu ditolak bulat-bulat kerana bertentangan dengan Perkara 152.

Oleh yang demikian, saya menyeru agar semua pihak akur dengan kontrak sosial dan perkara-perkara yang terkandung dalam Perlembagaan tanpa sebarang pertikaian. Selain itu, Rukun Negara yang menjadi tiang seri dalam membina negara bangsa perlu dihayati tanpa rasa berbelah bahagi demi merealisasikan 1 Malaysia.

Beliau merupakan Exco Pendidikan dan Penyelidikan, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia dan Exco Keilmuan dan Keintelektualan, Kelab Seni Pengucapan Awam, IPGM Kampus Bahasa Melayu Malaysia.

08 Januari 2010

Mengapa Orang Bukan Islam Tidak Berhak Menggunakan Nama Allah: Tanggapan Terhadap Golongan Yang Membenarkan

oleh: Khalif Muammar

Kedudukan Masalah
Setelah isu ini dibahas hampir dua tahun masih ramai lagi yang keliru tentang penggunaan nama Allah oleh orang bukan Islam. Antara sebabnya ialah wujudnya pandangan yang diberikan oleh beberapa cendekiawan yang digelar ulama' yang mengatakan bahawa terdapat dalil dalam al-Qur'an yang membenarkan hal tersebut. Dan tiadanya dalil yang menyokong larangan penggunaan oleh bukan Islam. Penulis telah berkesempatan untuk mengikuti isu ini dan memberi tanggapan sejak dari awal lagi dan menghasilkan 3 artikel sebelum ini yang boleh dicapai dalam khairaummah.com. Dalam makalah terakhir ini penulis cuba menjawab keraguan-keraguan yang ditimbulkan dan memberikan hujah-hujah yang muktamad agar kecelaruan tidak berterusan dan kepentingan umat Islam dapat dipertahankan. Dengan penjelasan yang terbaik yang penulis dapat paparkan ini mudah-mudahan terbuka hati bertambah yakin orang-orang yang inginkan kebenaran berdasarkan hujjah dan biarkanlah tertutup orang-orang yang tidak mahu menerima kebenaran walaupun datang dengan hujjah.


Sebelum pergi jauh perlu difahami terlebih dahulu maksud persoalan di atas. Ia bukan persoalan tentang siapakah Tuhan orang bukan Islam, kerana jelas bagi kita Tuhan bagi semua umat manusia hanya satu iaitu Allah. Ia juga bukan berkaitan dengan orang Arab bukan Islam di negara-negara Arab kerana persoalan ini muncul dalam konteks Malaysia, dan hanya relevan dengan negara-negara bukan Arab. Maka maksud persoalan di atas adalah merujuk kepada orang bukan Islam di Malaysia bukan di negara-negara Arab. Perbezaan konteks ini sangat penting kerana ia juga bermakna perbezaan bahasa yang digunakan oleh bangsa yang berlainan. Orang bukan Islam di Malaysia tentunya bukan orang Arab. Dari sini sahaja dapat disimpulkan bahawa penggunaan nama Allah bagi orang bukan Islam di Malaysia tidak relevan kerana mereka tidak pernah menggunakannya bahkan tidak mengerti pun maksudnya. Orang bukan Islam di Malaysia tidak mengenal bahasa Arab, maka perkataan Allah adalah perkataan yang asing dalam kehidupan mereka.

Perlu juga ditegaskan dengan kalimat 'menggunakan' di atas yang dimaksudkan adalah menamakan atau menggunakan nama Tuhan orang Islam bagi merujuk Tuhan mereka. Di sini dapat disimpulkan faham pluralisme agama yang terkandung dalam usaha ini. Dari pada perkataan 'menggunakan' di atas maka tidak timbul isu sekadar penyebutan nama Allah oleh bukan Islam dengan maksud merujuk kepada Allah sebenar. Tidak sepatutnya timbul pernyataan apa salahnya orang bukan Islam menyebut nama Allah kalau yang dimaksudkan itu benar. Mereka boleh sahaja menyebut, membaca, nama Allah yang menjadi persoalan di sini adalah penggunaan istilah yang sama / pemberian nama yang sama bagi Tuhan yang berlainan.

Jika persoalan telah jelas difahami dengan betul maka jawaban terhadap persoalan juga diharapkan akan lebih terfokus. Untuk memudahkan lagi orang awam boleh juga dipertanyakan dalam bentuk yang sedikit berbeza iaitu bolehkah orang bukan Islam menamakan Tuhan mereka Allah?

Terdapat kecenderungan di kalangan umat Islam, tidak terkecuali ulama'nya, untuk menyederhanakan persoalan rumit dan besar ini. Bagi sesetengah orang ini hanyalah persoalan perebutan nama. Atau ia hanyalah berkaitan dengan sebutan, luaran yang tidak perlu dihubungkaitkan dengan persoalan Akidah dan keyakinan umat Islam. Menurut Prof. Wan Mohd Nor, walaupun kelihatan masalah nama dan bahasa ini sederhana tetapi melalui bahasalah pandangan alam (worldview) terbentuk. Perubahan pada bahasa dengan merubah maknanya akan memberi kesan yang besar kepada perubahan pandangan alam dan seterusnya keyakinan dan amal ibadah orang Islam.

Tentang Orang Arab Bukan Islam Yang Menggunakan Nama Allah
Untuk menjawab persoalan ini pertama sekali perlu dijelaskan bahawa konteks masyarakat Melayu dengan masyarakat Arab berbeza. Perkataan Allah adalah perkataan Arab yang telah wujud sebelum kedatangan Islam oleh nabi Muhammad saw. Orang bukan Islam yang datang ke negeri Arab, baik Yahudi mahupun Nasrani, telah menggunakan kalimat Allah untuk merujuk kepada Tuhan mereka selama lebih 1400 tahun yang lalu kerana bahasa Arablah bahasa yang mereka gunakan. Jika orang bukan Islam dalam masyarakat Arab hari ini masih menggunakan nama Allah maka hal ini wajar dalam konteks tersebut, kerana mereka tidak mengalami Islamisasi dan sehingga ke hari ini masih mengguanakan bahasa Arab. Dalam konteks Malaysia yang bahasanya bukan bahasa Arab, dan orang bukan Islam yang bukan orang Arab, maka penggunaan nama Allah oleh mereka adalah sesuatu yang janggal. Sesuatu yang dipaksakan, yang sengaja ditimbulkan untuk tujuan-tujuan yang tidak baik. Oleh itu jika di negara-negara Arab hal ini dibenarkan, melihat kepada fakta sejarahnya, ia tidak boleh dijadikan ukuran untuk membenarkan hal yang serupa berlaku di Malaysia dan di negara-negara bukan Arab.

Sesetengah orang Islam yang keliru dalam menanggapi isu ini berhujah bahawa dalam al-Qur’an ada disebutkan bahawa orang Yahudi mendakwa ‘Uzair itu anak Allah’, dan orang Nasrani mendakwa bahawa ‘al-Masih itu anak Allah’ (lihat surah al-Tawbah: 30). Sebenarnya jika diperhatikan dengan teliti dan dengan mengambil kira perbezaan bahasa, yang mereka katakan sebenarnya tidaklah betul-betul sama seperti itu, kerana dalam bahasa mereka, iaitu bahasa Ibrani, perkataan yang mereka gunakan sebenarnya adalah Uzair itu anak Tuhan (Yahweh/ Elohim), dan al-Masih itu anak Tuhan (Yahweh/ Elohim), tidak ada perkataan Allah dalam bahasa mereka. Al-Qur’an sebenarnya menterjemahkan kata-kata mereka yang tentunya bukan dalam bahasa Arab tetapi dalam bahasa mereka sendiri, iaitu Ibrani, untuk difahami oleh orang Arab atau orang Islam. Oleh kerananya perkataan yang digunakan adalah Allah kerana Allah dari segi bahasa adalah Tuhan. Penggunaan dalil seperti ini oleh golongan ini menunjukkan sikap yang sembrono dan kurangnya kehati-hatian.

Sememangnya Allah adalah Tuhan semua nabi dan rasul. Tetapi Allah bukanlah Tuhan yang disembah oleh orang Yahudi dan Nasrani. Dengan penyelewengan yang berlaku dalam agama tersebut mereka tidak lagi beriman kepada Allah. Jadi mereka tidak boleh mendakwa diri mereka beriman kepada Allah. Maka dari itu sesuatu yang melambangkan ketidakcerdasan dan kenaifan apabila ada sesetengah orang berkomentar dalam isu ini “al-hamudillah, akhirnya orang bukan Islam percaya Allah itu Tuhan mereka”. Di sinilah pentingnya kita memahami iman, Islam dan Din dengan mendalam. Sebagaimana ditegaskan oleh al-Attas, iman dan Islam tidak hanya cukup dengan dakwaan percaya kepada Allah tetapi mestilah tunduk dan patuh dengan sebenar-benarnya (real submission and true obedience) kepada perintah dan suruhan Allah dengan mengikuti Rasulullah saw (al-Attas, Prolegomena: 54-56).

Untuk memahami dengan baik ayat-ayat al-Qur’an berkaitan nama Allah, perlu difahami terlebih dahulu bahawa dalam al-Qur’an ada dua bentuk penggunaan perkataan Allah, pertama yang umum merujuk kepada maknanya dari segi bahasa; kedua yang khusus merujuk kepada penggunaannya secara teknikal (istilahi). Hal ini tidak ekslusif pada kalimah Allah sahaja tetapi juga kalimah-kalimah lain seperti solat, bahkan kufur juga. Penggunaan yang umum biasanya merujuk kepada masyarakat bukan Islam. Sedangkan penggunaan yang khusus merujuk kepada pemahaman masyarakat Islam yang telah dibentuk akidah mereka. Penggunaan yang khusus lebih banyak daripada penggunaan yang umum, ini selaras dengan banyaknya ayat-ayat yang turun merujuk kepada tahap intensif Islamisasi. Tahap Islamisasi yang intensif sebenarnya berlaku di Makkah lagi apabila konsep-konsep mendasar dan penting dijelaskan dengan panjang lebar. Dalam konteks inilah ayat-ayat seperti dalam surah al-Ikhlas, al-Kafirun, ayat Kursi dll. diturunkan agar konsepsi yang jelas tentang Tuhan dapat difahami dan dihayati oleh kaum Muslimin.

Umat Islam yang telah mengalami proses Islamisasi, baik di Arab mahupun di alam Melayu, mempunyai konsepsi yang jelas tentang Allah. Konsepsi yang jelas ini adalah kesan proses Islamisasi selama lebih 1400 tahun di Arab dan lebih kurang 1000 tahun di alam Melayu. Islamisasi berlaku apabila nama-nama atau istilah-istilah yang telah wujud sebelum Islam diberikan makna baru. Proses Islamisasi ini telah menjadi garis pemisah antara Islam dengan kufur. Dalam konteks nama Allah ini Islamisasi telah memisahkan Allah dengan tuhan-tuhan yang lain. Walaupun ia adalah sebuah nama bagi Tuhan, tetapi ia bukan sembarangan nama kerana maknanya sarat dengan perbezaan teologi yang mendasar dengan nama-nama tuhan yang lain. Adalah sesuatu yang malang jika umat Islam membenarkan orang bukan Islam, sedangkan ia berkuasa untuk melarangnya, konsepsi tentang Allah ini menjadi dangkal kembali. Jika ini berlaku bermakna umat Islam hari ini telah membenarkan berlakunya deislamisasi. Suatu langkah mundur 1000 tahun ke belakang. Kalimah la ilaha illa Allah yang bermaksud tiada tuhan melainkan Allah, dengan pendangkalan makna di atas maka kalimat tauhid ini akan bermaksud tiada tuhan melainkan Tuhan, walaupun bukan ini yang dikehendaki dalam Islam dan oleh para ulama’nya tetapi inilah maksud yang sah pada mata umum. Dengan demikian kalimah Tawhid yang seharusnya mempunyai kesan dan implikasi yang besar dalam kehidupan seorang Muslim akan menjadi bertindih, wujud percanggahan (incoherence) dan tidak memberi makna yang signifikan.

Masyarakat Jahiliyyah yang Menyebut Allah.
Golongan literal dan tekstualistik ini juga menyandarkan hujah mereka kepada ayat al-Qur’an Surah al-Zumar: 38 yang bermaksud:
Dan Demi sesungguhnya! jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah Yang mencipta langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah".
Memang pada zahirnya ayat tersebut menyatakan bahawa orang Quraish jahiliyyah pada hakikatnya percaya bahawa Allah adalah Tuhan mereka. Namun sebagaimana disebutkan di atas yang dimaksudkan dengan kalimah Allah di atas bukan kata khusus tetapi kata umum. Faktanya, kalimah Allah telah digunakan oleh masyarakat Jahiliyyah sejak sebelum Islam, maka tidak mungkin al-Qur’an menggunakan perkataan lain bagi merujuk kepada Tuhan. Jadi ketika ia menceritakan apa yang dipercayai oleh orang bukan Islam maka al-Qur’an mengatakan bahawa mereka percaya akan wujudnya Tuhan, bahawa Tuhan lah yang menciptakan segalanya. Ini kerana secara alamiahnya konsep Tuhan telah ada dalam diri manusia sejak mereka dilahirkan di dunia. Tawhid datang melalui para Rasul untuk mengajarkan umat manusia siapa Tuhan itu sebenarnya. Dengan risalah Tawhid ini manusia dibebaskan daripada kepercayaan politeisme, dinamisme dan animisme. Kedatangan nabi Muhammad saw walaupun sebagai kesinambungan dari nabi-nabi sebelumnya tetapi juga untuk meluruskan penyimpangan akidah dalam agama Yahudi dan Nasrani. Jadi penggunaan nama Allah oleh masyarakat Jahiliyyah adalah penggunaan yang umum yang hanya bermaksud Tuhan kerana demikianlah erti Allah dari segi bahasa. Tetapi setelah kedatangan Islam penggunaan umum ini tidak relevan bagi masyarakat Islam dan masyarakat bukan Islam yang bukan Arab pada hari ini. Maka ayat di atas sebenarnya tidak sama sekali membenarkan orang bukan Islam di negara ini menggunakan nama Allah untuk Tuhan mereka. Kerana Arab jahiliyyah telah memiliki kalimah Allah ini sebelum Islam datang sedangkan orang bukan Islam di negara ini, dan di negara selain Arab, tidak mengenal kalimah ini. Kesimpulannya adalah satu pembohongan apabila ada yang mengatakan bahawa terdapat dalil yang membenarkan orang bukan Islam menggunakan nama Allah.

Bahaya Pendekatan Literal dan Tekstualistik
Terdapat kekeliruan yang besar apabila sebahagian ilmuwan dan orang awam cenderung mempertanyakan dalil atau nas bagi setiap persoalan yang timbul. Kelompok literal dan rigid ini ketika melihat ada sebahagian ayat al-Qur’an yang secara literalnya seolah-olah membenarkan penggunaan nama Allah oleh bukan Islam maka secara terburu-buru tanpa meneliti dengan mendalam maksud ayat-ayat tersebut dan perbezaan konteksnya lalu terus mengambil kesimpulan bahawa orang bukan Islam boleh menggunakan nama Allah.

Perlu dijelaskan bahawa tidak semua persoalan perlu ditanyakan apakah dalilnya, jika ada nas maka barulah sesuatu dapat diperkatakan jika tidak maka ia hanyalah pandangan yang relatif, boleh ditolak atau diterima. Hakikatnya selain nas, ada ilmu yang diwariskan oleh para ulama. Inilah yang dimaksudkan bahawa ulama itu pewaris nabi. Bahawa mereka itu mewariskan ilmu yang diperolehi oleh nabi (hadith). Kelebihan ilmu ini jugalah yang membezan si jahil dengan orang alim. Orang jahil boleh sahaja berhujah dengan ayat dan hadith tetapi dia tidak tahu pasti bagaimana ayat dan hadith itu difahami dan digunakan.

Kita tahu bahawa ayat-ayat al-Qur’an terhad dan permasalahan yang timbul sentiasa bertambah. Seorang mujtahid, ulama atau pemikir, perlu dapat memberikan jawapan bagi setiap persoalan berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an dan hadith yang terhad itu. Di sinilah letaknya kedinamikan Shari’ah, sehingga ia sesuai diterapkan sepanjang masa. Mereka harus dapat merumuskan prinsip-prinsip baik tersurat mahupun tersirat daripada al-Qur’an dan Sunnah. Berdasarkan prinsip-prinsip inilah mereka cuba menyelesaikan permasalahan-permasalahan yang timbul. Oleh itu kemampuan yang perlu ada pada seorang mujtahid bukanlah mengeluarkan ayat-ayat atau hadith dalam menanggapi sesuatu persoalan tetapi kebijaksanaan yang terbit dari kefahamannya yang mendalam terhadap al-Qur’an dan Sunnah serta karya-karya ulama terdahulu (al-Turath).

Malangnya hari ini yang berpandukan kepada kewujudan dalil bukan hanya orang awam tetapi mereka yang mendabik diri mereka ulama. Mereka mencari dalil, walhal ini adalah persoalan baru yang memerlukan pemikiran yang mendalam. Sepatutnya yang ditanyakan bukan apakah dalilnya tetapi apakah hujahnya? Ketika suatu persoalan itu tidak ada dalil yang qat’i mengenainya tidak bermakna kita tidak memiliki hak untuk memberikan kata putus dalam hal tersebut. Oleh kerana itu dalam persoalan nama Allah ini ulama fiqh bukan pakarnya. Mereka terbiasa dengan pencarian dalil dalam mengistinbatkan hukum. Ini persoalan usuluddin atau ilmu tawhid. Seseorang yang ingin membahas isu ini perlu menguasai teologi, ilmu kalam, epistemologi Islam, falsafah Islam dan metafizik Islam. Persoalannya bukan apakah hukumnya halal atau haram tetapi lebih penting dari itu apakah kesannya terhadap akidah seorang Muslim? Walaupun sepatutnya mujtahid menguasai kedua bidang ini, Shari’ah dan Usuluddin dengan baik, namun realitinya pada hari ini jarang hal itu berlaku.

Kepentingan Ilmu Kebijaksanaan
Menyedari kerumitan masalah ini dan skopnya yang melampaui hukum-hakam, maka ilmuwan Fiqh bukanlah orang yang patut menjadi rujukan dalam persoalan ini. Kecenderungan hari ini menampakkan bahawa ulama fiqh dapat menjawab segala persoalan. Ataupun semua persoalan adalah persoalan fiqh. Hakikatnya tidak semua persoalan dapat dikategorikan sebagai hukum hakam dan bukan semua persoalan dapat dipecahkan dengan kaedah fiqh. Persoalan nama Allah ini menunjukkan bahawa ada perkara-perkara yang memerlukan kepada kekuatan hujah yang memerlukan perenungan, kefahaman yang mendalam dan kebijaksanaan yang tinggi dan bukan hanya pencarian dalil dan pemahaman yang literal.

Tampak jelas bahawa terdapat kecenderungan yang meluas ketika ini sikap literal dan tekstualistik dalam memahami Islam. Golongan ini kononnya mengikuti hanya al-Qur’an dan al-Sunnah dan tidak merasa perlu untuk mengikuti pandangan para ulama. Golongan pseudo-salafi ini mengatakan jika tiada nas atau dalil maka apapun yang diutarakan hanyalah pandangan yang relatif kerana ia berdasarkan kepada akal fikiran manusia yang boleh ditolak dan boleh diterima. Sebenarnya dalam banyak hal kita perlu menggunakan kebijaksanaan kita dan bukan bersikap literal dan tekstualistik. Tidak semua perkara perlu dikemukakan soalan apakah ada dalil atau nas tentang hal itu? Jika tiada maka kita tidak berhak mengatakan ianya tidak boleh. Kalau ada dalil, yang secara zahirnya membenarkan, tanpa perlu melihat maksud dan konteksnya maka keputusan terus diambil tanpa berfikir panjang. Tidak wajar ditanyakan contohnya apakah dalilnya pluralisme agama haram, liberalisme, feminisme dsb? Sikap literal dan tekstualistik ini menyebabkan sebahagian orang bersikap ekstrim dan rigid (kaku) contohnya segolongan mengongkong isteri mereka dari keluar rumah, dengan alasan adanya nas al-Qur’an yang memerintahkan seperti itu. Ada yang berpandangan bahawa kerana ilmu itu milik Allah, sebagaimana ditegaskan dalam al-Qur’an, maka cetak rompak dan plagiarisme dibenarkan. Bahkan golongan ekstrimis yang banyak melakukan keganasan juga menggunakan ayat al-Qur’an yang menyuruh membunuh orang kafir tanpa memahami konteksnya dan dalam keadaan apa ayat itu berlaku. Semua pendekatan ini sangat bersalahan dengan suruhan al-Qur’an dan di samping itu akan memberi kesan negatif kepada kebijaksanaan orang Islam.

Islam memberi tempat yang sewajarnya kepada akal fikiran (human intelligence). Yang dimaksudkan di sini bukanlah reason dan hubungannya denga rasionalisme falsafah yang berkembang di Barat. Mengenai rasionalisme Barat yang menjadi pegangan golongan liberal dan modenis ini penulis telah jelaskan dalam buku tersendiri (Lihat Atas Nama Kebenaran: Tanggapan Kritis Terhadap Wacana Islam Liberal, 2006 dan 2009). Adapun kedudukan dan kepentingan akal dalam Islam telah dijelaskan oleh ulama’-ulama muktabar. Imam al-Ghazali antara lain mengatakan:
“Akal itu umpama penglihatan yang selamat dari cacat cela, dan al-Qur’an itu umpama matahari yang menyinari jagat raya, dengan keduanya seseorang dapat memperolehi hidayah. Seorang yang mengambil salah satunya tergolong dalam orang-orang yang bodoh, orang yang menolak akal hanya cukup dengan cahaya al-Qur’an sama kedudukannya dengan orang yang mendapatkan cahaya matahari tetapi menutup hati, maka tidaklah berbeza dia dengan orang yang buta. Maka akal dengan Shara’ adalah cahaya di atas cahaya”.
Al-Iqtisad fi al-I’tiqad: 4

Kecenderungan golongan pseudo-salafi yang anti akal ini sebenarnya tidak mempunyai akarnya dalam tradisi Islam. Bahkan Ibn Taymiyyah yang mereka angkat sebagai imam Salafiyyah tidak mempunyai sikap sedemikian. Ibn Taymiyyah sepakat dengan al-Ghazali tentang kepentingan akal ini. Ibn Taymiyyah mengatakan:
Akal itu syarat dalam mencapai ilmu pengetahuan dan kesempurnaan amal soleh, dengannya akan sempurna ilmu dan amal. Ia seperti kuatnya penglihatan bagi mata maka ketika bertemu dengan cahaya iman dan al-Qur’an maka umpama bertemunya cahaya mata dengan cahaya matahari dan api dan jika mencukupi dengan salah satunya tidak akan dapat seseorang itu memahami segala sesuatu.
 Majmu’ Fatawa: 3:338

Bahkan ulama’-ulama usul fiqh sendiri mengiktiraf penggunaan akal apabila mereka menjadikan qiyas, istislah, istihsan, masalih mursalah, dan sadd al-zari’ah sebagai sumber hukum sekunder. Di sinilah bermulanya perbezaan antara golongan pseudo-salafi dengan Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah di mana golongan pseudo-salafi ini cenderung rigid terhadap nas dan menolak penggunaan akal dan kebijaksanaan.

Kelompok yang membenarkan orang bukan Islam menggunakan nama Allah kemudian mengenakan syarat kepada orang bukan Islam supaya tidak menyalahgunakan kebenaran tersebut untuk mengkristiankan orang Islam. Ada juga yang memberikan panduan bagaimana orang bukan Islam menggunakan nama Allah. Justeru ini membuktikan adanya kecelaruan (incoherency) dalam cara berfikir mereka. Pertama sekali tidak ada alasan orang bukan Islam untuk mendengar nasihat kelompok ini, kerana mereka sendiri tidak mewakili umat Islam apalagi untuk mempengaruhi orang bukan Islam. Kedua, sesuatu yang tidak masuk akal, melihat sejarah kristianisasi yang begitu dahsyat di alam Melayu ini, mereka akan akur dengan nasihat orang yang dikatakan ‘ulama’ ini. Orang Kristian telah memperjuangkan isu ini dengan bersungguh-sungguh dan mereka amat gembira apabila keputusan mahkamah tinggi memihak kepada mereka, sebahagiannya dikeranakan wujudnya perbalahan di kalangan ilmuwan Islam sendiri. Kemenangan ini bagi mereka menunjukkan kebenaran dakwaan mereka bahawa semua agama pada hakikatnya sama, menyembah Tuhan yang sama. Maka kebenaran menggunakan nama Allah akan menjadi satu pencapaian besar bagi orang Kristian. Hakikatnya ia akan memudahkan lagi proses kristianisasi orang-orang Islam. Kristianisasi ini walaupun tidak dibenarkan dari segi undang-undang tetapi telah berjaya memurtadkan ramai golongan remaja di negara ini.

Bagi umat Islam ia adalah satu kerugian yang sangat besar. Islam tidak akan rugi, berkurang atau rendah kerana hal ini tetapi umat Islam akan semakin terhimpit. Kefahaman masyarakat terhadap akidah Islam akan semakin menipis. Kekeliruan akan semakin merajalela. Kerana dari bahasa pandangan alam akan berubah. Deislamisasi banyak berlaku melalui proses pendangkalan makna. Pendangkalan seperti Islam hanya kepada berserah diri, iman hanya menjadi percaya kepada Allah. Oleh kerananya ramai orang bukan Islam mengaku diri mereka muslim dan mukmin (dengan m kecil), kerana mereka juga berserah diri dan percaya kepada Allah, yang kini cuba didangkalkan maknanya hanya bermaksud Tuhan.

Kecelaruan dalam masalah ini timbul kerana ulama’ fiqh yang tidak berautoriti terburu-buru memberikan pandangan mereka berdasarkan pengetahuan dan kemahiran mereka yang terbatas itu. Seharusnya mereka dapat menahan diri mereka dari memperkatakan sesuatu yang mereka tidak pasti, dan mengakui keterbatasan ilmu yang mereka miliki. Pandangan yang sembrono ini dapat merugikan umat Islam dan menimbulkan lebih banyak kekeliruan. Mereka juga sepatutnya menghormati pandangan ilmuwan yang lebih berautoriti, dan berwibawa dalam bidang yang lebih relevan iaitu ilmu usuluddin, atau ilmu tawhid. Tidak seperti zaman dahulu, pengkhususan yang menjadi ciri pendidikan hari ini menyebabkan ulama fiqh tidak menguasai dengan baik ilmu usuluddin, begitu juga sebaliknya. Kerana itu penting untuk setiap ilmuwan memahami keterbatasan bidang masing-masing dan menyerahkannya kepada orang yang lebih layak untuk dirujuk. Inilah yang disebut sebagai adab, yang bukan sahaja perlu ada pada penuntut ilmu tetapi juga pada para ilmuwan kepada ilmuwan yang lebih tinggi derajatnya. Jelas bagi saya bahawa kecelaruan dalam masalah ini menunjukkan semakin parahnya fenomena kehilangan adab di kalangan umat Islam tidak terkecuali golongan cendekiawannya.

Perlu juga ditegaskan penekanan kepada adab di sini bukan untuk menghalang ijtihad di kalangan ilmuwan tetapi menegaskan peri pentingnya meletakkan sesuatu pada tempatnya. Seseorang ilmuwan yang memberikan pandangan dalam hal yang bukan kepakarannya tidak sama sekali dapat disebut sebagai ijtihad. Pandangan yang diberikan oleh ulama seperti ini sebenarnya bukan ijtihad. Pandangan seseorang ulama dikatakan ijtihad jika ia memiliki ilmu yang mencukupi dalam bidang tertentu dan berusaha dengan sebaik mungkin untuk memahami sesuatu persoalan sampai ke dalam dalamnya, barulah apabila dua syarat ini dipenuhi maka ia dikatakan ijtihad, jika tidak ia hanya boleh dianggap pandangan seperti pandangan orang awam. Hanya ijtihad sahaja yang jika salah sekalipun mendapat satu pahala, sedangkan pandangan yang mengelirukan boleh mendatangkan dosa khususnya apabila pandangan itu diberikan tanpa hati-hati, tanggungjawab moral dan ketaqwaan.

Penutup
Telah banyak pandangan ulama besar dikemukakan. Al-Attas sejak tahun 80an, Wan Mohd Nor yang banyak dikutip oleh penulis, dan baru-baru ini Siddiq Fadzil dan Haron Din telah menjelaskan isu ini. Sepatutnya kewibawaan tokoh-tokoh ini sudah cukup untuk menjadi ukuran dalam memahami persoalan ini dan bukan populariti sesetengah orang yang dikatakan ulama’ itu. Isu ini isu Akidah dan kedaulatan Islam. Ia lebih besar daripada isu politik. Perbezaan ideologi politik tidak harus membutakan hati nurani kita untuk mengenali kebenaran.

Isu penggunaan nama Allah oleh bukan Islam bagi saya melambangkan betapa seriusnya fenomena kehilangan adab di kalangan umat Islam, tidak terkecuali golongan intelektualnya. Adab di sini bukan hanya suatu sikap yang perlu ada bagi penuntut ilmu kepada gurunya, atau dari orang bawahan kepada orang atasan, tetapi yang paling mendasar adalah memahami dengan baik dan meletakkan sesuatu termasuk diri sendiri dan orang lain pada tempat yang yang wajar dan tepat. Agar yang tidak tahu menyedari ketidaktahuannya lalu mahu tahu dengan merujuk orang yang betul-betul tahu. Kita lihat bagaimana isu ini diperbincangkan tanpa merujuk kepada ilmuwan-ilmuwan yang berautoriti/ berwibawa dalam bidangnya. Ilmuwan-ilmuwan kecil yang cuba ber'ijtihad' tanpa menyedari keterbatasan ilmu yang dimilikinya. Terdapat ilmuwan yang mencampur adukkan politik dengan urusan agama sehingga kecenderungan politiknya mempengaruhi pandangannya dalam hal ini. Memang tidak mudah menahan diri dari mendapatkan political mileage apabila kemenangan pilihanraya banyak ditentukan oleh undi bukan orang Islam. Kerana itu ulama’-ulama’ muktabar tidak mahu terlibat dalam politik dan kepartian. Ramai juga yang cuba memperkatakan sesuatu dengan merujuk kepada sumber-sumber yang tidak jelas (seperti google, wikipedia dll), dan pengalaman bangsa asing, lalu mendakwa diri mereka tahu sesuatu dan menunjukkan diri mereka faham agama dan menghukum ulama’ yang berhati-hati sebagai kolot, tidak toleran dsb. Ada juga segolongan ilmuwan yang menangkuk di air keruh, ilmuwan palsu yang diangkat kerana rapat dengan penguasa, yang tidak dapat mempertahankan kebenaran ketika ia diserang dari pelbagai penjuru tetapi mendapat pujian dan pengiktirafan atas sesuatu yang bukan hasil perjuangannya. Jika kita umat Islam sendiri tidak jujur kepada Allah dan diri sendiri, mengapa mengharapkan pertolongan Allah dan ingin musuh-musuh Islam bersikap adil kepada umat Islam.

Setelah umat Islam bingung, keliru dan hilang pedoman maka dengan mudah faham-faham asing seperti sekularisme, liberalisme, pragmatisme, sinkretisme, pluralisme agama, neo-sofisme, saintisme, dll memasuki relung fikiran dan jiwa umat Islam. Faham-faham ini apabila telah merasuk diri sebahagian umat Islam akan menyebabkan mereka hilang keyakinan terhadap kebenaran Islam, skeptis terhadap Islam, merendahkan dan curiga terhadap para ulama’, bahkan tidak jarang juga yang memilih untuk menjadi ateis, agnotis atau murtad. Di sinilah tragedi bermula dan semuanya berpunca daripada kegagalan kita bersikap adil dan beradab terhadap Allah, agama-Nya dan diri kita sendiri.

Beliau merupakan Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia.


Rujukan

Al-Attas, Syed Muhammad Naquib. Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, 1972. Dan syarahan beliau sepanjang penulis berguru di ISTAC.

________. Islam and Secularism, diterbitkan oleh ABIM pertama kali pada 1978. Kuala Lumpur: ISTAC, 1993.

________. Prolegomena to the Metaphysics of Islam: an Exposition of the Fundamental Elements of the Worldview of Islam. Kuala Lumpur: ISTAC, 1995.

Al-Ghazali, Abu Hamid. al-IqtiÎÉd fi al-I‘tiqÉd. Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah, 1983.

Ibn Taymiyyah, Ahmad Abd al-Halim. Majmu’ Fatawa Ibn Taymiyyah. Kaherah: Dar al-Fikr, 1983.

Khalif Muammar. Atas Nama Kebenaran: Tanggapan Kritis Terhadap Wacana Islam Liberal, cetakan ke-2. Bangi: Institut Alam dan Tamadun Melayu, 2009.

________. “Isu Herald: Ketika Agama Diheret Untuk Kepentingan Politik” dalam http://khairaummah.com/index.php?option=com_content&task=view&id=236&Itemid=105 (20 Januari 2008)

________. “Isu Nama Allah: Isu Akidah Bukan Perebutan Nama” dalam http://khairaummah.com/index.php?option=com_content&task=view&id=246&Itemid=170 (14 Mei 2008)

________. ”Why Non Muslim Cannot Use the Word Allah” dalam http://khairaummah.com/index.php?option=com_content&task=view&id=275&Itemid=1(2 Mac 2009)

Rahmah Ghazali, “Haron Speaks for Himself” dalam http://www.malaysiakini.com/news/121161

Siddiq Fadzil. ”Kontroversi Pemakaian Kalimat Allah: Suatu Pernyataan Keprihatinan” dalam http://www.wadah.org.my/kenyataan-media/54-info-wadah.html

Wan Mohd Nor Wan Daud. Masyarakat Islam Hadhari: Suatu Tinjauan Epistemologi dan Kependidikan ke Arah Penyatuan Pemikiran Bangsa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006. Juga perbincangan peribadi dengan beliau yang dilakukan hampir setiap hari.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More