29 Februari 2008

Sejarah Penubuhan KESPA

Penubuhan KESPA telah digagaskan oleh lima orang guru pelatih, iaitu Ruziatul Adibah binti Sailin (PISMK-OUM), Siti Hajar Aishah binti Ibrahim (PISMK-OUM), Noor Farieza binti Mohd. Nashiruddin (PISMP 2A), Dzari Hasbullah bin Abdul Wahab (PISMP 2B) dan Muhammad Safwan bin Mohd. Noor Azmi (PPISMP 3C) pada bulan Ogos tahun 2007. Ilham dan idea penubuhan tersebut terbit sebaik sahaja usai Pertandingan Debat Kepenggunaan FOMCA 2007 di Universiti Tenaga Nasional, Bangi.

Pada awalnya, kertas cadangan penubuhan kelab menggunakan nama Kelab Debat dan Pidato (KDP). Modus operandi lebih tertumpu kepada latihan dan pembangunan debat dan pidato dalam kalangan guru pelatih. Saudara Dzari Hasbullah bin Abdul Wahab telah dipilih selaku Pengerusi untuk menerajui Kelab Debat dan Pidato Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia. Pada tahun tersebut, KDP telah mencadangkan supaya mewujudkan 2 buah piala untuk pertandingan debat dan pidato bagi peringkat dalaman. Cadangan tersebut telah dipersetujui dan disumbangkan sendiri oleh Pengarah dan Timbalan Pengarah IPBMM, iaitu Piala Pusingan Soriah binti Abdullah dan Piala Pusingan Haji Abdul Jalil bin Abdul Gani.

Setelah melakukan beberapa siri perbincangan dengan para pensyarah, bekas pelajar dan tokoh bahasa, KDP telah membuat Majlis Permesyuaratan Tertinggi (SYURA) dan mencadangkan supaya penjenamaan semula kepada Kelab Seni Pengucapan Awam (KESPA). Hal ini kerana bidang seni pengucapan awam dapat memperluaskan lagi ruang lingkup bahasa melalui lisan, tidak hanya tertumpu kepada debat dan pidato semata-mata.

Tanggal 29 Februari 2008, KESPA telah dilancarkan secara rasmi oleh Puan Soriah binti Abdullah, Pengarah IPBMM di Dewan Za’ba bersempena Majlis Pelancaran KESPA. Tetamu kehormat, Dato’ Dr. Syed Ahmad bin Syed Samsuddin Al-Saggof, Pemegang Sandang Tertinggi Citra Ageng Pidato Nusantara telah dijemput untuk membuat ucaptama. Selain itu, majlis bacaan ikrar pidato dan persembahan sajak ‘Sahabat’ memeriahkan lagi suasana.

SYURA telah memutuskan bahawa Saudara Muhammad Safwan bin Mohd. Noor Azmi untuk menerajui Pengerusi Kelab Seni Pengucapan Awam yang pertama. Pada kali ini, KESPA mencadangkan supaya diadakan pertandingan debat, pidato dan forum antara institut-institut perguruan peringkat kebangsaan pada setiap tahun. Hal ini kerana perjalanan Kegiatan Aktiviti GERKO Untuk Maktab (KAGUM) sifatnya bermusim dan pertandingan-pertandingan dijalankan mengikut giliran dalam tempoh 4 tahun kurang membantu guru pelatih terlibat aktif dalam aktiviti kokurikulum. Selain itu, KESPA juga mencadangkan nama Piala Tun Sri Lanang untuk pertandingan debat, Perisai Pendita Za’ba untuk pertandingan pidato dan Piala Tun Syed Nasir untuk pertandingan forum.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More