20 Januari 2011

Kenali Raja Rajeswari Seetha Raman

Raja Rajeswari Seetha Raman, anak kelahiran Kuala Kurau, Perak, mendapat pendidikan awal di SRJK (Inggeris) Bagan Serai, Perak. Pendidikan menengahnya di SMJK (Inggeris) Bagan Serai, Perak dan Sekolah Tinggi Chung Ling, Pulau Pinang. Raja Rajeswari mengikuti Kursus Perguruan Asas di Maktab Perguruan Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah (1982 – 1984). Kemudian bertugas sebagai guru bahasa Melayu di SJK (T) Ampang, Kuala Lumpur (1985-1988), Sek. Keb. Selayang Jaya (1989 - Jun 1995) dan SMK Taman Ehsan, Kepong (1.4.1998 - 31.7.07). Memperoleh Ijazah Bacelor Sastera dengan Kepujian (1998) dan Ijazah Sarjana Sastera dengan Tesis (2005) dari Universiti Putra Malaysia (UPM). Kini sedang melanjutkan pengajian peringkat Doktor Falsafah di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM) dalam bidang Kesusasteraan Melayu di samping berkhidmat sebagai pensyarah di Jabatan Bahasa Melayu, Institut Pendidikan Guru, Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur.

Dalam bidang penulisan kreatif, Raja Rajeswari menulis dalam genre sajak, cerpen, esei dan rencana. Sajak beliau tersiar dalam majalah dan akhbar Anis, Al-Islam, Berita Minggu, Dewan Agama dan Falsafah, Dewan Masyarakat, Dewan Sastera, Dewan Siswa, Metro Ahad, Milenia Muslim, Mingguan Malaysia, Mingguan Wanita, Nur, Pentas Dunia, URTV, Wanita, dan Wanita Hari Ini. Sajak beliau juga termuat dalam Antologi Anti Perang, Lakaran dan Puisi (2003), Prahara di Padang Karbala (2003), APAS (Antologi Puisi Pilihan Komuniti Penyair 2003), Peterana Kasih (2004), Tinta Ehsan (2004), Di Laman Anggerik Ini (2004), Gema Membelah Gema 14 ( 2004), Antologi Tunas Jiwa (2005), Antologi Puisi Ratib Seribu Syair (2005), Manuskrip Luka Bangsa (2006), Antologi Ekspresi Palestin (2009), Antologi Puisi Agenda Melayu (2009), Antologi Sajak Genting Gaza, Gentingnya Genting (2009), Antologi Puisi Mengabdi Melestari (2009), Musibah Gempa Padang (2009), Antologi Hari Pejuang Bahasa (2010) dan Dari Jendela Zaman Ini (2010). Mekar Bunga (2006) merupakan Kumpulan Puisi Persendirian sulung beliau. Manakala cerpen termuat dalam antologi Vanakam (2002) dan Arca Cendekia (2003). Puisi beliau berjudul “Monolog Buana Palestina” dijadikan lagu puisi oleh DBP Cawangan Sabah dan puisi berjudul “Seni Jarum” dijadikan lagu puisi oleh Kumpulan Kopratasa. Dua buah puisi beliau berjudul “Menanti Sebuah Subuh Megah’’ dan “Bicara Sukma Palestina Kepada Warga Buana” diterjemah ke bahasa Inggeris oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dan National Arts Council, Singapore.

Antara hadiah yang pernah diraihnya ialah Hadiah Anugerah Penyair Alam Siber Tahun (2003 dan 2004), Hadiah Pertama Sayembara Menulis Puisi Ramadan dalam talian (2004) dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2006/2007 untuk Kategori Puisi. Selain berkarya, Raja Rajeswari juga terlibat dalam bidang penterjemahan. Kini beliau dalam proses menterjemah Kumpulan Puisi Kembali Dari Dalam Diri koleksi puisi penyair tersohor negara Ibrahim Ghaffar dari bahasa Melayu ke bahasa Inggeris.

Selain menghasilkan karya dalam genre puisi dan prosa, Raja Rajeswari juga merupakan pembentang kertas kerja peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Beliau pernah membentang kertas kerja untuk Simposium Penulis Pelbagai Kaum anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan di Prince of Songkhla University, Thailand. Beliau juga membentang kertas kerja untuk Konvensyen Pendidikan dan program anjuran Institut Pendidikan Guru Malaysia. Pernah menjadi ahli panel untuk GAPENA sempena 50 tahun kemerdekaan Malaysia dan ahli panel untuk forum Di Luar Lingkungan di TV1.

Raja Rajeswari turut terlibat dalam acara Baca Puisi anjuran pelbagai pihak seperti DBP, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Muzium Negara, Muzium Shah Alam, Majlis Teater Negeri Selangor (MTS), Persatuan Penulis, ITNM, Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO). Raja Rajeswari juga merupakan pendeklamator untuk Unit Multimedia, DBP. Koleksi Puisi Bermontaj Jilid 10 yang menghimpunkan Koleksi Puisi Terbaik Penyair Malaysia Abad Ke-20 dideklamasikan oleh beliau.

Raja Rajeswari juga menyandang jawatan sebagai AJK PENA (Persatuan Penulis Nasional Malaysia), AJK PPS (Persatuan Penulis Selangor) dan AJK PKBM (Persatuan Kesusasteraan Bandingan Malaysia).

0 ulasan:

Catat Ulasan

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More